Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRefleksi yang penulis dapat sampaikan adalah usaha yang berterusan adalah kunci dalam menggapai impian yang lebih besar.
Perjalanan seni penulis bermula sewaktu bekerja sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta yang terletak di Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak. Pada sela waktu setelah tamat tempoh latihan perubatan siswazah di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor, memberikan ruang kepada penulis untuk memulakan hobi baru.
Pada mulanya, penulis menghasilkan lukisan ikan laga dengan menggunakan cat air. Lukisan ikan tersebut diinspirasikan oleh adik (Fairuz Hidayah) yang gemar akan ikan laga dan dia mempunyai pelbagai ikan laga yang dipelihara.
Tahun 2016 merupakan satu tahun yang produktif dalam penghasilan karya seni Lukis penulis. Tempoh tersebut merupakan percubaan dan pencarian identiti sebagai seorang pelukis.
Lukisan yang dihasilkan pada ketika itu menggunakan pelbagai medium seperti cat air, cat akrilik, pensil warna dan pena. Satu daripada lukisan yang terhasil pada ketika itu; Rembulan Malam yang diinspirasikan oleh fenomena bulan penuh (supermoon).
Lukisan tersebut dapat diinterpretasikan sebagai satu fenomena luar biasa yang hadir seketika dalam kehidupan dan kita seharusnya menghargai detik-detik indah yang hadir pada waktu itu.
Hobi melukis ini terkubur sewaktu berpindah ke Universiti Kebangsaan Malaysia dari tahun 2017 hingga tahun 2021. Dalam dua tahun pertama, kesibukan sewaktu melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana memaksa penulis untuk memberikan tumpuan kepada pelajaran bagi memastikan program tersebut dapat disempurnakan dengan baik. Setelah itu, penulis berjaya untuk mendapatkan tempat di University of Oxford dan berangkat ke sana pada Oktober tahun 2021.
Pada penghujung musim luruh tahun 2021, penulis kembali melukis setelah hampir dua bulan tiba di Oxford. Minat ini pada awalnya tercetus apabila melihat peralatan untuk melukis di sebuah kedai yang terletak di Broad Street.
Beberapa lukisan telah berjaya dihasilkan pada penghujung tahun 2021, termasuklah Damai, Perasaan, Teruja dan Terasing. Idea untuk mengadakan pameran ini tercetus setelah penulis menghasilkan beberapa lukisan-lukisan. Konsep yang dibawa dalam pameran ialah identiti Bahasa Melayu.

Hasrat tersebut telah penulis kongsikan dengan seorang sahabat bernama Gulnar yang merupakan Timbalan Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar St. Cross College pada ketika itu.
Beliau mencadangkan pameran dibuat pada festival musim bunga. Pameran pertama penulis telah berjaya diadakan pada Mac tahun 2022 hasil bantuan daripada Gulnar yang sangat membantu dalam urusan mendapatkan tempat dan penyediaan minuman dan makanan ringan.
Sebanyak sembilan lukisan daripada Koleksi Kembara dipamerkan berserta naratif-naratif yang dijadikan sebagai utusan bagi menyampaikan pelbagai pesanan kepada umum.
Antara elemen tersurat dan tersirat dalam warkah tersebut termasuklah perasaan yang bercampur-baur ketika tiba di tempat baharu, kerinduan pada keluarga, perspektif manusia yang berbeza-beza dan kepentingan untuk menghargai negara kita.
Setelah berhasil melakukan pameran, penulis bercita-cita untuk mengadakan pameran kedua secara solo dengan skala yang lebih besar. Untuk mencapai cita-cita tersebut, penulis telah membawa lukisan-lukisan yang dihasilkan pada tahun 2016 dan tahun 2017 ke Oxford sewaktu pulang ke Malaysia untuk menyambut lebaran bersama keluarga tercinta pada Mei tahun 2022.
Lukisan yang dihasilkan pada waktu itu banyak diinspirasikan oleh unsur alam semula jadi kerana penulis kerap meneroka keindahan alam di Oxford pada ketika itu. Pameran kedua telah berlangsung pada awal musim luruh tahun 2022 di St. Cross College, University of Oxford. Sekitar 25 lukisan daripada koleksi Kembara telah dipamerkan pada ketika itu.
Hasil daripada pameran kedua, penulis telah diundang oleh Persatuan Siswazah dan Profesional Malaysia di United Kingdom untuk mempamerkan karya seni pada Pertemuan Musim Dingin yang bertempat di Education Malaysia London.
Koleksi kedua yang dihasilkan diberikan nama Suratan yang membawa maksud takdir atau tulisan. Sebanyak sembilan lukisan berjaya dipamerkan di Royal Lancaster London sewaktu majlis Salam dari Malaysia yang dianjurkan oleh TalentCorp, sebuah agensi Kerajaan Malaysia pada Ogos tahun 2023.

