Oleh Firdaus Mul
12 Mac 2023, 22:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Pemergian Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sekitar 50 tahun yang lalu meninggalkan kesan yang cukup besar bukan sahaja kepada dunia seni tanah air, malah turut memberi tempias kepada masyarakat secara keseluruhannya. Walaupun telah meninggalkan dunia buat selama-lamanya, namun karya-karya beliau masih segar dan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat.

Menyentuh perihal Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, baru-baru ini menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan dua tetamu undangan, iaitu Mohamad Shahriman Sahar yang merupakan Pengarah Arkib Negara Malaysia, Cawangan Negeri Pulau Pinang dan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yussof Latiff yang merupakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang bagi membicarakan topik “P. Ramlee Sukar Dicari Ganti” yang bertempat di hadapan Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang.

Tirai temu bual tersebut dibuka oleh Mohamad Shahriman Sahar dengan menjelaskan secara ringkas berkenaan Rumah Kelahiran P. Ramlee. Menurut beliau, rumah tersebut merupakan tempat kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada 22 Mac 1929.

“Rumah ini telah dibina pada tahun 1926 oleh bapa Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Teuku Nyak Puteh Teuku Karim bersama-sama bapa saudara beliau, Rejab Husin. Seterusnya, rumah ini telah dibaik pulih oleh bapa saudara beliau pada tahun 1948. Kemudian, arkib negara telah mengambil inisiatif untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya dipulihara dan dipelihara rumah kelahiran P. Ramlee dan pihak kerajaan telah bersetuju untuk membangunkannya,” kata Mohamad Shahriman.

Mohamad Shahriman Sahar, Pengarah Arkib Negara Malaysia, Cawangan Negeri Pulau Pinang.

Seterusnya, Jawatankuasa Pustaka Peringatan P. Ramlee ditubuhkan yang terdiri daripada jabatan kerajaan, orang ramai dan saudara-mara P. Ramlee. Selepas itu, kerja-kerja pengubahsuaian dan pemuliharaan bangunan telah dilakukan dan siap sepenuhnya pada bulan Oktober 1991 serta dirasmikan pada 13 Disember 1991 oleh Yang Berhormat Dato’ Sabbaruddin Chik selaku Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan pada masa itu. Rentetan itu, Rumah Kelahiran P. Ramlee dan Galeri P. Ramlee dibuka kepada orang ramai bermula pada 14 Disember 1991 tanpa dikenakan sebarang caj bayaran.

Kesemua koleksi barangan P. Ramlee dipamerkan di dalam Galeri P. Ramlee. Antara koleksi yang dipamerkan adalah kasut berwarna putih, tarbus, kaca mata hitam, mesin taip, biola, flut dan nota muzik serta sejarah kisah perjalanan hidup Tan Sri P. Ramlee. Selain itu, koleksi barangan P. Ramlee turut dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur.

“Arkib Negara sentiasa mempromosikan hal berkaitan dengan P. Ramlee terutamanya kepada generasi muda menerusi platform media sosial. Di samping menguar-uarkan tentang P. Ramlee di laman Facebook rasmi Arkib Negara Malaysia melalui poster-poster infografik, pihak Arkib Negara Malaysia turut melaksanakan pelbagai program berkenaan P. Ramlee, terutamanya pada tarikh kelahiran dan tarikh pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Kesannya, kita dapat membentuk jalinan bersama-sama pihak sekolah untuk mempromosikan rombongan atau lawatan ke Rumah Kelahiran P. Ramlee,” kongsi Mohamad Shahriman.

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yussof Latiff pula membuka lembaran bicaranya dengan berkongsi serba sedikit tentang Allahyarham P. Ramlee. Menurut beliau, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan seorang yang peramah dan mempunyai satu budaya yang cukup hebat.

Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yussof Latiff, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang.

“Saya melihat P. Ramlee sebagai seorang yang genius. P. Ramlee merupakan seorang pengarah, penyanyi, pelakon, pelawak, dan sentiasa dikenang hingga ke hari ini. P. Ramlee juga pernah memberitahu kita bahawa dia akan hidup selama seribu tahun. Hal ini bermakna walaupun beliau sudah tiada, namun dirinya tetap akan sentiasa dikenang meskipun masyarakat era ini semakin tidak mengenali beliau secara perseorangan” ujar Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yussof.

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yussof turut menegaskan bahawa Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee mempunyai minat yang besar khususnya dalam memperkayakan budaya Melayu.

“Sebelum Tan Sri P. Ramlee berangkat ke Singapura, saya memperkenalkan kepada beliau permainan sepak raga jaring. P. Ramlee adalah seorang pemain yang hebat dalam permainan sepak raga jaring (sepak takraw) dan beliaulah yang mula-mula memperkenalkan permainan ini di Singapura,” tambah Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yussof.

“Jika kita menonton filem-filem karya Tan Sri P. Ramlee dari aspek jenaka, sejarah dan sebagainya, kita akan dapat melihat bahawa diri beliau merupakan seorang yang cukup hebat. Tidak ada seorang pun yang boleh dibandingkan dengannya pada masa kini,” jelas Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yussof.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.