Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenjelang Anugerah Juara Lagu (AJL), penulis lirik Hairul Anuar Harun melontarkan pandangan terhadap beberapa perkara.
Sesebuah karya (lagu) mempunyai beberapa unsur yang saling membantu melengkapkan kesempurnaannya seperti melodi, lirik lagu, kualiti rakaman, vokal dan persembahan penyanyi, gubahan muzik, peralatan muzik yang digunakan dan proses pengadunan muzik. Semua karyawan yang terlibat dalam pembikinan sesebuah lagu atau album, mengimpikan karya dan kerja mereka diiktiraf serta dihargai.
Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL) merupakan dua anugerah berprestij yang sentiasa dinanti-nantikan oleh penggiat dan peminat industri muzik tanah air untuk mengiktiraf karya terbaik tempatan. Kali terakhir AIM diadakan pada tahun 2022 dan kini semakin sunyi dari penganjuran. AJL pula masih konsisten diadakan hampir setiap tahun dan pada tahun ini AJL telah diadakan untuk kali ke-39.
Namun begitu, pada tahun ini, AJL hanya mempertandingkan 10 buah lagu tidak seperti lazimnya yang mempertaruhkan 12 hingga 14 buah karya. Kekurangan karya bermutu yang layak untuk ke peringkat akhir, menimbulkan kesangsian kepada para pemerhati seni. Adakah kualiti lagu di tanah air semakin merudum? Adakah pemilihan karya ke peringkat akhir juga bergantung pada siapa yang menyanyikannya untuk menarik khalayak? Atau adakah pemilihan juri juga mempengaruhi sesebuah lagu itu untuk dicalonkan?
Pecahan beberapa kategori genre muzik juga pernah dilakukan dan akhirnya kembali ke sistem terbuka, lalu lagu berentak balada menguasai hampir keseluruhan pada peringkat akhir. Seperti suatu kewajipan pula pada zaman ini untuk lagu bernada tinggi akan berpotensi layak ke peringkat akhir. Ada kalanya terasa bingit telinga mendengar penyanyi menjerit terpekik-pekik. Hal ini kerana menjerit akan melenyapkan butir kata cerita, menghilangkan lunak merdu suara dan hanya untuk memperlihatkan kekuatan vokal masing-masing, sedangkan melodi serta liriknya tidak sudi singgah ke jiwa.
Mengimbau 10 tahun ke belakang senarai pemenang AJL merupakan khalayak yang masih mengingati lagu-lagunya dan boleh menyanyikan melodi dan liriknya dengan baik. Jika tidak, bermakna lagu tersebut belum cukup ‘melekat’ dalam hati khalayak dan tidak kuat untuk menjadi malar segar. Malanglah bagi penyanyi, komposer dan penulis lirik jika khalayak tidak mengingati melodi dan lirik sesebuah lagu walaupun telah disebut judulnya. Seolah-olah khalayak hanya mampu melihat kulitnya sahaja tanpa dapat menikmati isi sesebuah lagu tersebut. Malang sekali jika lagu yang pernah bergelar juara lagu, pun dilupakan begitu sahaja.
Lagu yang baik harus sedap didengar, liriknya ada penceritaan yang bermakna, penghayatan penyanyi yang dapat dirasai khalayak, berpotensi malar segar dan sesuai dari segala aspek. Tidak perlu terlalu rumit dan sulit melodinya hanya untuk menampakkan daya keintelektualan komposer sedangkan pasaran kita berlegar di Nusantara sahaja. Jarang lagu kita diambil oleh penyanyi luar untuk dialihbahasakan kecuali lagu-lagu tradisional seperti contohnya Hati Kama, Cindai dan Dikir Puteri.
Cuba kita lihat bagaimana olahan lirik oleh penulis lirik Habsah Hassan dan Shaari Amri. Penceritaan dalam karya mereka sangat dekat dan melekat di hati khalayak hingga sekarang walaupun lagu-lagu tersebut sudah berusia lebih sedekad. Apa yang penting ialah rasa dan jiwa. Lagu-lagu (terutamanya genre balada) harus dapat dirasai ‘kesedapannya’ dan mampu dijiwai oleh khalayak terutama dari aspek penceritaan (lirik). Jika khalayak dapat mengingati dan menyanyikan lagu tersebut merupakan satu bonus.
