Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLangkawi – Pada tanggal 18 Februari yang lalu, satu majlis sambutan Israk dan Mikraj telah diadakan di Kota Mahsuri, Langkawi. Seramai hampir 50 orang penduduk yang berpakaian busana tradisional Melayu telah hadir meraikannya bersama-sama pengunjung dan pihak pengurusan Kota Mahsuri. Program tersebut merupakan anjuran bersama dengan kumpulan Busana Sejarah Warisan Langkawi (BSWL) dan Sri Kenayan Kota Mahsuri.
Majlis dimulakan dengan sambutan secara tradisional, iaitu perarakan bunga manggar yang diiringi dengan muzik tiupan tetuang dan gendang silat, sesi lawatan di sekitar kompleks Kota Mahsuri serta sesi penerangan tentang perjuangan armada laut Langkawi semasa peperangan antara kerajaan Kedah dengan Siam yang lebih dikenali sebagai Perang Musuh Bisik pada sekitar tahun 1821 hingga tahun 1842.
Langkawi turut terkesan dengan peristiwa yang berlaku pada abad ke-19 tersebut dengan kesan kemusnahan yang amat besar, malahan turut dikaitkan dengan kesan daripada sumpahan Mahsuri. Panji perang Panglima Ali menjadi bukti kerjasama erat antara pahlawan Melayu dan ulama agama.
Jurucakap Kota Mahsuri, Ku Aliff Qayyum Ku Izham dalam penerangannya menzahirkan harapan agar generasi Kedah dan Langkawi pada hari ini berterusan bersemangat untuk berjuang dalam usaha memelihara keamanan yang telah dicapai oleh generasi terdahulu. Seterusnya diadakan majlis bacaan tahlil untuk roh arwah-arwah yang telah meninggal dunia.
Pengisian majlis disambung dengan persembahan silat oleh para pesilat Kota Mahsuri dan ahli kumpulan BSWL. Di lokasi yang sama turut disajikan dengan pelbagai persembahan tradisional lain seperti gamelan, caklempong, muzik asli dan berendoi oleh kumpulan Keluarga Angkatan Budi Seni (KABUS). Waktu rehat pula diisi dengan aktiviti bebas dan makan tengah hari. Usai solat Zuhur secara berjemaah, tazkirah berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj disampaikan oleh Ustaz Firdaus Al Radzi.
Ustaz Firdaus Al Radzi memulakan takzkirahnya dengan pengkisahan tentang tahun dukacita. Seterusnya, beliau memperingatkan para hadirin tentang perjalanan teragung Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis merupakan suatu kemuliaan kepada baginda, bukan sahaja menerima perintah tentang solat, sebaliknya turut dapat berkomunikasi dengan Allah SWT dan malaikat Jibril. Majlis diakhiri dengan menonton persembahan teater pantodra Mahsuri di Panggung Mek Mulung, Kota Mahsuri pada jam 3 hingga 4 petang.
Ustaz Firdaus Al Radzi sebagai jurucakap BSWL menyatakan bahawa BSWL telah menggerakkan beberapa langkah untuk mengimarahkan aktiviti berasaskan kebudayaan Melayu di Langkawi. Antaranya termasuklah beberapa kali menjadi penganjur bersama program berbusana beserta penerangan pemakaian keris sebagai identiti masyarakat dahulu, perkongsian sejarah Langkawi, pertunjukan silat Melayu, kursus-kursus kebudayaan seperti kursus mengarang tanjak, kursus ikatan samping dan lain-lain.
Selain itu, BSWL juga giat menjalinkan hubungan baik dengan aliran-aliran persilatan yang bergiat aktif di Langkawi serta berperanan sebagai penyokong usaha mana-mana pihak yang menganjurkan aktiviti berasaskan kebudayaan dengan membantu promosi dan turun padang bagi memeriahkan penganjuran aktiviti supaya menjadi pencetus gelombang kepada masyarakat yang lain.
BSWL juga aktif bertukar-tukar ilmu pengetahuan tentang adat, budaya dan sejarah silam Melayu secara meluas yang berkaitan dengan Langkawi. Justeru, masyarakat awam akan terdedah dengan tradisi dan warisan yang menjadi sebahagian daripada budaya sejak leluhur dahulukala.