Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kedamaian dan persaudaraan manusia sejagat akan terbentuk dengan suasana yang lebih harmoni sekiranya prinsip bertoleransi menjadi amalan jati diri seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Pensyarah Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom, YBhg. Dato’ Dr. Afifi al-Akiti menegaskan, sejarah ketamadunan Islam telah mengajar manusia agar sentiasa bersatu padu dengan menjadikan perbezaan yang ada sebagai nilai kekuatan masyarakat majmuk dalam sesebuah negara.
“Ini satu sunah yang diajar oleh Rasulullah SAW sebagai ketua negara semasa memerintah kota Madinah. Di dalam kota Madinah, penduduknya berbilang kaum dan agama. Selain Islam, ada orang Yahudi, ada orang Kristian.
“Tetapi baginda bijak meraikan kepelbagaian kaum dan agama melalui polisi siasahnya,” katanya semasa menjadi tetamu rancangan Agenda Awani yang membincangkan topik Kedamaian dan Persaudaraan Manusia Sejagat.
Rancangan selama 30 minit itu disiarkan menerusi saluran 501 Astro Awani dan dikendalikan oleh penyampai, YBrs. Encik Ashwad Ismail.
Afifi al-Akiti turut menegaskan, Islam juga menuntut manusia supaya memupuk semangat solidariti bagi memastikan kestabilan, keakraban serta nilai murni adab kemanusiaan sejagat agar sentiasa utuh.
Dalam pada itu, beliau menyelar sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab, sengaja mempolitikkan agama semata-mata untuk kepentingan peribadi sehingga sanggup memecahbelahkan masyarakat melalui pelbagai helah.
“Kesan buruk mempolitikkan agama boleh mencetuskan sensitiviti kaum. Sikap begini akan merosakkan nilai atau semangat keharmonian dan keamanan, dan inilah salah satu faktor yang boleh menghalang perkembangan negara ke arah yang lebih stabil.
“Maknanya, bersolidariti itu sebenarnya penting dalam beragama. Tanpa solidariti akan melemahkan kita untuk menghadapi pelbagai ledakan cabaran dan fitnah,” katanya, yang juga pakar dalam bidang teologi Islam, falsafah dan sains, selain mahir menguasai lebih lima bahasa dunia.
Sementara itu, menjawab hal ehwal kemajuan ekonomi dalam norma kemanusiaan masa ini beliau berkata, pakar ekonomi daripada golongan agamawan melihat perkara tersebut dari segenap dimensi, bukan dalam bentuk wang semata-mata, sebaliknya merangkumi pembangunan ihsan, falsafah, jati diri, serta adab dalam pemerintahan kerajaan itu sendiri.
Katanya, kedamaian dan persaudaraan manusia sejagat menjadi teras kestabilan politik yang berupaya mempengaruhi pelabur dunia yang berminat menjalankan aktiviti pelaburan mereka di sesebuah negara.
“Oleh sebab itu, perpaduan dan persaudaraan menjadi elemen terpenting. Jika tidak, kestabilan negara sama ada dari sudut ekonomi atau politik tidak meyakinkan pelabur.
“Pelabur luar tidak berminat untuk masuk melabur, bahkan pelabur sedia ada keluar. Akhirnya negara juga yang rugi,” jelasnya.