25 Februari 2024, 13:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang telah mengungguli lima anugerah dalam Anugerah Telenovela Ke-9, malam tadi.

Pekan Kecil Kampung Terpencil telah telah menggondol lima anugerah, iaitu Telenovela Terbaik, Pengarah Terbaik, Penulis Skrip Terbaik, Penyunting Terbaik, dan Pengarah Seni Terbaik.

Wan Afzam Wan Daud menerima Anugerah Pengarah Terbaik daripada Datuk Afdlin Shauki, Presiden FDAM disaksikan oleh Dr. Hasan Hamzah.

Drama 10 episod yang disiarkan pada 22 hingga 31 Ogos 2022 yang lalu melalui saluran TV1 merupakan karya yang diilhamkan daripada produk terbitan DBP.

Wan Afzam Wan Daud, selaku pengarah drama memanfaatkan sumber primer daripada DBP, berdasarkan empat buah buku iaitu Kurik Kundi Merah Saga, Kumpulan Pantun Melayu, Kalung Bunga Zaaba dan Hati Mesra: Pantun Melayu Sebelum 1914.

DBP sentiasa memberikan ruang dan sokongan kepada mana-mana pihak yang ingin mengangkat sumber primer DBP untuk dikembangkan serta diinovasikan dalam industri adaptasi.

Malah, DBP sebagai institusi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan memiliki pelbagai karya unggul khususnya karya Sasterawan Negara yang boleh dimajukan menerusi bidang ini.

Anugerah Telenovela Ke-9 telah dirasmikan oleh YAM Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar, Pengerusi Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFAA).

Beliau turut melancarkan KLIFAA dan penganjuran kali pertama ini telah menerima lebih 3 ribu penyertaan dari 98 buah negara.

Turut hadir YAM Tunku Puteri Jawahir binti Almarhum Tuanku Jaafar; YBhg. Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose, Presiden Majlis Profesor Negara; YBhg. YBhg. Datuk Kamil Othman Pengerusi FINAS; Dr. Hassan Hamzah, Presiden YPBN; Datuk Afdlin Shauki, Presiden Persatuan Pengarah-pengarah Filem Malaysia dan Datuk Abdul Aziz Abu Bakar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.