Oleh Firdaus Mul
22 Februari 2023, 12:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelbagai acara menarik akan diadakan bersempena Kelantan Art & Culture Festival Tour yang bakal berlangsung selama tiga hari, yakni bermula dari 24 hingga 26 Februari 2023 bertempat di Muzium Negara, Kuala Lumpur. Selain pameran, terdapat juga persembahan dan demonstrasi pembuatan seperti demonstrasi pembuatan kraf tangan dan makanan tradisional Kelantan.

Nik Ahmad Shazzwan Nek Muhammad, Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Hal ini turut dijelaskan oleh Nik Ahmad Shazzwan Nek Muhammad yang merupakan Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pejabat SUK Kelantan) dalam rancangan temu bual Selamat Pagi Malaysia baru-baru ini bagi membincangkan topik berkenaan Kelantan Art & Culture Festival Tour.

Nik Ahmad Shazzwan membuka bicaranya dengan menceritakan serba sedikit berkenaan latar belakang penganjuran festival tersebut. Menurut beliau, Kelantan Art & Culture Festival Tour merupakan anjuran Pejabat SUK Kelantan menerusi Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan. Tambah beliau, festival tersebut yang berlangsung selama tiga hari akan mengadakan satu pameran, persembahan dan demonstrasi pembuatan merangkumi kraf tangan dan makanan tradisional Kelantan.

Poster Kelantan Art & Culture Festival Tour.

“Di samping itu, kami juga akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan negeri Kelantan seperti persembahan gasing terbang, rebana ketuk, rebana ubi, dan seni silat. Pada hari kedua pula, satu majlis yang dinamakan Bekwoh Kelantan (Kenduri Kelantan) akan diadakan untuk menunjukkan demonstrasi suasana kenduri di Kelantan. Para pengunjung boleh merasai atau menghayati pengalaman kenduri berdasarkan budaya Kelantan Bekwoh,” ujar Nik Ahmad Shazzwan.

Antara objektif yang ingin dicapai menerusi penganjuran Kelantan Art & Culture Festival Tour adalah untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia khususnya di negeri Kelantan kepada para pengunjung yang masih belum pernah melawat ke negeri Kelantan.

“Negeri Kelantan turut dinamakan sebagai gedung budaya. Selain itu, terdapat banyak jenis permainan di Kelantan yang tidak pernah dilihat oleh masyarakat luar. Justeru, pada kesempatan ini, kami cuba menampilkan dan menonjolkan pelbagai persembahan tradisional negeri Kelantan kepada masyarakat luar,” kata Nik Ahmad Shazzwan.

Menurut Nik Ahmad Shazzwan, Pejabat SUK Kelantan turut menjemput para pemain Industri Kecil Sederhana (IKS) dari negeri Kelantan serta bekerjasama dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk penjualan dan pameran produk-produk keluaran negeri Kelantan seperti serunding, kerepek pisang dan teh tarik madu.

Pada akhir bicara, Nik Ahmad Shazzwan berkongsi secara ringkas berkenaan tentatif festival tersebut yang bakal bermula pada 24 Februari 2023 (Jumaat) pukul 2.30 petang dengan pelbagai pameran dan jualan oleh pihak FAMA. Bersempena festival tersebut turut terdapat pameran dan demonstrasi pembuatan seni kreatif seperti batik, keris, wau dan wayang kulit.

Festival yang berlangsung selama tiga hari ini bermula pada pukul 10 pagi hingga 11 malam kecuali hari Jumaat yang bermula pada pukul 2.30 petang. Pada sebelah malam hari Sabtu dan Ahad pula akan diadakan acara persembahan dikir barat dan wayang kulit negeri Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.