Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLirik yang ditulis oleh Loloq yang memercikkan bara peradaban Islam dengan 1001 pengertian untuk sama-sama kita fikirkan.
Cinta Adam dan Hawa
Terbit di syurga terang di jiwa
Menggerakkan nurani
Mencari kasih suci
Sehingga kita yang tertinggal saling damba
Lirik lagu Misha Omar yang ditulis oleh Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq menggambarkan asal muasal kejadian insan. Rangkai kata yang ada padanya mampu membawa para pendengar ke dalam kelunakan perasaan, keluhuran budi dan keindahan rasa. Itulah kelebihan yang terlihat dan terkandung dalam kebanyakan lirik ciptaan Loloq. Lebih istimewa apabila terdapat lirik yang ditulis oleh Loloq yang memercikkan bara peradaban Islam dengan 1001 pengertian untuk sama-sama kita fikirkan.
Mutiara penulisannya berkisar kepada tawarikh dalam sejarah Islam yang satu ketika dahulu pernah berdiri megah di peta dunia ini. Satu daripadanya ialah lagu “Monggol dah Pulang” oleh XPDC dalam album V6 yang terbit pada tahun 2002. Dalam satu nukilan yang bermakna, Loloq menyampaikan mesej kepada pendengar tentang kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yang satu ketika dahulu berkuasa di Kota Baghdad sezaman dengan dua buah kerajaan dalam peradaban lain, iaitu Dinasti Tang di China dan Dinasti Sailendra di Nusantara.
Dek serangan Monggol pada tahun 1258, Kerajaan Abbasiyah tumbang dan hampir tidak tersisa sehinggakan gudang ilmu bernama Baitul Hikmah hilang sama sekali di bumi ini. Pengisahan yang disampaikan oleh Loloq dalam liriknya biarpun tidak dinyatakan secara rinci, tetap dapat membuatkan kita memahami menerusi baris-baris kata:
Di luar goyang di dalam goncang
Belum berperang Monggol dah menang
Baghdad tercinta bagaikan bunga pudar serinya
Sinar tamadun bagaikan api disiram hujan
Tinggallah bara menanti percik batu dilaga
Susunan kata yang dipersembahkan oleh beliau membuatkan kita faham bahawa mudahnya tentera Mongol yang ketika itu mara untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pemerintahan Khalifah Al-Musta’sim (1242-1258). Latar masa pada waktu itu sememangnya menyaksikan keadaan yang lemah dalam pemerintahan khalifah yang tenggelam dalam kemewahan dan hidup berfoya-foya sehingga mengakibatkan runtuhnya tamadun Islam.
Loloq turut menuliskan perihal geografi yang pernah dilalui oleh tentera Mongol di kawasan Asia Tengah menerusi lirik lagu nyanyian Dato’ Haji Mohd Shukri Shahabudin (Hattan), iaitu “Hujan Berapi Banjaran Asia Minor”. Wilayah ini pernah menjadi laluan dan dimusnahkan oleh tentera Monggol dengan penghancuran penempatan, penganiayaan kanak-kanak dan pemerkosaan terhadap golongan wanita sebelum pihaknya sampai ke Baghdad dan seterusnya mara hampir ke Vienna, Austria. Secara puitis, bicara tentang peristiwa itu digambarkan sebagai:
Tangisan yang tak putus mengalir bagai air
Terus tersekat-sekat merintih ketibaan hari kedamaian
Banjaran Asia Minor hujan berapi
Ayat “merintih ketibaan hari kedamaian” yang dituliskan oleh Loloq untuk kawasan Asia Minor bagaikan sudah menjadi realiti. Hal ini kerana di kawasan berkenaan telah pun terbentuk negara bangsa berdaulat pasca Perang Dingin seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan, Kirgyzstan dan Afghanistan.
Loloq begitu kreatif dalam mengguna padanan perkataan yang mengandungi makna serta pandangan alam (world view) yang mampu mengimaginasikan sesuatu perkara untuk kita amati dari lagu-lagunya. Satu daripada lirik magnum opus tulisan beliau terbukti menerusi lagu “Andalusia” nyanyian Dato’ (Dr.) Mohamad Nasir (M. Nasir) yang dijulang sebagai juara dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) 1999.
Perihal sisa-sisa keagungan Andalusia yang pernah berdiri di Semenanjung Iberia di Selatan Eropah (Sepanyol dan Portugal kini) dipersembahkan dengan begitu menarik. Antara baris lirik yang mencerminkan gandingan antara nurani, fikiran dan tingkah laku pada zaman Andalusia ialah:
Aku rindukan zaman kebangkitan
Pabila nurani bersulamkan fikiran
Seganding dan bersatu
Lafaz niatku bertemu
Cahayamu tiada tara
Pohon salamku pada fakir-fakirmu, Andalusia
Pohon izinkanlah aku menyalami irama asyikmu
Pohon ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu jadi azimat
Supaya dapat aku tari menongkah arus
Bagi penulis, metafora gambus dalam lirik di atas menggambarkan pencapaian sains sewaktu keunggulan era Andalusia manakala ghazal pula membawa pengertian ketinggian kesenian semasa kerajaan tersebut. Di luar teks lirik Andalusia, tinta sejarah telah mencatatkan munculnya ramai pemikir pada zaman itu seperti Ibnu Tufail, Ikhwan Al-Safa, Ibnu Rusyd dan sarjana Yahudi, iaitu Maimonides. Segalanya bergerak pada satu garis masa sewaktu Kerajaan Umaiyah menguruskan pentadbiran dengan mementingkan ilmu.
