Oleh Izzat Isa
1 Mac 2023, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Pada 23 hingga 27 Februari lalu, telah berlangsungnya Festival Buku Langkawi 2023 di Langkawi Fair Shopping Mall, Kuah, Langkawi. Majlis tahunan ini diusahakan bagi meraikan musim cuti persekolahan dan pada masa yang sama dapat memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mendapatkan bahan bacaan terkini merangkumi pelbagai genre daripada pelbagai penerbit dan penjual. Majlis pelancaran dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerajaan Kedah Darul Aman merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Yang Berhormat (YB) Encik Mohd Firdaus Ahmad.

Gimik perasmian yang disempurnakan oleh YB Encik Mohd Firdaus Ahmad, Ahli Majlis Kerajaan Kedah Darul Aman merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.

Selain jualan buku, pelbagai aktiviti telah diadakan. Antara aktiviti hiburan yang dilaksanakan termasuklah seperti persembahan nyanyian oleh The Commitment Band, persembahan kanak-kanak dan maskot bertajuk “Anak-Anak Riang, Perpaduan Terbilang”, perkongsian tentang doodle art yang bertajuk “My Inspiration” oleh Elisha Huda, persembahan pentas “santai seni pentas” oleh Persatuan Teater Alor Setar, persembahan nyanyian oleh artis Along Zaimi Mentor dan aktiviti cabutan bertuah. Selain itu, turut diadakan aktiviti santai seperti pertandingan mewarna keluarga dan maskot dengan tema “Ceria Cuti Sekolah” serta pertandingan gubahan kreatif (gubahan coklat).

Sepanjang festival berlangsung, program-program perkongsian seperti bicara dan ceramah turut diadakan bagi menambah ilmu pengetahuan serta perkongsian dengan topik khas kepada penduduk dan pengunjung. Antaranya seperti program wacana sasterawan dengan tajuk “Saujana Kata Sasterawan” oleh Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari dan bicara buku karya penulis Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) oleh Sanusi Daud dan Dr. Husairi Hussin,

Di samping itu, turut berlangsung pelancaran buku penulis Utara merangkumi Nur di Ufuk Timur karya Zarida Rasdi, Berkongsi Takdir karya Hasan Baseri Budiman, Fragmen Memori di Daerah Sepi karya Rosnani Ahmad, Pulau Kasih karya Zainol Idris dan Luka Rindu karya Zaidin Abadi serta bicara sukan dengan tema “Sembang Bola” bersama-sama legenda bola sepak negeri Kedah, Ahmad Fauzi Shaari (Pak Long) dan Shafizan Hashi (Pelam).

Lawatan ke reruai pameran dan jualan oleh CP Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Selain itu, bersempena Festival Buku Langkawi 2023 turut diadakan ceramah agama bertemakan “Bila Hati Mati” oleh Ustaz Mahi Raja, wacana bahasa bertajuk “Berkarya Berbahasa” oleh Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka, Munsyi Mohamad Musip, bicara tokoh dengan tajuk “Jenayah dan Keselamatan Komuniti” oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia, CP Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ceramah Inspirasi dengan tema “Inspirasi OKU: Yakin Boleh” oleh penerima Anugerah Cemerlang OKU Kebangsaan, Mohd Sukur Ibrahim.

Festival Buku Langkawi dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Langkawi Fair Shopping Mall.

Festival ini turut mendapat sokongan daripada rakan strategik daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) serta perpustakaan setiap negeri. Pengisian aktiviti sepanjang festival ini turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.