31 Ogos 2022, 19:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila tiba bulan Ogos pada setiap tahun, Malaysia pasti meriah dengan pelbagai acara yang diatur sempena sambutan kemerdekaan negara. Dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat kebangsaan, Keluarga Malaysia tanpa mengira umur, agama dan bangsa boleh bersama-sama menyemarakkan kemeriahan sambutan kemerdekaan negara. Jika diperhatikan, kebanyakan acara dan aktiviti yang dianjurkan melibatkan bidang kesenian dan kebudayaan. Walaupun terdapat segelintir masyarakat yang mempersoalkan sejauh mana bidang kesenian dan kebudayaan mampu menyemai semangat patriotisme dalam diri individu, namun hakikatnya kebanyakan anak-anak kecil mengetahui tarikh sambutan hari kemerdekaan negara daripada pengaruh lirik lagu patriotik tanggal 31 Ogos yang dinyanyikan oleh legenda seniman negara, Allahyarham Dato’ Sudirman Arshad. Justeru, filem dan lagu dilihat mampu menyubur dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Kesenian dan kebudayaan seperti lagu dan filem mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan sesebuah masyarakat terutamanya dalam membentuk sebuah negara bangsa yang mempunyai identiti tersendiri. Oleh sebab itu, penjajah membawa masuk unsur kesenian dan kebudayaan mereka ke Tanah Melayu kerana kedua-dua unsur ini mampu mempengaruhi minda dan nilai masyarakat. Dalam proses menjadi sebuah negara maju, Malaysia tidak boleh hanya berkiblatkan sains dan teknologi semata-mata sehingga mengetepikan kesenian dan kebudayaan yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Negara-negara maju di dunia seperti Korea sangat berbangga dengan warisan kebudayaan mereka. Negara tersebut berjaya membawa bahasa dan budaya Korea ke seluruh dunia melalui lagu, drama, filem dan artis mereka. Selain itu, mereka juga mampu mengumpul dan menyatukan masyarakat dari seluruh dunia dengan pelbagai latar belakang. Korea berjaya membuktikan filem dan lagu mempunyai peranan dan sumbangan yang cukup besar.

Di negara kita, kedua-dua bidang ini juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan membangkitkan suasana kemeriahan sambutan kemerdekaan saban tahun. Namun begitu, cara penyampaian perlu melihat kepada selera Keluarga Malaysia terutama generasi muda pada hari ini. Jika sebelum ini kebanyakan filem berunsur patriotik dilihat gagal mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat, namun filem Mat Kilau yang ditayangkan sebelum ini berjaya menepis fakta tersebut. Sehingga kini negara kita masih membuak-buat dengan semangat jati diri, namun mungkin filem-filem berunsurkan patriotik dan kenegaraan yang dihidangkan pada masa dahulu tidak menepati kehendak mereka. Penyampaian filem-filem terdahulu mungkin agak berat dan seolah-olah mengajar pendidikan sejarah kepada para penonton, sedangkan medium hiburan seperti filem perlu mengangkat nilai sejarah tersebut secara lebih kreatif.

Filem genre patriotisme atau kenegaraan kebiasaannya mempunyai elemen sejarah yang mengaitkan pemimpin atau seseorang tokoh sebagai daya tarikan. Shafezah Abdul Wahab dalam penulisannya yang bertajuk Panggung Sinema Kita Tandus Filem Patriot menyatakan elemen fiksyen turut disuntik dalam filem genre ini bagi tujuan tarikan penonton kerana jika tidak diolah secara kreatif, filem genre patriotisme akan membosankan para penonton. Antara filem patriotik dan kenegaraan yang memaparkan perjuangan penentangan penjajah termasuklah Sarjan Hassan pada (1958), Bukit Kepong (1981), Darah Satria (1983), Leftenan Adnan (2000), Embun (2002), 1957: Hati Malaya (2007), Tanda Putera (2013), dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior (2017). Filem genre patriotisme jarang mendapat sambutan sehingga gagal mencatat kutipan pecah panggung walaupun diharapkan mampu memugar dan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Lebih menyedihkan, kos kebanyakan filem genre patriotisme agak tinggi sehingga menyebabkan tidak banyak penerbit filem yang mahu mengambil risiko untuk menerbitkannya.

Walau bagaimanapun, filem Mat Kilau yang ditayangkan bermula 23 Jun lalu membuktikan sebaliknya kerana setelah 33 hari ditayangkan, filem tersebut berjaya mencatat kutipan hampir RM100 juta. Malahan, sambutan hangat terhadap filem tersebut menyangkal pandangan dan pendapat segelintir pihak yang menyatakan selera masyarakat negara kita yang lebih meminati filem genre ringan yang sarat dengan naratif cinta. Realitinya, Keluarga Malaysia tercari-cari filem yang sarat melambangkan akar bangsa dan menjunjung tinggi nilai-nilai ketimuran sebagaimana yang dipersembahkan dalam filem Mat Kilau. Walaupun filem Mat Kilau masih ada kekurangan, tetapi filem tersebut sedikit sebanyak dapat membangkitkan semangat patriotisme dalam diri masyarakat tanpa mengira golongan usia. Para penonton dapat melihat semangat para pahlawan terdahulu yang bangkit menentang penjajah. Bahkan kini lebih ramai anak muda yang berminat untuk mempelajari silat sebagai warisan seni mempertahankan diri setelah menonton filem tersebut.

