27 Februari 2023, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sempena penganjuran Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2023 (KLAB 2023) yang berlangsung selama empat hari bermula dari 23 hingga 26 Februari 2023, sebuah syarikat penerbitan buku mandiri, iaitu Toko Buku Pujangga Baru telah melaksanakan inisiatif gigih untuk menganjurkan sebuah majlis peluncuran dan bicara buku yang dinukilkan oleh Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican dengan buku yang bertajuk Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago.

Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican (kanan) bersama-sama Fadhrul Irwan (tengah), pelajar pascasiswazah sejarah dan ketamadunan IIUM dan moderator, Sadiq Salihoddin (kiri).

Majlis peluncuran dan bicara buku ini merupakan satu daripada 12 acara yang dianjurkan sepanjang KLAB 2023 berlangsung dan diadakan di pentas utama Pasar Seni, Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 25 Februari 2023 jam 4.00 hingga 5.00 petang. Majlis ini juga dikendalikan oleh saudara Sadiq Salihoddin selaku moderator dengan mengundang dan menampilkan Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican sebagai penulis buku dan pembicara satu dan saudara Fadhrul Irwan selaku pembicara kedua. Majlis ini turut dirasmikan oleh Puan Adibah Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku.

Sesi pertama majlis tersebut berfokus kepada sesi bicara buku. Menurut Profesor Dato’ Dr Ahmad Murad Merican, buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago ini merupakan himpunan penulisan artikel beliau yang pernah diterbitkan dalam Melaka Hari Ini (MHI), sebuah syarikat media rasmi yang khusus untuk menerbitkan akhbar mingguan yang bertempat di Ayer Keroh, Melaka.

“Buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago ini bukan sebuah buku sejarah, sebaliknya adalah sebuah buku naratif. Menerusi buku ini, saya menginterpretasikan pandangan saya tentang sifat dan pengertian kosmopolitan itu sebagai pertemuan dan pertembungan segala budaya dan tamadun, di samping turut dijadikan sebagai satu bentuk wahana bagi menyangkal dakwaan sesetengah golongan cerdik pandai bahawa orang Melayu tiada tamadun,” kata Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican.

Fadhrul Irwan selaku pembicara kedua turut mengutarakan pandangan beliau dengan menyorotkan isi kandungan yang terdapat dalam buku tersebut. Menurut Fadhrul Irwan, setelah meneliti daripada satu lembaran ke lembaran yang seterusnya mengenai inti pati yang hendak disampaikan dalam buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican cuba membawa satu tema dan tidak menyusunnya secara kronologikal.

Majlis Peluncuran dan Bicara Buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago.

“Saya melihat lima perkara utama yang dapat disorotkan dan dikupaskan daripada buku ini. Kita melihat contoh kerajaan Srivijaya yang merupakan sebuah kerajaan Melayu yang bukan sahaja sebagai sebuah emporium yang cukup gah dan masyhur, bahkan merupakan sebuah pusat keintelektualan. Walau bagaimanapun, orang hanya mula melihat dan mengenali kosmopolitan dan maknanya apabila melihat kota Melaka. Sebelum berdirinya kota Melaka, rantau Nusantara ini sebenarnya sudah dipenuhi dengan orang ramai serta berlakunya pertembungan budaya dan agama kerana kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu silam. Namun begitu, sifat nasionalisme yang terlalu tinggi menyebabkan wujud stigma bahawa orang di rantau Nusantara ini dianggap sebagai orang asing disebabkan oleh dasar kolonialisme yang dijalankan oleh kuasa Barat pada suatu ketika dulu,” ujar Fadhrul Irwan.

Fadhrul Irwan turut mengetengahkan pandangan beliau tentang berlakunya pelbagai isu tafsiran yang berkait rapat dengan definisi dan konsep rantau dan perantauan. “Kita tidak membawa sebarang interpretasi baharu mengikut sudut pandang atau worldview sebagai orang dan masyarakat berbangsa Melayu, sebaliknya kita hanya meneruskan atau mewarisi sahaja interpretasi Barat dan metodologi mereka,” kongsi Fadhrul Irwan.

Sesi bicara buku ini diteruskan dengan ucapan penggulungan daripada Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican dan Fadhrul Irwan. “Saya mengumpul dan menulis serta menyusun semula idea mengenai tempat saya menetap. Saya adalah warga kepulauan Melayu dan warga tanah air ini, maka hal ini menjadi sebagai satu ekspresi dan taman permainan dari segi geografi dan visual. Buku ini dibaca sebagai satu realiti dan saya juga berasa bahawa perkara yang hendak saya kupas sama ada mengenai tempat, budaya, imej tanah air dan rantau ini tidak semestinya betul,” jelas Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican. Fadhrul Irwan juga berpendapat yang sama bahawa buku ini adalah sebuah naratif dan kronikal yang memuatkan realiti sejarah, budaya dan sosiologi di Kepulauan Melayu.

Sesi peluncuran buku kemudian diteruskan dengan menjemput Adibah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku untuk menyampaikan sepatah dua kata dan merasmikan majlis peluncuran dan bicara buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago.

“Saya berharap agar masyarakat dari pelbagai lapisan khususnya golongan muda dapat membaca, menikmati serta menelaah buku Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago ini agar dapat mengenali budaya dan tamadun kita dengan lebih mendalam,” ujar Adibah Omar.

Adibah Omar turut mengambil kesempatan untuk menerangkan  kepada para hadirin mengenai usaha yang kini sedang giat dijalankan oleh Perbadanan Kota Buku untuk mewujudkan sebuah gedung jualan buku secara dalam talian yang pastinya akan membawa pelbagai manfaat kepada semua pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.