18 Februari 2023, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Dalam usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan negara yang terjejas kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda, pihak Tourism Malaysia secara aktif telah membantu mempromosikan kempen Cuti-Cuti Malaysia ke seluruh Malaysia. Baru-baru ini, Tourism Malaysia telah menganjurkan demonstrasi masakan tradisional menerusi penampilan istimewa Duta Pelancongan, Seni dan Budaya bagi segmen gastronomi, iaitu Dato’ Chef Ismail Ahmad di Berjaya Langkawi Resort, Langkawi.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Encik Zakaria Mohd Nani, antara menu istimewa yang ditampilkan oleh Dato’ Chef Ismail dalam demonstrasi masakan tradisional pada kali ini ialah resepi tradisional merangkumi ayam kalio Negeri Sembilan dan cucur bawang.

“Demontrasi masakan yang diketengahkan ini bertujuan untuk menarik minat para pelancong serta memperkenalkan sajian istimewa ini khususnya kepada para pengunjung yang menginap di Berjaya Langkawi Resort,” ujar Encik Zakaria dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh Tourism Malaysia.

Antara pelancong asing yang hadir untuk cuba memasak masakan tradisional Malaysia.

Budaya amat berkait rapat dengan sajian makanan dan usaha memperkenalkan pelbagai makanan tradisional Melayu melalui demosntrasi masakan dapat menggalakkan serta membantu para pelancong mengenali dengan lebih dekat dan terperinci tentang budaya dan adat Melayu terutamanya yang berkaitan dengan sajian makanan tradisional.

Berjaya Langkawi Resort dipilih sebagai lokasi penganjuran demonstrasi masakan tersebut kerana pusat peranginan itu sering menjadi lokasi pilihan pelancongan antarabangsa yang berinspirasikan keunikan alam semula jadi serta telah berjaya merangkul beberapa anugerah bertaraf antarabangsa.

Di samping itu, Tourism Malaysia dengan kerjasama Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (KOPTUBAS) juga telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi aktiviti penanaman anak pokok bakau.

Antara tujuan lain program yang turut mendapat sokongan dan dijayakan oleh penduduk tempatan itu ialah menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan komuniti setempat sekali gus menyantuni pemain industri pelancongan di Langkawi sewaktu pascapandemik COVID-19 yang seterusnya secara tidak langsung membantu mempromosikan kempen Cuti-Cuti Malaysia di pulau tersebut.

Antara pelancong asing yang terlibat dalam demonstrasi masakan tradisional bersempena kempen Cuti-cuti Malaysia.

Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi juga turut menjayakan program seminar dan International Tourist Guide Day sewaktu kunjungan promosi kempen Cuti-Cuti Malaysia ke pulau tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.