Pemilihan lagu yang berkualiti ini menjadi satu masalah apabila panel juri yang dilantik, mahu menegakkan pendapat dan ada unsur pilih kasih. Kontroversi dan perdebatan mengenai penjurian sudah terjadi sekian lama. Kemuncaknya adalah pada AJL tahun 2002, di mana lagu Keliru (Aidit Alfian) nyanyian Ajai dan Nurul, mengungguli juara lagu mengetepikan lagu Nirmala (PakNgah/Ce’kem) nyanyian Siti Nurhaliza. Di AIM pula, kontroversi paling besar berlaku pada tahun 2011 apabila melibatkan lagu Sedetik Lebih (Edry Abdul Halim) nyanyian Anuar Zain.
Pelibatan Tokoh Bahasa dan Sastera
Suatu ketika, AJL pernah menampilkan tokoh bahasa dan sastera sebagai juri terutama untuk menilai sesebuah lirik. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Dr. Ariff Ahmad, Dr. Siti Zainon Ismail, Prof. Dr. Nik Safiah Karim dan Dr. Lim Swee Tin. Sejak akhir-akhir ini, sudah jarang melihat pakar bahasa dan sastera atau setidak-tidaknya penulis lirik yang mapan, berada dalam kalangan juri.
AJL juga pernah mewujudkan kategori Penulis Lirik Terbaik selama tujuh tahun (1986 hingga 1992). Antara yang pernah memenangi kategori tersebut termasuklah Lukman S., Habsah Hassan, Bob Lokman, S. Amin Shahab dan M. Nasir. Tidak semestinya lirik terbaik ini memenangi lagu terbaik, tetapi lirik sangat membantu memperindah dan memperkuatkan kualiti sesebuah lagu itu. Lirik yang indah dan bermakna akan sentiasa dikenang dan dinyanyikan sepanjang zaman.
Lirik juga pastinya mampu mengangkat nilai kesusasteraan dan akal budi bangsa kita. Lirik lagu memainkan peranan besar dalam kejayaan sesebuah lagu. Lagu yang bertahan lama dan digemari bukan hanya disebabkan oleh melodi dan penyanyinya sahaja tetapi juga kerana liriknya.
Lirik yang bermutu bukan hanya bergantung pada kisah yang dibawa tetapi juga kerana bahasanya yang segar serta kata-kata yang dipilih. Tanpa perantaraan sesuatu bahasa (lirik) yang boleh diungkap atau dilontar oleh suara penyanyi terhadap melodi yang dibawa, tiadalah datang apa-apa makna daripada persembahannya.
Justeru, penulis menyarankan agar pihak penganjur dalam mana-mana pertandingan penciptaan lagu terutamanya AJL dan AIM, mewujudkan semula anugerah lirik terbaik agar dapat memberi kesedaran kepada karyawan dan juga khalayak bahawa lirik juga penting dalam penciptaan sesebuah lagu.
Penganugerahan ini juga dapat mengangkat martabat penulis lirik kerana tugasnya telah dimonopoli oleh penyanyi dan pencipta lagu sahaja. Penganjur boleh sahaja bekerjasama dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk sama-sama mencari lirik terbaik.
Tidak perlu takut untuk mengembalikan apa yang telah ada dan ditiadakan selama ini. Dunia ini berputar. Begitu juga dengan dunia seni. Era 40-an hingga 60-an, kebanyakan lagu memerlukan filem untuk membantu memperkenal dan mempopularkannya. Lagu menjadi sebahagian dari runut bunyi filem. Pada era ini, filem dan rangkaian drama TV telah membantu sesebuah lagu itu popular. Jika sesuatu filem atau drama itu digemari ramai, maka lagu latarnya juga turut dikenali. Tidak mustahil juga suatu hari nanti Irama Malaysia kembali menyemarakkan industri muzik tanah air.
_____________________________________
Hairul Anuar Harun merupakan penulis lirik dan skrip, juga menjadi pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Beliau Telah menghasilkan lebih 300 buah lirik lagu seperti Cindai, Balqis, Hati Kama, Sesuci Lebaran dan Darwish. Deretan trofi yang pernah digondol dalam Anugerah Juara Lagu tahun 1998, 1999, dan 2000, Anugerah Planet Muzik 2000, Anugerah Muzik Indonesia 2000 dan Anugerah Industri Muzik 2016.