11 Februari 2023, 00:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak diasaskan oleh Sutan Naposo, Kuala Lumpur semakin membangun dan berkembang pesat hingga kini menjadi sebuah kota metropolitan. Kuala Lumpur yang merupakan ibu kota negara Malaysia disifatkan sebagai nadi pembangunan negara. Rakyat Malaysia pasti tahu dan kenal dengan bandar raya ini, malahan sebahagian besarnya mempunyai pengalaman tersendiri menjejakkan kaki di Kuala Lumpur menerusi aktiviti ekonomi, pendidikan, sosial, politik, pelancongan, kebudayaan dan lain-lain. Pengalaman itu sering kali dirakam dalam pelbagai bentuk genre termasuklah filem, novel, cerpen, puisi, lagu, artikel, anekdot dan seumpamanya mengikut minat, disiplin ilmu, cita rasa dan kemampuan perakam tersebut.

Dalam konteks muzik, nama Kuala Lumpur sering diungkapkan menerusi lagu termasuklah judul sesebuah lagu. Sepanjang tempoh enam dekad bermula pada era 1960-an hingga kini, nama Kuala Lumpur tercatat sebagai judul dalam beberapa buah lagu yang mengisahkan pelbagai pengalaman kehidupan. Ada kisah yang berkaitan dengan Kuala Lumpur itu sendiri, kisah cabaran kehidupan di kota raya, sikap penghuni Kuala Lumpur, kisah cinta berlatarbelakangkan Kuala Lumpur dan pelbagai lagi. Kisah Kuala Lumpur dalam lagu boleh dijadikan sebagai bahan kajian kepada pencinta bahasa dan budaya masyarakat, khususnya rakyat Malaysia.

Seawal era 1960-an, nama Kuala Lumpur dalam judul lagu dapat diteliti menerusi lagu ciptaan P. Ramlee yang bertajuk Kuala Lumpur. Lagu ini diterbitkan pada tahun 1964 dan dinyanyikan oleh Saloma dalam filem Ragam P. Ramlee menerusi segmen drama muzikal. Kota Kuala Lumpur dalam lagu ini diperkenalkan sebagai ibu negara Malaysia, suasana kehidupan warganya yang harmoni dengan pelbagai bangsa dan potensinya sebagai tempat tarikan untuk dikunjungi.

Pemandangan kota raya Kuala Lumpur yang menjadi lambang kemegahan Malaysia pada waktu senja.

Kuala Lumpur
Kuala Lumpur ibu negeri
Sangat masyhur sangat ramai
Kotanya bersih oh oh oh
Hawa nyaman saban hari
Hidup aman segala bangsa
Satu hati oh oh oh
Ibu negeri Malaysia
Dah terkenal aman makmur
Di mata dunia.
Jikalau tuan ingin akan penghibur
Sila datang Kuala Lumpur

Dalam filem yang sama, nama Kuala Lumpur turut diungkapkan menerusi lagu Joget Malaysia dendangan P. Ramlee dan Saloma yang bertepatan dengan kelahiran sebuah negara baharu bernama Malaysia yang terbentuk setahun sebelum itu. Terdapat beberapa rangkap pantun dalam lagu tersebut dan satu daripadanya menyebut Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia.

Joget Malaysia
P. Ramlee:
Ke pasar lama membeli serai,
Singgah bertanya Datuk Menteri;

Kalau Saloma orang yang pandai,
Di mana letak ibu negeri?

Saloma:
Anaklah bilal dari Mentakab,
Pergi ke Johor buat kenduri;

Encik Ramlee soal mudah dijawab,
Kuala Lumpur ibu negeri.

Empat tahun selepas itu, P. Ramlee juga telah mengabadikan nama Kuala Lumpur dalam judul lagu Keroncong Kuala Lumpur. Lagu ini turut dimuatkan dalam filem Anak Bapak yang diterbitkan pada tahun yang sama. Menerusi lagu ini, Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia digambarkan sebuah negara yang aman hasil kemerdekaan, kesuburan tanahnya, kekayaan hasil mahsul dan kehidupan rakyat Malaysia yang sehati sejiwa menerusi penggunaan satu bahasa.

Kuala Lumpur
ibu negara Malaysia
aman serta makmur
setelah merdeka.

Lagu ini diakhiri dengan kisah Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

waktu malam
cahaya menjulang tinggi
parlimen tersergam
lambang demokrasi

Memasuki era 1970-an, nama Kuala Lumpur sebagai judul lagu masih berkisar dalam lagu ciptaan P. Ramlee. Air Mata di Kuala Lumpur ialah lagu gubahan terakhir beliau yang dinyanyikan oleh Saloma. Kuala Lumpur dalam lagu ini tidak lagi menceritakan kisah bandar raya itu, sebaliknya berkisar tentang kisah P. Ramlee sendiri yang merupakan pencipta dan penulis lirik lagu berkenaan. Melodi yang sayu dan lirik yang hiba menggambarkan situasi P. Ramlee pada masa itu yang dikatakan tidak lagi mendapat sokongan dan perhatian masyarakat. Dalam lagu tersebut, P. Ramlee menggambarkan situasi yang dihadapinya seperti yang berikut:

Hancur musnah impian mulia
istana kubina menjadi pusara
gelaplah pasti masa hadapan
jiwaku merayau utara dan selatan.