Bagai mendapat durian runtuh, penulis tidak menyangka bahawa pameran di Royal Lancaster London mendapat perhatian daripada oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Zakri Jaafar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom yang hadir untuk merasmikan majlis tersebut.
Penulis telah menerima undangan daripada beliau untuk mempamerkan karya seni di National Army Museum London. Peluang itu merupakan satu pengiktirafan tertinggi untuk penulis secara peribadi kerana tidak pernah menyangka usaha yang dilakukan selama ini berjaya membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka.
Majlis besar-besaran itu dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan United Kingdom dan negara-negara lain, organisasi antarabangsa dan tokoh-tokoh terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia di United Kingdom.
Sasaran seterusnya untuk mengadakan pameran di tempat penulis menuntut ilmu, iaitu di Department of Psychiatry, University of Oxford.
Impian penulis sebagai seorang anak seni yang memperjuangkan konsep identiti diri, bahasa dan kesihatan mental untuk mempersembahkan hasil lukisan kepada komuniti akademik di sana. Untuk mendapatkan peluang tersebut, penulis telah menyusun beberapa strategi.
Setelah pameran di National Army Museum London, penulis telah menulis dua artikel mengenai perjalanan seni. Artikel tersebut telah berjaya diterbitkan di Oxford Student Newspaper dan New Strait Times Malaysia.
Berita mengenai pameran dan artikel penulisan tentang perjalanan seni ini tersebut, penulis kongsikan kepada Ketua Jabatan di sana. Selepas itu, penulis telah ditawarkan peluang untuk mempamerkan karya seni di ruangan umum yang menjadi tempat pertemuan untuk pelbagai majlis seperti mesyuarat jabatan, sesi kuliah dan perbincangan dan aktiviti sosial.

Pameran itu telah berlangsung dari November tahun 2023 sehingga Februari tahun 2024. Pameran tersebut menjadi titik tolak bagi warga Jabatan untuk mempamerkan hasil karya mereka. Pada awal pameran tersebut diadakan, penulis telah dihubungi oleh seorang profesor dan seorang doktor yang berminat untuk mempamerkan karya mereka.
Bulan Mac tahun 2024 merupakan satu titik penting bagi penulis kerana telah diberikan anugerah Race Equality Recognition Award oleh Department of Psychiatry, University of Oxford, atas karya seni yang membawa konsep kesihatan mental.
Penulis kembali ke Malaysia pada awal musim panas tahun 2024. Menariknya, satu projek bersama dengan pelajar tahun 6 Hyde School London berjaya dilakukan secara dalam talian.
Dalam projek Neuron, pelajar telah menggunakan lukisan Akar sebagai inspirasi untuk menghasilkan lukisan neuron atau saraf yang menjadi tema bagi kelas mereka pada tahun itu.
Penulis telah menyediakan beberapa video tutorial bagi memberikan panduan untuk menghasilkan lukisan dengan menggunakan teknik akrilik bertekstur. Sekitar 26 lukisan berjaya dihasilkan oleh pelajar-pelajar yang dijadikan hiasan pada dinding kelas mereka.
Cabaran hadir dalam pelbagai bentuk. Kesabaran dan kecekalan merupakan perisai diri bagi menghadapi dugaan-dugaan yang datang. Jangan biarkan keraguan yang timbul dalam diri yang terhasil daripada pengalaman-pengalaman sebelumnya memadamkan semangat kita untuk terus berjuang bagi merealisasikan impian kita.
________________________________________
Fitri Fareez Ramli merupakan pensyarah perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.