Oleh Mubarak Ismail
29 Oktober 2022, 22:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banting – Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor  mengumumkan secara rasmi program khas Pesta Seni dan Kebudayaan Negeri Selangor (PSKNS) 2022.

PSKNS 2022 ini merupakan suatu program bersiri yang menyediakan beberapa acara seni dan budaya dengan menonjolkan identiti kemasyarakatan dan kebudayaan rakyat negeri Selangor. Sebanyak lima acara utama dan lapan acara poket sudah dikenal pasti untuk diadakan sepanjang pesta tersebut yang telah pun bermula pada 1 Oktober lalu sehingga 31 Disember 2022 di lokasi-lokasi terpilih sekitar negeri Selangor.

Lima acara utama tersebut adalah Festival Wau Kapal Selangor, Manifestasi Keroncong Selangor, Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022, Konsert Rentak Selangor dan Program Menjunjung Kasih Tuanku: Temasya Silat Seni Selangor serta Temasya Cempuling Selangor. Acara-acara ini merupakan tonggak PSKNS 2022.

YB Tuan Borhan Aman Shah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Wau Kapal Selangor.

Majlis Perasmian Festival Wau Kapal Selangor bersempena dengan Pesta Seni dan Kebudayaan Negeri Selangor 2022 yang berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober 2022 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Selangor ini disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Tuan Borhan Aman Shah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik sepanjang Festival Wau Kapal Selangor berlangsung. Antaranya termasuklah pertandingan wau kategori terbuka negeri Selangor, kategori wau kapal tradisi tercantik, kategori terbuka IPT dan sekolah-sekolah negeri Selangor, bengkel pembuatan wau kapal negeri Selangor, pertunjukan wau sobek serta jualan wau kapal, barangan hiasan, jualan makanan dan sebagainya.

Menurut YB Tuan Borhan, acara pertandingan wau kapal ini bertujuan memperkenalkan “Wau Kapal” sebagai identiti wau negeri Selangor kepada orang awam. Festival ini juga diharapkan dapat memupuk minat masyarakat terhadap permainan tradisional dan menggalakkan kelestarian aktiviti kebudayaan.

Di samping itu, Pertandingan Wau Kapal Selangor bersempena Festival Wau Kapal Selangor ini turut menawarkan hadiah bernilai lebih RM30 000 untuk dimenangi dalam pelbagai kategori termasuklah penyertaan daripada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah.

Antara peserta yang turut hadir menjayakan Festival Wau Kapal Selangor.

“Festival ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang identiti Wau Kapal Selangor selain dapat mengangkat seni budaya tradisional bernilai tinggi di negeri Selangor dan dapat memastikan pemuliharaan terhadap kelangsungan wau kapal untuk warisan generasi muda,” ujar YB Tuan Borhan.

PSKNS 2022 ini diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Kerajaan Negeri Selangor berhasrat agar pesta ini mampu menjadikan negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan, seni, budaya dan warisan negara yang utama pada masa depan.

Poster info tentang Wau Kapal Tradisi Selangor.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.