Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Buku ini boleh menjadi panduan yang praktikal kepada profesion seperti kaunselor, guru dan pegawai psikologi dalam memberikan bimbingan dan kaunseling kepada individu yang memerlukan.”
Demikian jelas Dr. Rafidah Kastawi, penulis buku Terapi Seni Ekspresif dalam Sesi Perkongsian Ilmu Terapi Seni Ekspresif yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) 2023 di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi ini.
Menurutnya, buku Terapi Seni Ekspresif boleh digunakan oleh orang ramai untuk mengenal diri sendiri dan orang di sekeliling mereka seperti anak, pasangan dan rakan bagi membantu dalam aspek pengurusan psikologi yang melibatkan emosi dan perasaan.
Pada masa ini, kebanyakan orang memilih untuk meluahkan atau berkongsikan perasaan dan mainan emosi mereka melalui platform media sosial. Hal ini tidak menjadi masalah, namun ada beberapa perkara yang perlu diingatkan tentang platform perkongsian maklumat ini, terutamanya dari aspek kerahsiaan.
Oleh sebab itu, melalui ilmu yang diperoleh di samping kepakaran dan pengalaman beliau sebagai guru, pensyarah dan kaunselor di pelbagai institusi awam dan swasta, beliau berkongsikan kaedah yang ringkas dan mudah melalui pendekatan terapi seni ekspresif dalam menyalurkan emosi dengan gambaran visual, terutamanya untuk meluahkan fikiran negatif seperti stigma, kebimbangan, tekanan atau stres.
“Penghasilan karya kreatif yang menghubungkan antara pemikiran dengan perasaan seperti melukis dan mewana mampu memberikan ruang kepada seseorang itu, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak untuk menggambarkan dan meluahkan apa-apa yang dialami oleh mereka secara sukarela,” hurainya lagi mengenai teknik terapi ini.
Jelasnya lagi, matlamat utama terapi seni seumpaman ini bukanlah untuk mencipta karya seni yang indah, menarik ataupun untuk mengasah kemampuan untuk menjadi seorang pelukis, namun kaedah ini adalah untuk merawat jiwa dan menjadikan seni sebagai mediumnya.
Tambahnya lagi, terapi ini berupaya memahami keperluan dan konflik dalaman diri di samping dapat menguruskan rasa kegelisahan dan tekanan yang dialami oleh seseorang.
Dalam perkongsian ini juga, para peserta di reruai DBP berpeluang menghasilkan lukisan dengan menggunakan pensil warna dan krayon sebagai luahan rasa sambil dibimbing oleh Dr. Rafidah Kastawi.
Terapi Seni Ekspresif ialah buku terbitan DBP yang mengetengahkan teknik kaunseling yang menggunakan Modul R-E-S-T yang menggabungkan seni dan psikoterapi dalam proses kaunseling.