Jika kita lihat pada masa kini, tanah yang pernah bersaksi tegaknya kerajaan Islam di Andalusia telah pun digantikan dengan kerajaan Kristian Katolik bahkan wilayah-wilayahnya turut diisi dengan kebudayaan bangsa dari Barat. Segala yang berkaitan dengan Andalusia hanya tinggal sejarah dalam bentuk konkrit seperti Istana Alhambra di Granada. Inilah yang disebutkan oleh Loloq dalam lirik Andalusia, “Apakah sudah kering lautan darah di bumimu Alhambra”. Secara tersirat, memberi makna betapa tanah tersebut pernah menjadi tempat berlakunya kekejaman terhadap penganut Islam khususnya selepas Ratu Isabella dan Raja Ferdinand mendirikan dan memperluaskan penguasaan kerajaan masing-masing dari Aregon dan Castile.
Loloq pada masa yang sama tidak ketinggalan memuatkan perihal kisah 1001 malam yang juga masyhur dalam peradaban Islam hasil daripada interaksi dengan peradaban lain. Lagu “Aladdin” nyanyian kumpulan Spider misalnya menjadi bukti kepada perkara berkenaan manakala Syair Laila Majnun nyanyian Datuk Ramli Sarip digubah untuk halwa telinga para pendengar. Catatan lirik tersebut menjadi penghubung antara kandungan karya klasik tersebut dengan generasi yang mungkin kurang terdedah dengan bahan bacaan seperti itu. Sama ada Aladdin ataupun Syair Laila Majnun, produk pemikiran Loloq ini mampu menembusi segenap lapisan masyarakat. Baik kanak-kanak mahupun golongan dewasa, mereka ternyata menjadikan lagu tersebut siulan yang memberi manfaat dari segi ertinya kepada manusia yang berfikir.
Pengembaraan Loloq dalam penulisannya turut tidak meninggalkan khazanah alam Melayu. Beliau berupaya untuk mengekstrak ceritera dari hikayat dan manuskrip lama untuk dijalinkan dalam baris-baris lirik nan indah. Lagu “Berakit ke Langit” nyanyian kumpulan XPDC sebahagian besarnya mengandungi “Cerita Zahid dengan Serimala dan Pandai Emas dan Pandai Tenun” yang terkandung dalam Hikayat Bayan Budiman. Seolah-olah beliau melayari lautan dan selat di Nusantara, Loloq turut memasukkan cerita tentang Syeikh Hamzah Fansuri yang merupakan pemikir dan pujangga Melayu. Kita sedia maklum bahawa tokoh ini terkenal dengan karya-karya sufistik seperti Syair Perahu, Syair Burung Pingai, Syarab Al-Asyikin, dan Asrar Al-Arifin. Lagu M. Nasir yang bertajuk Kias Fansuri menjadi pilihan untuk muatan lirik sedemikian:
Kias fansuri, mawar berduri
Kias fansuri, lembah yang sepi
Kias fansuri, madah bersari
Kias fansuri, langit yang tinggi
Jika pada awal tadi lirik “Cinta Adam dan Hawa” dipetik sebagai satu gambaran permulaan insan, tetapi Loloq turut mengisahkan kias cerita tentang cahaya mata Adam dan Hawa, iaitu Habil dan Qabil. Rentak ceritanya berkaitan dengan gelagat manusia dalam kehidupan yang bergelumang dengan kejahatan serta keburukan yang membinasakan kehidupan. Loloq menghantar teguran kepada manusia yang hidup bagaikan tidak mengambil iktibar daripada kisah Habil dan Qabil yang bertelingkah kerana keinginan yang tak terpenuhi. Kiasannya kisahnya terhimpun dalam lagu “Diari Habil & Qabil” nyanyian kumpulan Search serta “Bersumpah dengan Langit” nyanyian Dato’ Ahmad Azhar Othman (Awie). Tidak dinafikan, perlunya daya pengamatan yang tinggi seandainya kita ingin menghayati nukilan maksud dalam lirik-lirik yang ditulis oleh Loloq.
Sebagai pengakhiran kata, Loloq telah meninggalkan khazanah lirik yang tinggi mutunya buat penghayatan pendengar. Individu ini membuktikan betapa kesenian itu mampu dijadikan sebagai instrumen dalam mendidik jiwa dan akal fikir manusia yang ingin memahamkan perkara berkenaan. Tidak timbul di sini pertikaian lirik dan lagu itu sebagai yang melalaikan tetapi hasil seni tadi dapat dijadikan sebagai ruang wacana bagi memberi kebijaksanaan fikiran buat orang ramai.
Perkataan “bara” yang digunakan dalam tajuk penulisan ini merupakan satu simbolik bahawa Loloq telah meninggalkan kita dengan cerita-cerita peradaban Islam yang pernah ada satu masa dahulu. Tujuannya bukanlah untuk kita bernostalgia dengan retorik keagamaan, namun untuk kita fikirkan sebagai insan. Sewajar dan seharusnya pengkarya seni hari ini meneladani hasil karya daripada Loloq sebagai perkara yang mengilhamkan karya berbudaya serta berwacana tinggi tanpa unsur-unsur picisan melalaikan.
__________________________________________
Noorilham Ismail sedang menyiapkan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Malaya.