6 April 2023, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Para peminat kumpulan muzik terkenal dari Boston, Amerika Syarikat, iaitu Dream Theater bakal dapat menonton persembahannya di Kuala Lumpur dan Singapura pada bulan hadapan. Dalam rangkaian jelajah Top of The World mereka, Kuala Lumpur dan Singapura merupakan antara destinasi yang akan digegarkan. Shiraz Projects dengan bangganya membawakan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1985 ini ke The Star Theatre, Singapura pada 9 Mei 2023 dan Zepp Kuala Lumpur pada 10 Mei 2023.

(Dari kiri) John Petrucci, Mike Mangini, James LaBrie, John Myung dan Jordan Rudess.

Bagi Shiraz Projects, persembahan oleh Dream Theater ini menjadi kebanggaan mereka kerana dapat menjadi sebahagian daripada rangkaian Top of the World yang bermula dari Seoul, Korea kemudian ke beberapa buah negara dan berakhir di Indonesia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Encik Shirazdeen Karim, pihaknya sebagai penganjur berasa sangat gembira dapat membawakan Top of the World kepada para peminat di Malaysia dan Singapura serta percaya bahawa para peminat Dream Theater telah lama mahu menyaksikan mereka kembali beraksi.

Dream Theater menamatkan jelajah UK 2023 mereka pada 21 Februari lalu dan akan memulakan semula jelajah di Seoul pada 26 April 2023. Seterusnya, menuju ke Jepun, iaitu Tokyo, Nagoya dan Osaka sebelum menggegarkan Malaysia, Singapura dan Indonesia. Kemunculan Dream Theater yang dibarisi oleh James La Brie (vokalis), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) sentiasa dinanti-nantikan, terutama dalam kalangan peminat muzik rock dan metal.

Dream Theater cukup dikenali dengan ketelitian dalam penghasilan muzik. Gubahan muzik mereka dilihat cukup progresif, kompleks dan padat terutama daripada pemain gitar Petrucci yang juga “pengemudi” mereka. Petrucci adalah antara pemain gitar terhebat dunia dan berada pada kedudukan kedua sebagai Pemain Gitar Metal Terbaik dalam buku The 100 Greatest Metal Guitarists pada tahun 2009.

Album terakhir Dream Theater yang bertajuk A View from the Top of the World telah dilancarkan pada tahun lalu dan merupakan projek pertama yang dirakamkan di studio mereka sendiri, iaitu Dream Theater Headquarters. Dengan judul yang sama, mereka telah beraksi di banyak lokasi untuk bertemu dengan para peminat termasuklah Malaysia dan Singapura.

Dream Theater dikhabarkan sedang membuat persediaan untuk penerbitan album studio ke-16 selepas A View from the Top of the World. Dream Theater berjaya memenangi Anugerah Grammy pertama mereka pada tahun 2022 dalam kategori Best Metal Performance bersempena Anugerah Grammy ke-64 menerusi lagu The Alien dalam album A View from the Top of the World.

Dalam satu kenyataan media, album A View from the Top of the World digambarkan sebagai teater impian pada kehalusan muziknya (Dream Theater at its musical finest). Hal ini berikutan dengan perkembangan bunyi yang mereka cipta di samping mengekalkan unsur-unsur baharu dan lama yang sekali gus diminati oleh para peminat mereka di seluruh dunia.

Album yang memuatkan tujuh buah lagu itu juga diangkat sebagai album studio kedua dengan kerjasama InsideOut Music dan Sony Music. A View from the Top of the World diterbitkan oleh Petrucci dan menyaksikan James “Jimmy T“ Meslin bertugas sebagai jurutera dan produksi serta hasil kerja adunan utama oleh Andy Sneap.

Justeru, buat para peminat tegar Dream Theater di Malaysia, jangan lupa untuk mendapatkan tiket dengan harga RM700 (VIP), RM398 (Berlian/Berdiri), RM258 (Platinum/Berdiri), RM398 (Emas/Duduk) dan RM258 (Perak/Duduk). Kepada para peminat di Singapura pula, tiket dijual pada harga $168 (Berlian), $148 (Platinum), $128 (Emas), $108 (Perak) dan $88 (Pemandangan Terhad).

Tiket mula dijual pada 3 April 2023, jam 2 petang menerusi laman sesawang www.myticket.asia untuk Kuala Lumpur, manakala www.sistic.com.sg pula untuk konsert di Singapura. Sebarang makluman terkini, sila layari laman sosial Shiraz Projects.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.