Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Forum Warisan Budaya Negeri Pahang anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah telah berlangsung di Sudut Karyawan, Wisma DBP yang menghimpunkan tokoh budaya, penggiat teater, ahli akademik dan pelajar dalam usaha memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap keunikan tradisi dan sejarah negeri Pahang.
Forum yang menampilkan Encik Syed Indera Syed Omar atau Siso Kopratasa sebagai moderator turut disertai barisan panel terkemuka, iaitu Yang Dihormati Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid bin Wan Hassan, Encik Roslan Madun, Encik Muhammad Syaraf bin Alwi, dan Puan Syahidatul Munirah Badrul Munir.
Kupasan forum yang menyentuh pelbagai dimensi budaya warisan dan sejarah Pahang termasuk sejarah kesenian tradisional, warisan sastera lisan, peranan dan kedudukan gamelan dalam peradaban negeri, serta kepentingan merangka strategi pewarisan budaya dan seni tradisional kepada generasi muda.
Puan Syahidatul Munirah membuka kupasan forum dengan menjelaskan konsep tralokal dan bagaimana tercetusnya idea tralokal, iaitu daripada gabungan tradisional dan lokal.
“Melalui tralokal ini, saya cuba mengangkat cerita rakyat dan kearifan tempatan sesebuah negeri dan mempersembahkannya melalui teater tralokal,” ujarnya.
Selaku pengkaji sastera sejarah dan hikayat klasik juga, Syahidatul Munirah menyatakan Pahang merupakan negeri yang paling sukar dimasuki oleh British.
“Semasa Pahang di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah, yang sebelumnya merupakan bendahara yang terakhir bergelar Bendahara Wan Ahmad, baginda menerima kedatangan British dengan pelawaan berdagang secara baik, namun wajib membayar sewa jika British mahu melakukan apa-apa sahaja kegiatan ekonomi di bumi Pahang,” ujarnya lagi.
Pengerusi Persatuan Gamelan dan Kesenian Lela Indera Pahang Encik Muhammad Syaraf Alwi menjelaskan perbezaan gamelan Melayu dengan gamelan Jawa, yang terletak pada jumlah instrumennya. Gamelan Jawa, jumlah instrumennya lebih banyak, boleh menjangkau antara 20 atau 80 instrumen berbanding dengan jumlah gamelan Melayu yang kebiasaannya hanya sedikit.
“Gamelan Melayu yang sering didengar dan dimainkan ialah muzik gamelan. Gamelan Melayu asalnya hanya ada di Pahang.
“Gamelan dibawa bersama-sama ke Terengganu melalui perkahwinan diraja, iaitu Tengku Mariam dengan Sultan Sulaiman, namun gamelan tersebut dikembalikan ke Pahang dan kini diletakkan di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang,” tambah beliau.
Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid bin Wan Hassan pula mengupas kata panggilan “nde” yang digunakan oleh golongan anak raja untuk memanggil ibunda mereka manakala ayahanda dipanggil “ayah”.
Tambah beliau, kata panggilan “nde” juga digunakan untuk membahasakan ibu saudara, yang asalnya daripada sebutan “bonda”.
Selaku Yang Dipertua Persatuan Sejarah Cawangan Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid menjelaskan ada beberapa penulisan tentang sejarah, budaya dan warisan Pahang akan diterbitkan, malah persatuan telah menerbitkan buku bertajuk Pahang dalam Sejarah dan Pahang Meniti Zaman.
Tokoh Seni Budaya Pahang, Encik Roslan Madun menggambarkan Pahang sebagai sebuah negeri yang sangat cantik, sama seperti pantun yang cantik gubahan bahasanya.
Beliau menyarankan kerajaan Negeri Pahang supaya mengiktiraf gamelan sebagai identiti budaya Pahang, sama seperti orang mengenali dondang sayang di Melaka, ghazal di Johor, dikir barat di Kelantan, dan boria di Pulau Pinang.
Selaku penggiat seni budaya, Roslan Madun meneruskan usahanya mengetengahkan lagu rakyat yang diubah suai rentak dan melodinya agar digemari oleh generasi baharu.
Penganjuran forum ini diadakan bersempena dengan pementasan Tralokal Teater Gamelan Tari Tenun Berurai Emas yang akan berlangsung pada 29 dan 30 November 2025 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.