Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSintok – Manis mengenakan yukata sambil memegang payung sakura berwarna merah jambu, menikmati hidangan sushi dan mengasah bakat membuat origami, kirigami dan bermain kendama. Peluang mencuba permainan tradisional, melihat pameran kebudayaan, menonton tayangan filem Jepun, berjalan-jalan di gerai jualan serta menikmati aroma masakan autentik Jepun membuatkan hati berasa bagaikan berada di negara “matahari terbit”.
Itulah perasaan yang dialami oleh para pengunjung Festival Jepun atau Nihon Matsuri yang berlangsung buat pertama kalinya di Ruang Legar Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula pada 14 hingga 16 Januari 2023.
Acara kebudayaan ini merupakan kerjasama antara Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Muzium Pengurusan UUM, Pusat Budaya dan Seni serta Japanese Language and Cultural Club UUM yang bertujuan untuk memberikan pengalaman mengenali budaya Jepun kepada warga UUM dan masyarakat sekitar.
Pengunjung yang juga pelajar Sarjana Muda Pengurusan Acara, Mustika Misnari berkata, pesta kebudayaan seumpama ini mendapat sambutan meriah dan menarik perhatian warga kampus serta masyarakat setempat termasuklah pelajar sekolah dan institusi pendidikan tinggi di sekitar negeri Kedah.
“Nihon Matsuri memang seronok, saya dapat belajar banyak perkara tentang budaya dan cara hidup masyarakat Jepun dari aspek pemakanan, permainan, pakaian, kaligrafi, dan bahasa,” ujar Mustika Misnari yang hadir bersama-sama rakannya melawat reruai Nihon Matsuri. Matanya tertarik pada gerai pakaian tradisional Jepun, yukata yang biasanya dipakai pada musim panas.
“Pada awalnya saya menjangkakan pakaian kimono. Sekilas pandang nampak seperti kimono, namun rupa-rupanya ialah yukata. Saya sangat teruja melihat cara orang Jepun berpakaian yukata dan bertambah teruja apabila berpeluang memakainya serta kelihatan sungguh cantik dan sopan,” kongsi Mustika Misnari.
Yukata merupakan pakaian tradisional Jepun yang diperbuat daripada fabrik seperti kapas. Fabriknya yang tipis dan hanya selapis sesuai dipakai pada musim panas. Hal ini berbeza dengan kimono yang berlapis-lapis dan diserikan dengan obi berupa kain pengikat pinggang yang menjadikan penampilannya sangat menarik.
Dalam festival yang sama, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah selaku Naib Canselor UUM berkata, Dasar Pandang ke Timur yang telah diperkenalkan oleh kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan etika kerja di Malaysia masih relevan hingga hari ini. Bahkan, dasar tersebut harus kekal sebagai asas kepada strategi dan usaha memacu negara ke hadapan.
“Tahun 2022 menandakan genap 40 tahun Dasar Pandang ke Timur sejak diperkenalkan pada tahun 1982. Banyak pencapaian dalam bidang ekonomi dan sosial telah berjaya dicapai menerusi pelbagai kerjasama yang diwujudkan antara Malaysia dan Jepun.
Di samping itu, menerusi Dasar Pandang ke Timur juga telah membuka jalan dan peluang kolaborasi antara Malaysia dengan Jepun yang meliputi pelbagai bidang termasuklah bidang pendidikan. Kesannya, kita berjaya menghantar pelajar, ahli akademik dan pegawai kerajaan ke Jepun untuk menimba ilmu dan pengalaman yang boleh dibawa pulang untuk diterapkan di Malaysia,” ucap Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah sewaktu menyempurnakan perasmian Nihon Matsuri.
Tambah beliau lagi, Nihon Matsuri menjadi permulaan kepada kerjasama berterusan yang akan meningkatkan hubungan baik antara Jepun dan UUM pada masa hadapan selain menyatakan komitmen UUM untuk mengembangkan lagi hubungan kerjasama ini.
Manakala menurut Konsul–General Jepun di Pulau Pinang, Kawaguchi Yoshiyasu, program seperti ini mampu memberi pendedahan kepada warga UUM tentang penerapan budaya dan nilai positif serta etika masyarakat Jepun yang menjadi tunjang kepada Dasar Pandang ke Timur.
Beliau berasa bangga dan berbesar hati kerana Nihon Matsuri mendapat sambutan yang menggalakkan dan berjaya menarik minat para pengunjung sebagai satu daripada usaha untuk merapatkan lagi hubungan antara Jepun dan Malaysia.
“Nihon Matsuri mempromosikan budaya Jepun dalam kalangan warga kampus UUM dan rakyat Malaysia selain menggalakkan lagi pertukaran budaya antara Jepun dan Malaysia. Saya berharap agar Nihon Matsuri bukan sekadar sambutan merayakan kejayaan lalu dalam Dasar Pandang ke Timur, bahkan menjadi asas baharu bagi memahami dan menjadi nilai tambah kepada kerjasama antara dua negara pada masa hadapan,” ujar Kawaguchi Yoshiyasu.