Oleh Mubarak Ismail
1 Disember 2022, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA) 2022 telah berlangsung pada 30 November 2022 (Rabu) pada pukul 8.00 malam hingga 11.00 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Chen Xu dari China muncul sebagai Johan PALMA 2022 dan pemenang Kategori Vokal Terbaik.

Tujuan PALMA 2022 ini dianjurkan adalah untuk mengetengahkan dan menonjolkan bakat menyanyi lagu bahasa Melayu dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang bukan warganegara Malaysia serta memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam seni lagu pada peringkat antarabangsa.

PALMA 2022 ini dianjurkan oleh Persatuan Badan Budaya DBP dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU) serta disokong oleh DBP, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Naib Johan PALMA 2022 dirangkul oleh Shannon Nalam Adrianna Kamlus dari Papua New Guinea.

Pertandingan nyanyian lagu ini dinilai oleh tiga orang panel juri, iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM); Encik Ramlan Mohd Imam, Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Dato’ Wan Aishah Wan Ariffin, seorang penyanyi, penulis lagu dan pelakon.

Di samping itu, sebanyak 10 peserta berjaya mara ke peringkat akhir PALMA 2022 ini. Chen Xu dari China muncul sebagai johan keseluruhan PALMA 2022 dan pemenang Kategori Vokal Terbaik dengan mendendangkan lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian asal oleh Hafiz Suip serta berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM8000, piala pusingan, trofi, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.

Tempat ketiga PALMA 2022 dimenangi oleh Ranepura Hewage Janithi Jinethra Renepura dari Sri Lanka.

Naib johan pula dirangkul oleh Shannon Nalam Adrianna Kamlus dari Papua New Guinea dengan dendangan lagu Kau Terlalu Istimewa nyanyian asal oleh Allahyarhamah Adibah Noor. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Ranepura Hewage Janithi Jinethra Renepura dari Sri Lanka dengan tajuk lagu Semalam nyanyian asal oleh Aina Abdul. Kedua-dua mereka masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5000 dan RM3000 beserta trofi, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.

Kategori Persembahan Terbaik PALMA 2022 dimenangi oleh Huang Yuxiao dari China.

Tujuh orang peserta yang berjaya memenangi hadiah sagu hati pula ialah Abdullahi Abdi Abu Bakar Hassan dari Somalia, Ashley Mutanaugwa dari Zimbabwe, Huang Yuxiao dari China, Sujana Shafi dari Bangladesh, Choi Ji Yeon dari Korea Selatan, Pan Hui dari China dan Mohamach Rouslan dari Vietnam. Semua pemenang berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1000, trofi, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.

Kategori Persembahan Terbaik pula dimenangi oleh Huang Yuxiao dari China yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1000, trofi, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP menerusi dendangan lagu Satu Hari Nanti nyanyian asal oleh Najwa Latif.

Barisan tetamu kehormat PALMA 2022.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi; Ketua Pengarah JKKN, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan; Naib Canselor APU, Profesor Dr. Ho Chin Kuan dan Penasihat Persatuan Badan Budaya DBP, Encik Abdul Wahab Hamzah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.