20 September 2022, 15:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang memiliki populasi penduduk berbilang etnik yang menganut pelbagai agama. Islam adalah agama rasmi negara, namun masyarakat bebas menganut agama pilihan masing-masing. Prinsip Islam dijadikan sebagai tunjang yang mempengaruhi aspek kehidupan masyarakat dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Kepelbagaian etnik di Malaysia mempengaruhi kewujudan jenis muzik yang boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu etnik, tradisional, pop Malaysia dan Barat serta klasikal Barat. Muzik memainkan peranan penting dalam masyarakat pendukungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana muzik berfungsi dalam kehidupan masyarakat yang mempunyai kaitan dengan soal ekonomi, politik, agama dan sosial. Namun demikian, apa-apa yang sering diperkatakan perihal fungsi muzik adalah berkaitan dengan fenomena sosial.

Konsep fungsi muzik berkembang dan digunakan oleh sebilangan besar para sosiologi. Antara tokoh sosiologi yang menggunakan konsep ini seperti A. R. Radcliffe Brown, Bronislaw Malinowski, Emile Durkhiem, Herbert Spencer dan Ralph Linton. Dalam mengkaji fungsi muzik, dua konsep boleh digunakan, iaitu “latent” dan “manifest”. Fungsi muzik yang berbentuk “latent” adalah tersembunyi dan memerlukan penyelidikan mendalam sebelum memahaminya. Bagi konsep “manifest”, fungsi muzik dikaji secara lahiriah dan dapat dilihat dengan jelas serta mudah difahami.

Penganalisaan fungsi muzik dibuat setelah pengetahuan perihal perhubungan muzik dengan masyarakat difahami dengan jelas. Sekiranya kurang pengetahuan tentang fungsi ini, maka penganalisaan mungkin tidak mencapai objektif yang sebenar. Pengetahuan berkaitan dengan fungsi muzik boleh difokuskan tentang kegunaannya. Bagi memahami tentang kegunaan muzik dalam kalangan masyarakat, pemerhatian dilakukan terhadap fenomena sosial yang tertentu secara langsung. Pemahaman cara ini dilihat sebagai memahami konsep muzik yang berfungsi kepada masyarakat menurut konsep “manifest”. Seterusnya pemerhatian dilakukan dengan mencari fungsi muzik yang tersembunyi berdasarkan konsep “latent”.

Antara koleksi alatan muzik tradisional.

Pada era 1800-an, muzik di sekolah Inggeris di Tanah Melayu ditawarkan kepada pelajar sebagai subjek kokurikulum dan tidak termasuk dalam kurikulum formal. Aktiviti muzik di sekolah termasuklah nyanyian kumpulan atau koir, brasben dan sebutan korus (persembahan puisi Inggeris secara berkumpulan). Nyanyian lagu rakyat Inggeris (folksongs) dan lagu kanak-kanak turut dimasukkan sebagai pendekatan dalam pembelajaran subjek bahasa Inggeris. Setiap sekolah sekurang-kurangnya memiliki seorang guru yang berbakat memainkan alat muzik piano dan memiliki latar belakang dalam bidang muzik klasik Barat.

Kelas muzik pernah disiarkan melalui saluran Radio Malaysia pada era 1950-an. Pelajar sekolah berkumpul di dalam dewan sekolah untuk mengikuti kelas muzik dalam Radio Malaysia. Walau bagaimanapun, hanya pelajar di bandar sahaja berpeluang menerima faedah tersebut. Kumpulan muzik juga ditubuhkan di sekolah berasrama. Mereka diajar membaca notasi muzik Barat sebagai persediaan dan keperluan sewaktu bermain alat muzik. Sebelum subjek Muzik diperkenalkan di sekolah, pelajar Melayu terlibat dalam aktiviti popular, iaitu nyanyian keagamaan atau nasyid.

Pada tahun 1979, pihak kerajaan mengeluarkan arahan supaya muzik dijadikan sebagai mata pelajaran wajib di sekolah rendah. Keputusan tersebut disebabkan keperluan untuk menyediakan pendidikan yang lebih seimbang. Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah untuk memberi kesedaran tentang kepentingan subjek Seni dalam kurikulum sekolah. Seramai 3000 guru daripada pelbagai bidang mengikuti kelas muzik intensif yang diadakan di beberapa institusi pendidikan guru pada cuti hari persekolahan.

