15 Januari 2023, 23:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Muzik Indie merupakan salah satu subbudaya dalam masyarakat Malaysia. Pelbagai isu boleh dikupas mengenai muzik Indie dan komunitinya. Menurut Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr. Shafa’atussara Silahudin, komuniti muzik Indie tidak mengira kaum dan kedudukan. Moto bagi komuniti Indie ialah lakukan sendiri atau do it yourself.

Poster program Bicara Seni yang dianjurkan bersempena Festival Ruang Seni.

Tambah Dr. Shafa’atussara lagi, komuniti muzik Indie yang berpegang pada moto ini memperlihatkan kreativiti kerja mereka yang perlu diberikan perhatian. Selain itu, mereka sentiasa optimis dan mencari peluang untuk sentiasa melangkah ke hadapan bersama dengan muzik mereka.

“Kejayaan yang diraih oleh kumpulan muzik Indie seperti Sekumpulan Orang Gila atau lebih dikenali sebagai SOG yang berjaya memenangi Anugerah Juara Lagu ke-36 pada tahun 2021 menerusi lagu Pelukan Angkasa yang menampilkan Shila Amzah, telah memberi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus maju ke hadapan meskipun terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi,” ujar Dr. Shafa’atussara.

Muzik indie atau independence (bebas) pada asalnya merupakan muzik bawah tanah (underground). Walau bagaimanapun, kini Indie berada dalam aliran muzik arus perdana dalam Malaysia. Muzik Indie Malaysia bukan sahaja diminati dalam kalangan warga Malaysia, bahkan meliputi seluruh dunia. Dengan penggunaan teknologi seperti YouTube dan Sportify, muzik Indie Malaysia dapat didengar oleh peminat-peminat seluruh dunia.

Konsep Bicara Seni 2023 anjuran Jabatan Sosio-Budaya dan Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM ialah bebas berkarya. Sebagai pengerusinya, Dr. Shafa’atussara telah memilih dan mengetengahkan muzik Indie. Acara yang diadakan bersempena dengan Festival Ruang Seni pada 12 hingga 13 Januari 2023 lalu di Akademi Pengajian Melayu, UM membincangkan tajuk Muzik Indie: Komuniti Kreatif, Cabaran dan Masa Depan.

Berlangsung di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, UM pada 12 Januari 2023 lalu, Bicara Seni 2023 menampilkan dua panel merangkumi pengurus artis dan acara serta penganjur industri konsert terkenal, iaitu Jennifer Thompson serta komposer, penulis lirik dan penyanyi kumpulan SOG, Raja Nazrin Shah Raja Azaham. Manakala Dr. Shafa’atussara yang merupakan Biduan Syair ASEAN bertindak sebagai pemudah cara.

Mengulas mengenai tanggapan negatif masyarakat tentang muzik Indie termasuklah peminat muzik sejak sekian lama, Raja Nazrin Shah menegaskan bahawa anak muda yang terlibat dengan muzik Indie merupakan golongan yang terpelajar. Justeru, mereka tahu dan sedar apakah sebab mereka memilih dan meminati muzik Indie.

Berbicara tentang cara-cara mengatasi tanggapan negatif, Raja Nazrin Shah menyatakan bahawa kesabaran merupakan elemen yang sangat penting di samping terus berusaha memenangi hati masyarakat. Namun begitu, beliau berasa bertuah kerana keluarganya merestui beliau menceburi bidang muzik Indie. Dalam hal ini, Raja Nazrin Shah menyatakan kekaguman beliau terhadap kecekalan para pemuzik Indie yang keseorangan atau tidak mendapat sokongan keluarga.

“Dalam soal Do It Yourself, para pemuzik Indie sememangnya melakukan semua perkara secara bersendirian dan menggunakan apa-apa sahaja kemudahan peralatan yang ada. Sebagai contoh, bilik tidur boleh dijadikan sebagai studio rakaman. Bagi mendapatkan penyokong atau peminat pada peringkat awal, pemuzik Indie boleh mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan serta menerusi promosi dalam platform media sosial,” jelas Raja Nazrin Shah yang mencipta karya Pelukan Angkasa.

Jeniffer pula menyatakan bahawa tiada masalah jika para pemuzik Indie menghasilkan lagu dan karya dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, untuk mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan dalam pasaran di Malaysia, mereka perlu menghasilkan lagu yang unik dalam bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.