Hidup sudah tiada bererti
zahirku hidup batinku mati
remuk redam hatiku hancur
air mata di Kuala Lumpur.

Selain lagu itu, tidak banyak lagu yang menggunakan nama Kuala Lumpur sebagai tajuk dalam era 1970-an. Namun begitu, pada era 1980-an, nama Kuala Lumpur dalam judul lagu kembali menyerlah dengan pelbagai kisah. Ada kisah cinta, kisah perjuangan hidup penghuni Kuala Lumpur dan kisah cabaran meneruskan kehidupan di bandar raya setelah lebih tiga dekad negara merdeka.

Kisah cinta berlatarbelakangkan Kuala Lumpur terungkap dalam lagu Senja di Kuala Lumpur nyanyian Broery Marantika dan Senyumlah Kuala Lumpur oleh Alleycats. Manakala kisah cabaran hidup di ibu negara Malaysia ini digarapkan dalam lagu Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur oleh Malek Ridzuan dan Sesat di Kuala Lumpur oleh M. Nasir dan Kembara.

Kuala Lumpur menjadi tumpuan sebagai kota tempat rakyat Malaysia meneroka peluang pekerjaan, pendidikan, pelancongan, kebudayaan dan sebagainya. Dalam setiap penerokaan itu, manusia saling bertemu dan berkomunikasi. Di kota inilah dua insan bertemu, menjalin hubungan cinta dan membina kenangan serta nostalgia. Broery Marantika menerusi lagu Senja di Kuala Lumpur yang dicipta oleh Ahmad Nawab mengungkapkan bandar raya ini sebagai latar kisah percintaan antara dua insan terutamanya pada waktu  senja. Suasana senja itulah yang membangkitkan kenangan dan menggamit nostalgia percintaan mereka.

Lagu Senyumlah Kuala Lumpur pula mempunyai lirik yang agak puitis. Gabungan sentuhan seni M. Nasir dan S. Amin Sahab sebagai pencipta dan penggubal lirik sering menghasilkan lagu-lagu yang puitis dengan maksud yang mendalam. Dalam Senyumlah Kuala Lumpur, kisah cinta antara dua jiwa digarap dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertemuan yang membibitkan perasaan cinta antara dua jiwa. Lebuh raya, papan tanda dan tugu negara adalah antara objek yang dijadikan simbolik sebagai penyokong dan pengukuh hubungan cinta dua jiwa ini di samping dedikasi ucapan terima kasih kepada Kuala Lumpur kerana mempertemukan cinta antara mereka berdua pada akhir lagu.

Kuala Lumpur dalam lagu terus diabadikan menerusi pelbagai kisah yang sesuai dengan prasarana ibu kota ini yang menggamit tumpuan ramai. Kuala Lumpur merupakan ibu kota yang menjadi harapan bagi anak muda lepasan sekolah untuk cuba mengubah nasib ke arah kehidupan yang lebih baik. Kuala Lumpur menjadi destinasi perantau dari seluruh pelosok negara dan kebanyakan perantau yang mencari rezeki di Kuala Lumpur percaya bahawa bandar raya ini merupakan lubuk rezeki.

Kota raya ini menjanjikan harapan kepada perantau walaupun cabaran yang menanti untuk memenuhi harapan tersebut amat besar. Kisah tentang harapan, cabaran, kehidupan pelbagai kaum di kota raya serta rasa bangga dengan keindahan Kuala Lumpur dialunkan oleh Malek Ridzuan dalam lagu Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur sebagai gambaran suara hati seorang perantau yang berhijrah ke ibu kota seorang diri.

Kuala Lumpur sebagai kota raya dan ibu negara Malaysia boleh menjanjikan harapan kepada sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun, harapan boleh menjadi kenyataan atau hanya tinggal harapan. Kuala Lumpur berkemungkinan besar akan membuktikan kejayaan yang dikecapi oleh seseorang ataupun boleh membawa  kehancuran jika seseorang itu terjebak dengan amalan negatif di kota raya tanpa dapat membezakan antara dosa dengan pahala. Hal inilah yang diungkapkan oleh M. Nasir dalam lagu Sesat di Kuala Lumpur yang mengisahkan kebarangkalian akan menemui kebahagiaan, kecewa, terpedaya dan beroleh kekayaan tetapi hati serta jiwa masih tidak tenteram dan akhirnya lupa daratan atau lupa asal usul sendiri.