Kelas muzik di sekolah pada masa itu bergantung pada ketersediaan guru muzik. Pendidikan muzik di sekolah kaum India berada dalam keadaan tidak memuaskan dan hanya wujud selepas Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan pada tahun 1983 berbanding sekolah kaum Cina yang aktiviti koir, permainan ensembel dan brasben sudah lama wujud. Pelajar sekolah Cina turut diajar dengan sistem notasi yang dinamakan Jianpu serta diperkenalkan dengan genre muzik baharu, iaitu kugiran dan angklung.

Antara koleksi alatan muzik yang digunakan dalam nasyid.

Pada era 1970-an dan 1980-an, banyak lagu yang digubah oleh komposer British masih disiarkan dalam pelbagai acara tertentu. Menurut sebilangan masyarakat, kebanyakan lagu tersebut tidak memenuhi cita rasa atau ciri-ciri muzik dan budaya tempatan. Bagi masyarakat beragama Islam, punca utama disebabkan oleh pandangan mereka yang melihat muzik mengkhayalkan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Muzik menurut perspektif sesetengah ulama, cenderung membawa kepada aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang seperti minum arak dan zina.

Pada tahun 1980-an, sering kali kedengaran mengenai kontroversi muzik dalam Islam. Berdasarkan sejarah, kontroversi mengenai muzik bermula seawal abad ke-3 atau abad ke-9 lagi. Sejak itu, muzik secara berterusan mengundang kontroversi dalam kalangan masyarakat, terutamanya penganut yang beragama Islam. Ketidaksefahaman yang berlaku dalam kalangan ahli fiqah dan ketua agama Islam adalah berkaitan dengan kedudukan muzik dalam Islam. Dalam situasi tertentu, hukum mengenai muzik menjadi harus, makruh atau haram hasil interpretasi daripada dua sumber rujukan utama, iaitu al-Quran dan hadis.

Larangan terhadap muzik lantaran ketidaksefahaman dalam kalangan ahli agama menjadi faktor kewujudan pandangan masyarakat yang berasakan muzik tidak perlu dimasukkan dalam kurikulum sekolah. Mereka berasa tidak selesa apabila muzik menjadi subjek kurikulum di sekolah, meskipun subjek Muzik sudah dimasukkan sebagai mata pelajaran tambahan sejak tahun 1970-an.

Sebelum tahun 1970-an, sering kedengaran suara-suara ahli fiqah dan ulama yang menyentuh mengenai kontroversi status muzik dalam Islam. Terlalu sedikit ahli muzik yang melihat kontroversi tersebut secara dekat atau memberikan pandangan mengikut perspektif atau interpretasi masing-masing. Kekurangan pelibatan ahli muzik dalam menyentuh isu tersebut disebabkan rasa ketidakselesaan mereka berkongsi pandangan kepada umum serta kurang ilmu pengetahuan agama.

Secara umumnya, ahli muzik tidak tergolong dalam kumpulan yang dikaitkan dengan agama. Hal ini berkaitan dengan pandangan masyarakat mengenai pemuzik daripada industri muzik komersial sebagai tidak bermoral dan mengamalkan cara hidup yang terlarang. Masyarakat umum menganggap bahawa kerjaya sebagai pemuzik merupakan pekerjaan yang meragukan apabila sebahagian pemuzik memperlihatkan tingkah laku yang kurang disenangi. Akibatnya, pemuzik pasrah dengan hakikat kontroversi muzik dalam Islam dan menerima implikasi yang negatif.

Usaha untuk menambah subjek Muzik dalam kurikulum sekolah agak mencabar disebabkan tanggapan salah sesetengah masyarakat yang melihat muzik hanya untuk hiburan semata-mata.

Kontroversi mengenai status muzik dalam Islam menjadi kebimbangan dalam kalangan warga pendidik di Malaysia. Pada peringkat awal, usaha memasukkan subjek Muzik dalam kurikulum sekolah agak sedikit mencabar lantaran salah faham masyarakat yang hanya melihat muzik sebagai alat hiburan. Situasi ini memberikan kesan kepada falsafah pendidikan, kurikulum sekolah, kerjaya berkaitan muzik dan beberapa perkara penting yang lain.

Antara koleksi alatan muzik moden.

Penyelidik pada era 1980-an berpandangan bahawa perlu dibuat penelitian terhadap program muzik yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah di Malaysia. Hal ini termasuklah mengambil langkah proaktif dengan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan subjek Muzik dalam kurikulum di sekolah. Usaha ini akan berjaya sekiranya pencerahan mengenai status muzik dalam Islam disampaikan kepada masyarakat.

