Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap insan mempunyai kenangan yang tersendiri dalam bulan Ramadan. Kenangan tersebut diperolehi dengan melakukan beberapa perkara yang hanya ada dalam bulan Ramadan.
Satu daripada tradisi yang paling sinonim dalam bulan Ramadan ialah amalan bertukar-tukar juadah antara jiran atau saudara-mara. Amalan ini mencerminkan nilai keakraban dalam masyarakat. Suatu ketika dahulu di kampung-kampung, suasana bertukar-tukar juadah biasanya lebih terasa apabila kelihatan anak-anak kecil membawa bekas makanan untuk dihantar ke rumah jiran tetangga. Namun kini, terutama di kawasan bandar, tradisi tersebut telah beralih caranya. Kebanyakan ahli komuniti berkongsi makanan melalui juadah bawaan.
Tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun ini masih diamalkan di sesetengah tempat. Hal ini menjadikan Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan dan seharusnya meriah dengan semangat kebersamaan.
Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi).
Majlis berbuka puasa juga menjadi satu amalan yang diraikan dengan penuh kemesraan sehingga hari ini. Sama ada bersama-sama keluarga, jiran tetangga atau rakan sekerja, aktiviti ini memberi ruang untuk berkumpul serta beramah mesra. Di surau dan masjid, majlis berbuka sering dianjurkan dalam bentuk kebajikan. Pelbagai juadah disediakan oleh ahli kariah untuk dinikmati bersama-sama. Suasana berbuka yang sederhana tetapi meriah ini mengingatkan kita kepada nilai kebersamaan yang semakin terhakis dalam kehidupan moden yang penuh dengan kesibukan dan kebendaan.
Dalam memastikan tradisi ini terus berkembang dan relevan, institusi seperti masjid dan surau boleh menganjurkan lebih banyak majlis berbuka puasa. Majlis berbuka ini boleh digembleng dengan cara terbuka kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan kurang berkemampuan dan perantau yang berjauhan daripada keluarga. Ketika inilah jawatan kuasa masjid boleh mengambil kesempatan untuk mengimarah masjid dan surau agar masyarakat terutama golongan muda lebih akrab dengan surau dan masjid.
Seterusnya, solat tarawih merupakan ibadah khas yang hanya ada dalam bulan Ramadan. Solat tarawih menjadi simbol kekuatan ukhuwah dalam masyarakat. Masjid dan surau akan dipenuhi jemaah yang berkobar-kobar untuk menunaikan solat tersebut, sama ada lapan rakaat atau dua puluh rakaat. Keindahan solat Tarawih di Malaysia terletak pada suasana yang mesra dan santai.
Solat tarawih juga menjadi detik yang istimewa kepada anak-anak kecil untuk mengenali masjid dan belajar mengenai kepentingan solat berjemaah. Sikap yang memilih untuk menunaikan solat Tarawih secara individu di rumah perlu dikikis. Kesempatan yang hanya setahun sekali untuk berjemaah boleh dijadikan tarbiah dalam mendidik diri untuk bersolat berjemaah pada bulan-bulan lain di masjid dan surau.
Rentetan daripada itu satu lagi elemen yang menyemarakkan suasana Ramadan ialah tazkirah yang disampaikan. Tazkirah ini sering disampaikan oleh imam, ustaz atau tokoh agama setempat yang menyentuh pelbagai topik. Amalan ini bukan sekadar sesi ilmu, tetapi juga ruang untuk muhasabah diri dan memperbaiki amalan seharian. Untuk menjadikan sesi tazkirah lebih menarik kepada golongan muda, boleh disampaikan dalam format interaktif seperti sesi soal jawab atau perkongsian pengalaman peribadi ahli jemaah.
Akhir sekali moreh atau jamuan ringan selepas solat tarawih merupakan tradisi masyarakat Melayu yang jarang ditemui di negara lain. Hidangan moreh biasanya terdiri daripada kuih-muih tradisional seperti seri muka, karipap atau bubur kacang serta minuman panas seperti teh atau kopi.
Walaupun sekadar jamuan ringan, moreh menjadi satu detik yang penting dalam mengukuhkan hubungan sesama jemaah. Di kampung-kampung, giliran menyediakan moreh sering diatur mengikut keluarga atau kumpulan tertentu bagi memastikan semua orang berpeluang menyumbang dan bersedekah.
Namun perubahan gaya hidup menjadikan tradisi moreh semakin kurang diamalkan kerana semuanya bergegas untuk pulang dengan pelbagai alasan. Oleh sebab itu, masjid dan surau boleh menganjurkan kembali giliran penyediaan moreh dengan melibatkan lebih ramai penyumbang, sama ada individu atau syarikat yang ingin menjalankan program kebajikan. Malah hebahan dan keistimewaan moreh ini perlu diraikan dengan pelbagai pendekatan agar mendapat sambutan daripada masyarakat.
Kesimpulannya, seiring dengan perkembangan zaman, ada kebimbangan bahawa sebahagian daripada tradisi Ramadan ini semakin pudar dalam kalangan generasi muda. Kita tidak mahu beberapa tradisi yang baik seperti ketuk-ketuk Ramadan dan memasang panjut atau pelita raya di sekeliling kampung hilang begitu sahaja.
Kecenderungan kepada gaya hidup serba pantas dan individualistik kadangkala menjadikan amalan seperti bertukar juadah, penyediaan bubur lambuk dan majlis berbuka puasa semakin berkurangan. Justeru, penting untuk kita terus mengekalkan dan memupuk tradisi ini agar tidak hanya tinggal sebagai kenangan. Bagi mengembalikan tradisi Ramadan yang semakin dilupakan, pendekatan moden perlu diterapkan.
Media sosial boleh digunakan untuk menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan tradisi. Manakala institusi pendidikan boleh memasukkan elemen budaya Ramadan dalam aktiviti sekolah atau universiti. Usaha ini akan memastikan Ramadan terus menjadi bulan yang bukan sahaja dipenuhi dengan ibadah tetapi juga meriah dengan tradisi budaya Melayu yang kaya dengan nilai kasih sayang dan persaudaraan.
Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Mukmin dengan Mukmin yang lain seperti satu bangunan, yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).