Diterbitkan pada 30 September 2025, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Di sebalik keindahan wau berwarna-warni yang berterbangan di angkasa, tersimpan sebuah perjuangan panjang untuk mengangkat martabat wau pungguk sebagai identiti dan warisan kebanggaan negeri Pahang. Usaha ini digerakkan oleh Persatuan Wau dan Layang-Layang Negeri Pahang,yang dipimpin oleh seorang tokoh budaya dan aktivis setempat, yakni Zulkefli Hussin.

Beliau bukan sahaja sebagai pengerusi persatuan tersebut, malah turut memainkan pelbagai peranan penting dalam dunia seni, kebudayaan dan persilatan tanah air—antaranya sebagai Ahli Majlis Pelayang Malaysia, Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri Pahang, Pengerusi Persatuan Seni Silat Kuantan (Persilatan), Pengerusi Persatuan Silat Gerak Lian Pahang serta Exco Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA).

Atas sumbangan dan dedikasi beliau dalam memartabatkan budaya, Zulkefli turut diberi pengiktirafan apabila dianugerahkan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.

Sejak mula bergiat dalam permainan wau pada tahun 1996, Zulkefli lebih banyak memberi tumpuan kepada aspek pengurusan, pentadbiran dan pembangunan, khususnya dalam memperkasakan wau pungguk sebagai warisan unik negeri Pahang.

Antara kejayaan terbesarnya ialah mengangkat bandar raya Kuantan ke pentas dunia melalui penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa yang bermula pada tahun 2023 dan terus berlangsung sehingga kini. Lebih membanggakan, usaha gigih ini akhirnya berjaya menjadikan wau pungguk sebagai “Wau Warisan Negeri Pahang”, sebuah pengiktirafan yang menandakan kejayaan besar dalam memelihara warisan budaya bangsa.

Persatuan Wau dan Layang-Layang Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang atas usaha membawa wau pungguk Pahang dalam pembentangan Bengkel Permurnian Manuskrip Penyelidikan Seni Budaya, baru-baru ini.

Langkah murni ini bukan sahaja memperkukuhkan lagi nilai seni tradisi negeri, malah selari dengan objektif persatuan untuk terus mengangkat wau pungguk sebagai warisan unik yang diwarisi turun-temurun di bumi Pahang.

Persatuan sedar bahawa tanpa sokongan dan dorongan berterusan daripada pihak JKKN Pahang, usaha memperkenalkan dan memperkembangkan wau pungguk tidak akan dapat pergi jauh. Oleh itu, kerjasama erat ini amat dihargai kerana menjadi pemangkin kepada kelestarian seni tradisi serta membuka ruang lebih luas kepada generasi muda untuk mengenali dan menghayatinya.

Selain itu, Persatuan Wau dan Layang-Layang Pahang juga berharap agar daerah Pekan dapat dijadikan pusat kajian dan pengembangan wau pungguk, memandangkan sejarah dan asal-usulnya banyak berkait rapat dengan daerah tersebut. Dengan adanya pusat rujukan khusus, usaha pemeliharaan, penyelidikan dan inovasi terhadap wau pungguk dapat dijalankan dengan lebih tersusun, sekali gus mengangkat Pekan sebagai pusat warisan wau tradisi negeri Pahang.

Persatuan Wau dan Layang-Layang Pahang akan terus komited dalam menjadikan wau pungguk sebagai simbol warisan yang bukan sahaja membanggakan negeri, bahkan menjadi khazanah seni budaya negara.

Wau pungguk merupakan satu daripada warisan seni budaya Melayu yang sangat istimewa dan unik, khususnya di Pekan, Pahang. Keindahan dan kehalusan seni pembuatannya bukan sekadar hiasan di langit, malah tersimpan seribu satu makna dan falsafah kehidupan masyarakat terdahulu.

Asal-usul wau ini dipercayai bermula dari Kampung Melati, Pekan di mana ilmu dan kemahiran membuatnya diwarisi secara turun temurun daripada generasi lama kepada generasi baharu.

Nama “Pungguk” diambil daripada seekor burung yang lebih dikenali sebagai burung pungguk. Burung menjadi simbol penting kepada masyarakat pesawah zaman dahulu kerana jasanya yang besar dalam membantu mengawal perosak tanaman. Burung hantu pungguk terkenal sebagai pemangsa tikus sawah, yang menjadi musuh utama padi.

Oleh sebab itu, masyarakat Melayu di Pekan menzahirkan rasa penghargaan mereka melalui penciptaan sebuah wau yang dinamakan Wau Pungguk, sebagai lambang hubungan erat manusia dengan alam semula jadi.

Keunikan wau pungguk terletak pada bentuknya yang berbeza daripada wau-wau lain di rantau ini. Lengkungan badannya, corak hiasannya serta teknik pembuatannya hanya diketahui oleh orang-orang tertentu yang telah dipilih untuk mempelajari ilmu ini. Hal ini kerana pembuatan wau ini bukan sekadar kerja seni biasa, tetapi memerlukan ketelitian, kesabaran, serta kefahaman terhadap falsafah dan roh yang tersirat di sebalik tradisi ini. Justeru, tidak semua orang mampu menghasilkan wau pungguk yang sempurna; hanya mereka yang benar-benar memahami adat serta rahsianya sahaja yang dapat melakukannya dikalangan keluarga sendiri.

Lebih istimewa lagi, wau pungguk tidak dapat ditemui di daerah lain, sebaliknya hanya wujud di daerah tersebut. Keistimewaan inilah yang menjadikan wau pungguk sebagai satu warisan eksklusif masyarakat Pekan, Pahang yang mana pekan juga merupakan Bandar Diraja yang begitu terkenal dengan hasil kraf tangan, makanan dan seni. Wau menjadi kebanggaan kerana melambangkan identiti tempatan yang tidak ternilai, sekali gus menjadikannya lambang keunikan budaya Melayu yang perlu dipelihara dari masa ke semasa tanpa rasa jemu dan putus asa kerana budaya jati diri BANGSA MELAYU.

Kini, wau pungguk bukan sahaja dikenang sebagai permainan tradisional atau alat hiburan masyarakat, tetapi juga sebagai warisan budaya yang mempunyai nilai sejarah dan falsafah kehidupan. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat dahulu hidup seiring dengan alam, menghargai makhluk yang memberi manfaat, dan menterjemahkannya dalam bentuk seni budaya yang kekal hingga hari ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi