2 September 2022, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Program Blues Rock Antarabangsa Langkawi ASEANA 2022 (LIBRA 22) akan berlangsung pada 17 hingga 19 Disember 2022 di Langkawi. LIBRA 22 merupakan program muzik perdana bagi genre muzik blues di Malaysia.

LIBRA 22 diilhamkan oleh legenda blues negara, Ito Mohd atau nama sebenarnya Mohd. Arif Kendut menerusi pemerhatian dan pengalaman beliau yang luas dalam arena muzik sama ada dalam negara mahupun luar negara.

Program ini juga merupakan kesinambungan LIBRA 17 dan LIBRA 18 anjuran bersama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Selain dua program tersebut, terdapat juga sebuah program anjuran bersama dengan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2018, iaitu Festival Muzik Kota Dame 2018.

LIBRA 18 berlangsung pada 29 hingga 31 Disember 2018 di Laman Padi, Langkawi dan berjaya menarik lebih 700 pengunjung.

Sehubungan dengan itu, LIBRA 22 dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung kerana LIBRA mempunyai kumpulan pengikutnya yang tersendiri. LIBRA 22 turut menyenaraikan para penyanyi daripada kumpulan blues terkemuka merangkumi dalam dan luar negara.

Ito Mohd (Mohd. Arif Kendut) mengilhamkan idea LIBRA 22.

Penglibatan para penyanyi kumpulan blues dari Singapura, Indonesia, Jepun dan Iran turut memberikan peluang kepada pemuzik blues negara untuk bersaing dan dikenali pada peringkat antarabangsa.

Penjenamaan semula muzik blues di Malaysia supaya bersifat antarabangsa dan pada masa yang sama mengekalkan inti pati budaya negara yang penting demi kelestarian muzik blues untuk jangka masa panjang. Program seperti ini dapat membantu mewujudkan keharmonian serta memupuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

LIBRA 22 bermatlamat menjenamakan semula muzik blues di Malaysia. Inti pati program yang mempamerkan keharmonian barisan penyanyi kumpulan blues dapat menyatukan para peminat blues di Asia Tenggara.

Hal ini boleh mengangkat kedudukan LIBRA 22 berikutan terdapat pasaran yang luas, iaitu kira-kira 10 juta peminat blues di seluruh Asia Tenggara. Publisiti positif mampu memberikan peluang kepada barisan penyanyi kumpulan blues di Malaysia untuk terus maju dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.

Antara matlamat LIBRA 22 adalah:

a) Membantu menyemarakkan dan menggiatkan industri pelancongan dan hiburan selepas wabak pandemik COVID-19.

b) Membantu memastikan industri pelancongan dan hiburan negara terus berdaya saing.

c) Membawa muzik blues dan rock Malaysia ke arena antarabangsa.

d) Berperanan sebagai produk pelancongan kepada negara untuk mempromosikan muzik blues dan rock Malaysia serta inti pati budaya Malaysia yang turut diserapkan dalam konsep persembahan.

e) Menyerlahkan Malaysia dan semua akar budaya Asia yang lain.

f) Memberikan peluang kepada usahawan barangan vintaj, peniaga trak makanan dan lain-lain untuk mempamerkan jenama dan produk mereka.

g) Meningkatkan ekonomi setempat dengan penglibatan para peniaga dan pengeluar tempatan.

h) Menggalakkan sikap positif kepada belia melalui muzik.

i) Mewujudkan komuniti blues dan rock di semua negeri di Malaysia.

j) Mewujudkan sebuah pelantar untuk semua penyanyi kumpulan blues dan rock mempamerkan bakat.

k) Mendukung muzik blues dan rock Malaysia serta membawa lagu-lagu nyanyian penyanyi tempatan ke peringkat antarabangsa seperti lagu Apo Nak Dikato.

l) Sebagai medium untuk penyanyi genre blues dan rock dalam dan luar negara berkumpul serta membentuk jaringan kerjasama.

Objektif jangka masa panjang LIBRA 22 adalah membina penjenamaan muzik blues yang kuat dan dikenali di dalam dan luar negara. Penjenamaan ini boleh dibuat untuk artis-artis genre blues dan juga untuk LIBRA 22 sebagai produk pelancongan.

Kebanyakan program seperti ini yang telah berlangsung selama lebih 10 tahun terbukti mampu memberikan impak positif kepada penjenamaan ekonomi tempatan dan peningkatan aliran masuk pengunjung dari seluruh dunia.

LIBRA 22 mampu membina kumpulan pengikutnya yang tersendiri, terutamanya dalam kalangan negara ASEAN.

Antara pelbagai acara menarik yang mengisi LIBRA 22 adalah pameran yang akan berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam. Selain itu, terdapat aktiviti lain seperti klinik muzik, kesenian dan sesi “nasihat otai”. Persembahan pentas akan bermula pada jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Pengunjung LIBRA 22 akan dapat menikmati pelbagai jenis muzik blues daripada barisan penyanyi dan kumpulan blues yang pelbagai dari seluruh dunia. Hal ini dapat membantu menarik pengunjung dari pelbagai tempat, termasuklah dari Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan lain-lain, sekali gus meningkatkan aliran masuk pelancong ke Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pengurus Itos Cottage Music, Kid Afero Mohd Arif menerusi talian 017 399 0162.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.