Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Setelah mula dikenali dan diminati ramai dengan lagu yang diberikan nafas baharu, iaitu Tiara dan Suatu Masa, penyanyi yang dikatakan mempunyai suara yang mirip dengan suara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu P. Radhi muncul mendendangkan lagu Hari Raya ciptaan baharu yang berjudul Salam Hari Raya.
Melodi ciptaan komposer dan pemuzik AR Wanz dan lirik karya Keon membawa P. Radhi semakin menghampiri kesamaan dengung suaranya dengan P. Ramlee. Radhi yang merupakan penyanyi eksklusif di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas) berasa amat teruja untuk mendendangkan lagu Hari Raya yang baharu selain lagu Hari Raya yang diberikan nafas baharu sahaja.
“Alhamdulillah, akhirnya terbit juga lagu asal pertama saya daripada Luncai Emas. Jutaan terima kasih kepada syarikat milik Dato’ M. Nasir ini kerana percaya kepada saya untuk mendendangkan lagu tersebut dan tidak lupa juga kepada pasukan di belakang tabir yang menjayakannya,” kata P. Radhi.
“Kita perlu akur sebenarnya bahawa Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan hari kebesaran untuk umat Islam yang berjaya mengharungi dugaan Ramadan. Bagi saya, Aidilfitri juga dilihat sebagai cerminan untuk kita menilai jika ada kemajuan atau tidak dari segi kehidupan dan amalan di sepanjang Ramadan. Justeru, kita perlu meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan,” kata P. Radhi lagi.
Di samping itu, Wanz atau nama sebenarnya, Mohd. Ridzuan Taib memberitahu idea lagu Salam Hari Raya terhasil daripada mimpi beliau tentang P. Ramlee yang sedang mengalunkan sebuah irama sambil memetik gitar. Namun begitu, apabila Wanz tersedar, beliau tidak dapat mengingati secara keseluruhan melodi dalam mimpinya itu. Beliau cuma dipandu oleh sekelumit saki-baki ingatan dan terus melengkapkan melodi tersebut.
“Gaya lirik lagu Salam Hari Raya memfokuskan kepada gaya penulisan dan sebutan cara lama. Di samping itu, inti pati maksudnya pula mengagungkan kebesaran Allah SWT dan meraikan kemenangan umat Islam melawan nafsu diri. Hal itulah yang menjadi tumpuan saya tentang makna Hari Raya Aidilfitri ini,” ujar Keon yang telah menghasilkan lagu-lagu seperti Pertama Ramadhan Ini nyanyian Fotograf, Menyantun Kasih (Siti Nordiana) dan Kejoraku Bersatu (Search).
Kini lagu Salam Hari Raya sudah boleh distrim bermula 14 April lalu menerusi semua peranti seperti Apple Music, Joox, Spotify dan Itunes Store. Sebuah video lagu turut dilancarkan pada hari yang sama di Youtube Luncai Emas.
Luncai Emas sebagai penerbit dan pengedar tunggal lagu hari raya baharu ini ke pasaran digital mendedikasikan lagu Salam Hari Raya kepada seluruh masyarakat Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan berharap agar lagu ini dapat menarik minat pelbagai kaum terutamanya generasi muda.
SALAM HARI RAYA
Nyanyian: P. Radhi
Bergema takbir
di hening pagi Syawal
sayu menyentuh hati
mendengarnya.
Kulihat langit
semakin bersinar cahaya
kurasa bersyukur
dapat nikmat hari raya.
Hari mulia
hari menang kita
tertewas nafsu diri
kita rai di Aidilfitri.
Salam hari raya
segala puji Maha Esa
ampun dipinta
hari mulia.
Bersihkanlah diri
zahir dan batin terpuji
semoga kita dalam
restu Ilahi.
Hak cipta lagu/lirik: Luncai Emas Sdn. Bhd.