Selain filem, lagu juga merupakan antara medium yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Semangat mencintai negara perlu dipupuk semula, disemarakkan dan dilaksanakan secara berterusan melalui dendangan lagu-lagu patriotik. Menurut Shazlin Amir Hamzah dalam kajiannya yang bertajuk Peranan Lagu-Lagu Popular dalam Penjenamaan Bangsa Malaysia, lagu-lagu patriotik dilihat sebagai satu daripada jambatan penghubung ke arah manifestasi pengkarya dalam merealisasikan dan memupuk semangat patriotisme ke dalam jiwa pendengar.

Lagu-lagu genre patriotisme penting untuk menyemarakkan semangat mencintai negara.

Masyarakat terutamanya generasi baharu yang lahir dalam suasana negara yang telah merdeka perlu didedahkan dengan lagu-lagu patriotik bagi menyemarakkan rasa cinta mereka kepada tanah air, sekali gus bermotivasi tinggi untuk mempertahankan negara. Menurut Shazlin Amir Hamzah lagi dalam kajiannya, muzik kebangsaan mewujudkan suasana kolektif sewaktu dipersembahkan dan hal ini merupakan elemen yang penting bagi sesuatu bangsa kerana bangsa adalah sesuatu yang bersifat kolektif. Contohnya adalah lagu Negaraku sebagai lagu kebangsaan Malaysia.

Menurut Pengarah Muzik Rancangan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani bin Ismail, kebanyakan penghasilan lagu patriotik bersifat ringan dan senang difahami. Hal ini kerana lagu tema sambutan Hari Kebangsaan hanya dilancarkan pada setiap 1 Ogos dan dalam masa yang singkat, lagu tersebut perlu menjadi mesra di telinga masyarakat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun. Lirik lagu patriotik juga perlu ringkas dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa perlu menggunakan bahasa yang berbunga-bunga. Walau bagaimanapun, lirik lagu-lagu patriotik yang dihasilkan mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi. Pemilihan penyanyi bagi lagu-lagu genre patriotisme juga penting agar penyampaiannya lebih meluas dan berupaya menarik perhatian seluruh Keluarga Malaysia.

Jika dahulu penyanyi lagu-lagu genre patriotisme tidak popular dan tidak dikenali, namun kini pemilihan penyanyi adalah lebih selektif dengan mengambil kira pertimbangan yang sewajarnya kerana bukan semua penyanyi mampu mendendangkan lagu patriotik dengan baik. Antara penyanyi negara yang pernah menyanyikan lagu patriotik termasuklah Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Roy, Faizal Tahir, Hafiz Suip, Jaclyn Victor, Bob Yusof, Bunkface, Alif Satar & The Locos dan lain-lain.

Lagu patriotik menjadi antara medium penting untuk menyemai semangat cintakan negara selain berperanan besar dalam menyatupadukan masyarakat negara kita yang berbilang kaum dan agama. Mesej dan nilai penting yang terkandung dalam lagu patriotik ternyata berjaya menyuntik semangat cintakan negara. Selain itu, lagu-lagu patriotik mampu menyuntik semangat setiap warganegara yang sedang berjuang tidak kira walau dalam apa-apa bidang sekali pun. Lagu-lagu patriotik malar segar seperti Tanggal 31 Ogos, Warisan, Saya Anak Malaysia, Jalur Gemilang, Gemilang, Gemuruh dan lain-lain menjadi bualan rakyat serta begitu sinonim dalam Keluarga Malaysia. Lagu seperti Gemilang nyanyian Jaclyn Victor dan Gemuruh nyanyian Faizal Tahir merupakan antara contoh lagu genre patriotisme yang didendangkan sewaktu para atlet mewakili negara bertanding dan bersaing dalam temasya sukan antarabangsa bagi membakar semangat mereka.

Filem dan lagu patriotik secara tidak langsung mampu membakar semangat patriotisme dalam kalangan Keluarga Malaysia terutamanya generasi muda. Pengisian sejarah yang diangkat secara lebih ringan, santai dan kreatif dalam filem membawa kita lebih menghayati pengorbanan dan semangat perjuangan para pahlawan terdahulu yang berjuang untuk memperoleh kemerdekaan negara. Manakala lagu patriotik pula mampu membangkitkan semangat cintakan negara melalui lirik dan iramanya. Semoga lebih banyak lagi filem berunsur patriotik dapat dihasilkan pada masa depan serta lagu-lagu patriotik baharu mampu menjadi malar segar sebagaimana lagu-lagu patriotik terdahulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.