Selain itu, kota Kuala Lumpur turut diabadikan dalam lirik lagu seperti lagu Chow Kit Road oleh Sudirman Haji Arshad pada tahun 1981. Chow Kit Road merupakan satu daripada jalan di Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan ramai. Sudirman Haji Arshad yang juga dikenali sebagai Seniman Rakyat turut mengadakan Konsert Gergasi secara percuma di jalan tersebut pada tahun 1986 bagi menghargai para peminatnya. Chow Kit Road dan Kuala Lumpur amat sinonim kerana apabila disebut nama Chow Kit, maka tergambarlah bandar raya Kuala Lumpur kerana nama Jalan Chow Kit disusuli dengan nama bandar raya Kuala Lumpur.

Memasuki era 1990-an, iaitu setelah empat dekad negara merdeka, nama Kuala Lumpur dalam lagu tidaklah begitu meriah seperti sebelumnya. Namun nama Kuala Lumpur diabadikan dalam lagu Tragedi antara Penang dan Kuala Lumpur. Lagu nyanyian Poppy Mercury ini mengisahkan hubungan dua insan yang terpisah setelah seorang daripadanya bertemu Ilahi. Kuala Lumpur dalam lagu ini hanyalah nama bandar yang menjadi destinasi perjalanan penyanyi tersebut sewaktu mendapat berita tentang kematian kekasihnya.

Memasuki alaf baharu, nama Kuala Lumpur masih mewarnai lirik lagu di negara ini. Kumpulan The Times dan Hujan mengabadikan nama Kuala Lumpur dalam lagu mereka, iaitu Panik di Kuala Lumpur, Singapura ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur. Ketiga-tiga lagu itu diterbitkan pada sekitar tahun 2007 hingga tahun 2008. Manakala Ana Raffali pula mendendangkan lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur pada tahun 2010.

Kebimbangan corak kehidupan seorang remaja yang masih mentah digambarkan dalam lagu Panik di Kuala Lumpur, manakala dalam lagu Singapura ke Kuala Lumpur, nama Kuala Lumpur digarap sebagai satu destinasi perjalanan penyanyi itu dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur. Dalam lagu Kuala Lumpur pula, Kumpulan Hujan mengisahkan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang semakin maju setelah hampir separuh abad negara merdeka. Lagu ini juga pernah dipopularkan oleh Tilu. Ana Raffali dalam lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur menceritakan kehidupannya di Kuala Lumpur yang bertemu dengan lelaki idaman hati menerusi simbolik “hujan bunga” yang merujuk kepada pemberian bunga daripada seorang lelaki yang jatuh cinta terhadap dirinya.

Memasuki dekad kedua alaf baharu, suasana Kuala Lumpur juga dirakamkan menerusi lagu berjudul Kotarayaku. Versi pertama lagu ini dinyanyikan oleh Tom pada tahun 2012 dan versi kedua pula dinyanyikan oleh vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dengan tambahan lirik rap oleh Altimet. Lagu ini berkisarkan kehidupan di kota raya Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan pelbagai kegiatan sehingga menjadikan ibu kota ini sentiasa hidup dan “tidak pernah tidur”. Pada tahun yang sama, Yuna dan Qi Razali mengabadikan nama Kuala Lumpur dalam lagu KL Kita yang mengisahkan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang memberi harapan dan semangat dalam kehidupan mereka.

Mengakhiri dekad kedua alaf baharu, nama Kuala Lumpur diabadikan dalam lagu Surat Cinta Kuala Lumpur ciptaan dan nyanyian Datuk Ramli Sarip. Lagu Surat Cinta Kuala Lumpur ini agak berbeza dengan lagu-lagu Kuala Lumpur yang lain kerana menjadi lagu tema sempena Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020. Malaysia telah melakar sejarah apabila Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), iaitu bandar raya ke-20 yang mendapat pengiktirafan tersebut sejak diperkenalkan pada tahun 2001. Kuala Lumpur dipilih kerana fokus yang tinggi terhadap pendidikan yang inklusif, pembangunan masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan dan kebolehcapaian membaca para penduduknya.

Kesimpulannya, Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia sentiasa menjadi tumpuan rakyat tempatan dan  warga luar. Bermula dengan pusat petempatan awal di pertemuan dua batang sungai, Kuala Lumpur berkembang pesat sehingga kini menjadi kota metropolitan dan destinasi tumpuan yang mewujudkan pelbagai komunikasi ekonomi, pendidikan, pentadbiran, budaya, teknologi dan sebagainya. Oleh sebab itu, nama Kuala Lumpur pasti akan terus diabadikan dalam karya-karya seni termasuklah sebagai judul lagu atau dalam lirik sesebuah lagu. Kuala Lumpur tetap hidup dalam jiwa rakyat Malaysia sebagai ibu negara kebanggaan semua.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.