11 Disember 2022, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Nerus – Empat mushaf al-Quran Terengganu koleksi Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) diwartakan sebagai warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (akta 645). Pengisytiharan tersebut berlangsung dalam Majlis Santapan Petang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-20 pada 10 Disember 2022.

KDYMM Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan) dan KDYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah (tengah) berkenan melihat empat mushaf al-Quran Terengganu koleksi Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) yang diwartakan sebagai warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (akta 645).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah telah berkenan mencemar duli dan seterusnya menyempurnakan pengisytiharan tersebut. Pada masa yang sama, KDYMM Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah turut berkenan melawat pameran Kesucian dan Keindahan Mushaf al-Quran Diraja Terengganu.

Pameran ini memaparkan secara terperinci keunikan yang terdapat pada mushaf al-Quran Terengganu meliputi diaspora, kaligrafi, motif, material serta penjilidan sehingga mushaf al-Quran ini diterima untuk diwartakan sebagai warisan negara.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar, usaha pewartaan ini mula digerakkan pada tahun 2020 oleh penyelidik UMT yang diketuai oleh Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, Dr. Riswadi Azmi.

“Pengetahuan umum mengenai keunikan warisan kesultanan Terengganu ini perlu dihebahkan kepada masyarakat dan melalui pewartaan ini juga, usaha pemuliharaan dapat dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan demi kelestarian warisan budaya negara,” ujar Profesor Datuk Dr. Mazlan.

UMT dengan kerjasama LMNT telah melaksanakan pelbagai inisiatif demi memastikan warisan ini sentiasa dihargai dan dipelihara. Demi memastikan warisan suci ini dihargai pada peringkat global, cadangan UMT telah diterima sebagai senarai akhir negara oleh Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkannya dalam daftar Peringatan Dunia UNESCO.

Pihak UMT juga turut menjalin kerjasama dengan penyelidik daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara terutamanya dengan Ketua Kurator Seksyen Asia Tenggara, British Library, Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop dalam konservasi manuskrip al-Quran Terenganu. Usaha ini juga turut disokong oleh Ericsson (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi membangunkan Galeri Digital Warisan Budaya.

Sehubungan dengan itu, UMT telah berjaya mendigitalkan enam manuskrip al-Quran Terengganu yang disimpan oleh pihak muzium menggunakan teknologi realiti terimbuh (Augmented Reality) dan menempatkannya di dalam Galeri Digital Warisan Budaya UMT.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar ketika menyampaikan ucapan semasa pengisytiharan tersebut.

“Dengan kewujudan galeri ini, al-Quran Terengganu bakal menjadi tumpuan para penyelidik dan pelajar untuk mengkaji keunikan manuskrip al-Quran Emas, iaitu warisan kesultanan Terengganu yang diiktiraf paling cantik di Asia Tenggara,” tambah beliau.

Sebagai pemakluman, kajian UMT merekodkan 45 manuskrip ini berada di dalam dan luar negara. Jumlah manuskrip yang banyak melebihi jangkaan kerana untuk menghasilkan senaskhah manuskrip tulisan tangan pada abad ke-19 ini memerlukan tuntutan masa, tenaga dan kos yang tinggi sekali gus membuktikan negeri Terengganu pernah menjadi pusat penyalinan mushaf al-Quran yang paling terkemuka dan terkenal di rantau Asia Tenggara.

Turut hadir dalam majlis tersebuat ialah Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat (YB) Dato’ Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YB Mulia Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT dan para naib canselor university serta wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia.

Pengisytiharan yang berlangsung pada Majlis Santapan Petang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-20 tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube UMT, https://www.youtube.com/watch?v=GNLVShOKU4s.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.