Beberapa isu lain mengenai pendidikan muzik di sekolah pada era 1980-an dikenal pasti. Kekurangan guru yang mahir dalam bidang muzik menjadi isu utama. Hal ini menyebabkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat mengenai tahap pengajaran muzik di sekolah. Kadang-kadang guru yang dilatih tidak mempunyai bakat yang baik dalam muzik serta disebabkan oleh faktor latar belakang yang bukan daripada bidang muzik.

Isu berikutnya adalah kualiti kit muzik yang tidak memuaskan. Kit muzik disediakan oleh pihak kementerian bagi kegunaan para guru dan pelajar dalam kelas pembelajaran muzik. Isu kekurangan instrumen muzik di sekolah turut dikenal pasti. Terdapat pula sesetengah pentadbir sekolah yang kurang berminat membaiki alat muzik yang sudah rosak. Hal ini sudah tentu memberi kesan kepada reputasi sekolah sehingga menyebabkan ibu bapa pelajar dan masyarakat berasa kurang senang dengan keadaan tersebut di samping memperlihat ketidaksungguhan pihak sekolah menangani isu berkaitan subjek Muzik.

Segelintir guru sekolah berasakan bahawa pendidikan muzik perlu meliputi pelajar sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah. Pada masa ini, sejumlah kecil sekolah menengah menawarkan subjek Muzik kepada pelajar mereka. Mereka berasa kelas pendidikan muzik perlu dibuka kepada pelajar tanpa mengehadkan kepada pelajar yang berbakat dan berminat dalam muzik sahaja. Selain itu, guru melihat punca pemikiran negatif terhadap muzik bukan berpunca daripada kurikulum muzik di sekolah, sebaliknya pengaruh dari luar.

Pihak pengurusan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertanggungjawab melaksanakan kurikulum Muzik berpandangan positif mengenai situasi pendidikan muzik pada masa itu. Mereka melihat muzik berperanan dalam menyumbang ke arah penghasilan pelajar yang seimbang dari segi emosi, jasmani dan rohani. Polisi kerajaan menghantar pelajar ke luar negara dalam bidang Pengajian Muzik dan Pengenalan Program Muzik di institusi pengajian tinggi adalah tindakan yang positif serta dapat membantu mempertingkatkan kualiti pendidikan muzik di sekolah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Walau bagaimanapun, pihak pengurusan di KPM kurang senang tentang kedudukan muzik etnik dan tradisional dalam kurikulum muzik. Objektif utama kurikulum adalah mempromosikan kepelbagaian jenis muzik ini kepada generasi muda. Muzik lain seperti muzik dari Barat boleh digunakan dalam kurikulum Muzik bagi tujuan membangun dan mempromosikan muzik tempatan. Usaha memperkenalkan muzik etnik dan tradisional dalam kurikulum Muzik di sekolah dan institusi pengajian tinggi dapat meredakan spekulasi atau kontroversi mengenai muzik.

KPM mengambil pendekatan dengan mendapatkan khidmat pensyarah muzik (profesor) daripada institusi pengajian tinggi tempatan yang bertanggungjawab menggubal dan menyemak kurikulum Muzik sekolah. Pada masa itu, terdapat dua institusi tempatan yang menawarkan bidang muzik, iaitu Institut Teknologi MARA yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Penglibatan pensyarah daripada kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut dalam urusan semakan dan penggubalan kurikulum muzik di sekolah menjadi petanda bahawa tindakan yang lebih serius sedang diambil untuk mengiktiraf muzik sebagai mata pelajaran dalam sekolah di Malaysia.

Pusat Islam Malaysia turut memberikan pandangan mengenai pendidikan muzik pada era 1980-an yang tiada objektif dan falsafah yang jelas mengenai kepentingan muzik dalam kurikulum di sekolah. Pandangan mereka bersandar kepada pelaksanaan pembelajaran subjek Muzik yang tidak teratur dan tidak mempunyai matlamat khusus yang dipersetujui bersama-sama masyarakat secara amnya.

Pandangan mereka juga berdasarkan kepada kekurangan bilangan guru muzik yang berkemahiran dan kualiti guru ganti yang tidak memuaskan dalam melaksanakan tugas mengajar subjek Muzik. Kualiti guru ganti dan kekurangan guru muzik menjadikan subjek Muzik dilihat tidak penting dan bukan menjadi keutamaan. Pihak sekolah yang kurang memberikan keutamaan terhadap subjek Muzik mempengaruhi tingkah laku pelajar apabila mereka tidak bersungguh-sungguh sewaktu mengikuti pembelajaran kelas muzik di samping timbul konflik antara pengisian kelas muzik dengan guru pengajian agama. Konflik tersebut boleh diselesaikan sekiranya guru mengambil tahu tentang bidang antara satu sama lain.

