22 Ogos 2022, 19:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Masih lagi kita semua mengenangkan saat-saat yang amat membanggakan apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) mengumumkan bahawa warisan pantun milik kita bersama-sama di alam Melayu ini dikategorikan dalam Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada tahun 2020. Sejak itu, pantun menjadi elemen warisan yang penting dalam apa-apa sahaja keraian berbentuk lisan oleh rakyat Malaysia tanpa mengenal latar belakang masyarakat.

Pantun ibarat pengukuh jiwa yang saling terpatri erat antara satu sama lain, seperti pantun itu sendiri. Jika pincang pembayang dan tersasar maksud, maka hilanglah juga seni dan falsafah yang ada pada pantun, begitu juga perlambangan perpaduan dan utuhnya kasih sayang rakyat Malaysia.

Menyedari hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus berkreativiti dalam menganjurkan program atau aktiviti berkaitan pantun. Bukan sahaja membabitkan pertandingan berbalas pantun, bahkan pantun juga dijadikan poster yang segar dan relevan serta kena pada tempat dan isu semasa apabila dipaparkan menerusi media sosial DBP Malaysia.

Berdasarkan rekod, pantun semakin tular disebabkan oleh paparan DBP yang mendapat 3.6 juta reaksi di Internet dan sejak itu, pantun-pantun yang dikongsikan oleh DBP sentiasa mendapat perhatian masyarakat. Paling menarik, DBP juga membuktikan bahawa pantun-pantun tersebut mempunyai rujukan yang sahih serta bukanlah sengaja direka-reka. Lantaran itu, pengikut media sosial DBP turut meraikan kemeriahan aktiviti pantun ini dan membalas komen-komen daripada masyarakat dalam bentuk pantun. Pembudayaan pantun yang sentiasa subur dan hidup dalam arena media sosial DBP menjadikan poster-poster pantun turut mendapat liputan pelbagai media arus perdana.

Tuan Haji Mohd. Salahuddin Mohamed, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP.

Hadir dengan inovasi yang akan memberikan impak kepada masyarakat, DBP sekali lagi meneguhkan sinergi pintar dengan Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM). Menurut Tuan Haji Mohd. Salahuddin Mohamed, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, melalui pendekatan ini, DBP akan bersama-sama meraikan pantun diadaptasi dalam media baharu serta media yang lebih dekat dengan penonton di samping kreativiti karya dan visual digabungkan untuk menghasilkan karya yang dinamik sifatnya. Justeru, pantun atau sebarang karya sastera dapat sampai kepada khalayak yang lebih luas dan dihargai oleh semua golongan masyarakat khususnya generasi muda pada zaman ini.

Tuan Haji Mohd. Salahuddin menjelaskan bahawa adaptasi ini dijayakan berdasarkan empat buah buku pantun terbitan DBP, iaitu buku Kurik Kundi Merah Saga, Kumpulan Pantun Melayu, Kalong Bunga Zaaba, dan Hati Mesra: Pantun Melayu Sebelum 1914. Pantun diadaptasi kepada drama 10 episod bersempena Hari Kebangsaan tahun ini yang bertajuk Pekan Kecil Kampung Terpencil arahan Wan Afzam Wan Daud. Drama tersebut membariskan para pelakon terkenal seperti Raja Emma, Norkhiriah, Bell Ngasri, Mubarak Majid, Mas Anizan, Che Kem, Rosnah Johari, Tan Mei Ling, Ratna Gowri Raman, Ruby Oii dan lain-lain. Drama tersebut boleh ditonton melalui saluran televisyen TV1, pukul 10:00 malam bermula pada 22 hingga 31 Ogos 2022.

Seperti teguhnya pantun yang dilafazkan sejak turun-temurun walaupun melalui pelbagai perubahan dan zaman, pantun tetap teguh sama ada empat, enam, lapan, dua belas mahupun enam belas baris. Di samping itu, pantun juga tetap teguh dengan pembayang yang mempunyai tahap pemikiran yang tinggi serta mempunyai maksud yang tersirat dan mendalam. Mungkin dengan perlambangan pantun inilah masyarakat dapat menyerap semangat yang sama dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Selamat Hari Kebangsaan ke-65 kepada seluruh Keluarga Malaysia! Pantun kekal bersemi dalam hati kita semua!

Poster drama Pekan Kecil Kampung Terpencil.

SINOPSIS: Pekan Kecil Kampung Terpencil merupakan drama berepisod sempena Hari Kebangsaan 2022 yang diadaptasi daripada pantun melalui kerjasama antara Unit Drama TV dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Drama ini mengisahkan konflik masyarakat yang berlaku di sebuah kampung terpencil yang aman dan damai selepas kepulangan “Dara” setelah lama meninggalkan kampung. Seluruh penduduk kampung berusaha untuk menyatukan Dara (heroin) dengan Wadud (hero) bagi menamatkan epik percintaan mereka berdua. Dalam usaha menyatukan pasangan ini, tercetus bermacam-macam konflik serta pelbagai rahsia mula terbongkar.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.