28 Oktober 2022, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada petang ini digemakan dengan irama joget hasil kolaborasi syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang melibatkan empat universiti awam, iaitu Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersempena Majlis Pelancaran Album Joget Made in Malaysia yag disempurnakan oleh Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha K-KOMM.

Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha K-KOMM (kiri) bersama dengan Dato’ M Nasir (tengah).

“Saya sememangnya bercita-cita agar irama tradisi Malaysia menjadi kekuatan dalam penciptaan muzik moden Malaysia. Maka itu, dengan melihat kerancakan populariti muzik dance dan world beat, maka saya terpanggil untuk menjadikan rentak tradisi Malaysia sebagai taruhan, kerana elemen tarian ada pada semua tradisi ini. Joget juga dipilih sebagai taruhan pertama,” ujar Dato’ M. Nasir, Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd. dan merupakan karyawan unggul muzik nusantara dalam majlis tersebut.

Menerusi penghasilan karya terbaharu ini, Dato’ M. Nasir berharap agar kehadiran album joget ini mampu menjentik minat generasi muda agar meminati serta memperkasakan lagu-lagu baharu dengan suntikan elemen tradisi. Seterusnya akan dapat mengangkat identiti muzik negara di persada antarabangsa supaya dapat dibezakan antara identiti muzik tempatan dengan muzik dari luar.

Enam orang penyanyi muda muka baharu telah terlibat dalam projek penerbitan album ini, iaitu Jaclyn Chia, Didie Shazry (UPSI), Jannati Alaudin (UMK), Lybdie, Puteri Khareeza, Azizul Hakim dan Zarina Nordin (ASWARA).

Penyanyi rap, Kmy Kmo dan Luca Sickta serta artis indie, Ramayan dan Iqbal M turut mendedikasikan hasil karya mereka untuk projek album ini.

Menurut Encik Khirin Omar (Keon Omar), beliau menyifatkan usaha menerbitkan album berkonsepkan joget ini mampu melestarikan irama warisan ini. Tambah beliau lagi, setiap lagu dalam album ini akan dipasarkan secara digital dalam setiap laman strim seperti Spotify, Apple Music dan YouTube. Pelancaran judul lagu dibuat secara berperingkat-peringkat.

“Taruhan projek pertama ini juga sebagai penanda aras untuk usaha melestarikan elemen muzik warisan negara termasuklah inang, zapin, masri dan lain-lain yang kelak akan menjadi kebanggaan generasi masa depan negara,” kata Dato’ M. Nasir mengakhiri ucapannya sebagai tanda penghargaan dan sokongannya kepada karyawan muzik generasi baharu dalam memartabatkan elemen muzik warisan negara.

Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha K-KOMM sedang menyampaikan ucapan.

Dalam ucapan pelancaran, Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha K-KOMM berasa amat teruja dapat menyaksikan serta meraikan kejayaan Luncai Emas dalam merealisasikan Dana Kandungan Digital Muzik bagi memperkaya khazanah muzik tanah air. Kolaborasi karyawan akademik dan karyawan industri akan memberikan impak kepada projek album ini.

Turut hadir dalam pelancaran album ialah penerbit, pencipta dan penggubah lagu serta penulis lirik lagu projek album ini di samping kehadiran tetamu kehormat seperti Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim, Pengarah Eksekutif WTCKL, Norjanah Yusof, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat DBP dan Profesor Madya Dr. Raja Iskandar Raja Halid, pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK merangkap penasihat seni warisan yang bertindak sebagai pemantau irama joget yang ditonjolkan dalam setiap lagu-lagu yang telah dihasilkan.

Untuk makluman, album ini menggabungkan kepakaran penggiat seni profesional, pensyarah, pelajar, alumni muzik dan seni dari empat IPTA bersama dengan artis baharu.

Album ini akan dipasarkan ke seluruh negara melalui pengedaran digital bermula pertengahan November ini. Tajuk lagu Kalungan Sukma ciptaan Ayob Ibrahim merupakan satu daripada lagu yang dimuatkan dalam album ini. Lirik lagunya dihasilkan oleh Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh dengan nama penanya, iaitu Suri Liu yang juga merupakan Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.