Oleh Avatar photo Mubarak Ismail
18 April 2023, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nik Nur Aein Nik Hud
Nilai – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan program Iftar Perdana pada 17 April 2023 dengan 2500 pek makanan bernilai RM22 500 diedarkan kepada mahasiswa, staf serta penduduk di sekitar Nilai yang hadir bagi memeriahkan program Iftar Perdana di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM baru-baru ini.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM menyempurnakan pelancaran program Iftar Perdana.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, program Iftar Perdana pada tahun ini merupakan anjuran tahunan peringkat universiti dengan tujuan utamanya untuk mengukuhkan jalinan kemesraan antara semua komposisi yang terlibat. Walaupun sebelum ini sudah ada program iftar harian sepanjang Ramadan, namun dengan penganjuran Iftar Perdana ini akan lebih mengeratkan jalinan silaturahim kerana melibatkan lebih ramai pihak.

“Bulan Ramadan bukanlah bulan yang hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja, namun bulan Ramadan merupakan bulan yang mendidik kita supaya terus istiqamah melakukan amalan kebajikan seperti bersedekah dan menjamu makan. Alhamdulillah, penganjuran Iftar Perdana ini dapat membuka peluang kepada umat Islam untuk berinfaq sehingga dapat menyediakan makanan percuma sebanyak 2500 pek kepada para pelajar dan warga USIM yang hadir pada hari ini. Amalan ini merupakan antara sifat terpuji yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW,” jelas Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin.

Seterusnya, beliau mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Iftar Perdana ini, terutamanya kepada Pusat Islam USIM dan penyumbang terbesar program, iaitu Bank Islam, Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM serta Jabatan Bendahari USIM.

Dalam majlis yang sama, Dr. Muhamad Hafiz Saleh, Pengarah Pusat Islam USIM berkata, program Iftar Perdana pada tahun ini amat meriah di samping kadar kehadiran pengunjung yang tinggi berbanding dua tahun sebelumnya yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara. Rentetan itu, majlis iftar secara besar-besaran tidak boleh dilakukan.

Jelas Dr. Muhamad Hafiz Saleh lagi, sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini, pelbagai pengisian kerohanian diadakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM merangkumi aktiviti iftar harian, solat tarawih, qiamullail bersama orang Yamin (Tawasul), tadarus al-Quran dan tazkirah Zuhur bagi meningkatkan kefahaman serta penghayatan dalam bulan Ramadan.

“Kami di Pusat Islam USIM hanya mengharapkan agar para mahasiswa dan orang awam dapat mengekalkan momentem ibadah bukan hanya dalam bulan Ramadan sahaja, bahkan dalam bulan-bulan yang seterusnya,” ujar Dr. Muhamad Hafiz Saleh.

10 malam terakhir Ramadan diserikan dengan program qiamullail dan sahur secara berjemaah bersama-sama orang Yaman (tawasul) di samping para mahasiswa dan warga sekitar yang turut hadir bagi memeriahkan majlis. Turut hadir ke majlis Iftar Perdana ini ialah Pengurus Bank Islam Cawangan Nilai, Tuan Muhamad Asyraf Zazali Mustafha, pendakwah selebriti terkenal, Ustazah Asma Harun, imam terawih, Sheikh Karim Omar Al-Makki serta para pegawai kanan USIM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.