Beberapa individu memberikan pandangan mengenai kontroversi muzik dalam konteks Islam. Kontroversi tersebut dapat dikaitkan dengan tanggapan bahawa muzik tidak dibenarkan dalam Islam selain seni suara ketika membaca al-Quran dan melaungkan azan. Tanggapan tersebut turut dikaitkan dengan pengharaman penggunaan beberapa alat muzik. Muzik hanya dibenarkan sekiranya golongan Muslim tidak meninggalkan solat. Guru yang mengajar subjek Muzik dalam sekolah-sekolah di Pantai Timur Semenanjung Malaysia menghadapi cabaran segelintir masyarakat yang tidak bersetuju apabila muzik diajarkan di sekolah. Namun mereka mengatasi masalah tersebut dengan mengajar nasyid dalam kelas muzik.

Pendidikan muzik yang selari dengan nilai agama mampu melahirkan golongan belia yang berdisiplin, positif serta berkualiti tinggi.

Pusat Islam Malaysia percaya bahawa pemikiran sempit segelintir masyarakat berkaitan dengan muzik disebabkan oleh faktor kurang faham mengenai kedudukan muzik dalam Islam. Ketidakfahaman ini mengakibatkan timbulnya kontroversi yang tidak menguntungkan. Menurut Islam, muzik dibenarkan bergantung pada bagaimanakah muzik digunakan.

Menurut Jabatan Pengajian Agama di KPM, muzik dan penggunaan alat muzik dibenarkan dalam Islam jika beberapa syarat dipatuhi. Beberapa larangan muzik melibatkan penggunaan alat muzik tertentu jatuh pada hukum haram dan harus.

Kontroversi biasanya berlaku bagi mencari jalan alternatif. Muzik tidak dinafikan memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai murni dalam diri golongan muda serta berperanan penting pada peringkat awal penyebaran Islam. Muzik di sekolah tidak seharusnya terdiri daripada muzik kontemporari popular yang dieksploitasi secara komersial sehingga menimbulkan unsur yang tidak diingini. Sebaliknya, muzik di sekolah harus terdiri daripada lagu patriotik dan lagu yang mengangkat nilai kekeluargaan, alam dan ketuhanan.

Beberapa pendekatan dicadangkan untuk mengatasi isu kontroversi mengenai status muzik dalam Islam. Institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan dalam mendidik para pemuzik berkaitan dengan muzik dan kedudukan muzik dalam Islam. Selain itu, kementerian perlu menyediakan pendidikan muzik yang berkualiti kepada generasi muda dan memastikan kurikulum Muzik pada peringkat rendah sehingga universiti berterusan.

Pendekatan selanjutnya adalah menerusi forum terbuka yang melibatkan pemuzik dan komuniti agama (ahli fiqah). Menerusi forum ini, solusi terbaik hasil perbincangan dua kumpulan ini dapat disebarkan kepada masyarakat umum berserta sokongan terhadap muzik dalam Islam. Beberapa siri seminar dan kursus perlu diadakan bagi membantu ahli fiqah menyedari kepentingan muzik dan peranan pemuzik dalam menyebarkan muzik yang mencerminkan negara yang sedang membangun.

Stesen-stesen penyiaran utama seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) perlu menyiarkan dan mempromosikan lagu yang bersifat sederhana yang menonjolkan imej Malaysia sebagai negara Islam di Timur. Garis panduan perlu diwujudkan untuk rujukan pihak penganjur konsert muzik di samping para artis dan pemuzik perlu dididik tentang prinsip muzik dalam Islam. Hal ini bagi memastikan mereka tidak tersasar daripada perkara yang dibenarkan kepada perkara yang dilarang.

Kesimpulannya, masyarakat pada era 1980-an berhadapan dengan kontroversi mengenai muzik dan kepentingan muzik dalam kurikulum di sekolah. Kebimbangan ini dilihat sebagai faktor terawal untuk mewujudkan pendidikan muzik di sekolah mengikut perspektif Islam. Selain, itu, terdapat keperluan pendidikan muzik yang mempamerkan identiti tempatan menerusi penawaran muzik etnik dan tradisional di sekolah. Para pendidik muzik di Malaysia dengan sokongan pihak kerajaan berperanan penting dalam mewujudkan pendidikan muzik berorientasikan prinsip Islam dan tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.