Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTujuan utama berteater adalah untuk menyampaikan mesej, mendidik, serta menghiburkan penonton, di samping mengasah kreativiti, keyakinan diri, dan kemahiran sosial pemainnya. Teater juga berfungsi sebagai medium terapi psikologi untuk membina sahsiah, meningkatkan daya imaginasi, serta memperkukuh kerjasama dan empati dalam kalangan peserta.
Secara terperinci, terdapat beberapa aspek tujuan berteater. Dalam aspek pertama, iaitu pendidikan dan pengajaran. Teater bertujuan menyampaikan ilmu, nilai murni, dan mesej sosial kepada khalayak melalui cerita.
Dalam aspek kedua pula, iaitu hiburan, berteater bertujuan menghiburkan apabila menyediakan hiburan secara langsung yang memberikan impak emosi yang kuat kepada penonton. Sementara dalam aspek pembangunan sahsiah, berteater bertujuan membina keyakinan diri, disiplin dan kemahiran komunikasi.
Dalam aspek terapi psikologi, teater digunakan sebagai terapi drama (teater terapi) untuk penyembuhan emosi, menyelesaikan masalah dan meningkatkan kesihatan mental. Akhir sekali, dalam aspek pemuliharaan budaya, berteater mahu mengembangkan seni teater, dan memperkukuh hubungan sosial.
Secara peribadi, penulis selalu mendengar kata-kata pemimpin persatuan teater, dan rakan-rakan yang menjadi ahli bahawa berteater dapat melatih kita menjadi manusia berguna.
Walau bagaimanapun, adegan ranjang dalam sebuah persembahan teater di sebuah universiti Tempatan, baru-baru ini agak mengejutkan. Penulis tertanya-tanya di manakah “menjadi manusia berguna” yang dimaksudkan.

Babak teater itu yang memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas katil telah menerima kecaman ramai. Kejadian tersebut turut menarik perhatian pendakwah bebas yang mempersoal kewajaran babak sentuh-menyentuh, dan adegan di ranjang itu.
Pengarah dan aktivis seni, Sabri Yunus menyatakan sebarang karya seni yang dihasilkan perlulah sentiasa berpaksikan pada landasan dan hukum-hakam agama. Dalam hal ini, penulis bersetuju dengan penegasan beliau, walaupun seni sering dianggap sebagai satu medium bebas.
Menurut Sabri, beliau pernah menonton teater berjudul Asrama-Ra itu beberapa kali di Pusat Pelancongan Malaysia, tetapi, katanya tiada babak-babak sedemikian.
“Berbalik pada sebagai orang Islam, apa pun seni, kita mesti bersandar dan berlandaskan hukum-hakam dalam agama,” ujarnya.
Meskipun seni itu dianggap bebas secara apa pun, tegas Sabri, tetapi dalam Islam tidak akan menjadi bebas. Pelakon telefilem Pok Ya Cong Codei itu turut memberikan perbandingan antara perspektif seni Barat dengan nilai moral Islam yang perlu dipertahan di negara kita.
Saya bagi contoh, kalau di Barat (di Paris) orang belajar melukis. Dua puluh orang duduk melukis seorang bogel di depan. Orang melukis seni untuk seni. Mereka bebas melukis dengan murni tanpa ada rasa rangsangan apa pun terhadap orang bogel tadi. Mereka boleh buat tanpa apa-apa perasaan, ujar Sabri.
“Hasilnya cantik. Walaupun kita tidak terangsang apa-apa, tetapi tetap tidak boleh kerana batas kita melarang berbogel. Jadi, apa pun pada saya, melukis, berteater atau apa sahaja, mesti ada kesedaran sendiri terhadap batas-batas itu,” tambahnya.
Namun demikian, bagi Sabri, tindakan menghukum pelajar, penganjur mahupun pihak fakulti bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Beliau sebaliknya mencadangkan mereka yang terlibat perlu di didik dengan ilmu agar lebih peka dengan sensitiviti masyarakat.
Begitu pun, jika ada yang mahu terus mengecam dan “pukul rata”, kita wajar mendengar penjelasan seorang pengarah teater meningkat naik yang juga pensyarah kanan teater di UM, Dr. Marlenny Deenerwan mengenai isu ini.
Menurut Dr. Marlenny atau lebih dikenali sebagai Lenny Erwan, beliau mengetuai barisan juri dalam Karviter pada tahun ini. Karviter merupakan sebuah tradisi pertandingan teater antara kolej yang meraikan penyertaan mahasiswa UM daripada pelbagai latar belakang pengajian, untuk sama-sama berkarya dan memanifestasikan ekspresi diri menerusi karya-karya pentas pilihan mereka.
Asrama-Ra, jelas Lenny, adalah sebuah karya surealisme, yang mana dalam babak yang kontroversi ini, sekumpulan pelajar perempuan di asrama puteri mengalami mimpi aneh. Antara babak dalam mimpi itu adalah hubungan sumbang guru dengan murid.
Oleh kerana telah beberapa kali dipentaskan, beliau dapat melihat pelbagai versi pementasan Asrama-Ra. Oleh itu, pada malam pementasan berkenaan, katanya, pengarah memilih untuk menonjolkan babak berkenaan dengan sedikit eksplisit.
“Berlaku di atas katil, tetapi sebenarnya rakaman yang tular itu hanyalah aksi beberapa saat yang terhenti ketika sekumpulan pelajar lain masuk bertepuk tangan, kerana berjaya memerangkap aksi sumbang guru, dan pelajar berkenaan,” jelas Lenny.
Tiada aksi liar berlaku, katanya, dan mungkin pelaksanaan babak itu memaparkan sedikit visual yang negatif.
“Tetapi tuduhan netizen yang kononnya babak berkenaan memaparkan aksi kelucahan, seksual yang melampau dan sebagainya, menunjukkan bahawa minda dan imaginasi mereka yang lebih liar daripada apa yang sebenarnya berlaku di atas pentas,” ujarnya.
Tradisi Karviter, jelas Lenny, adalah mengadakan sesi viva selepas pementasan, dan sesi ini dirakam sebagai bukti perbincangan.
“Sebagai Ketua Juri, antara teguran pertama saya pada malam itu adalah menjurus pada babak berkenaan. Saya menegur mereka bahawa saya sendiri sebagai pengamal teater tidak gembira dengan babak berkenaan, dan menasihatkan supaya tidak mengulanginya. Sudahlah kami orang teater sering dituduh macam-macam,” kata Lenny, yang berpesan ada banyak cara dan estetika di atas pentas yang boleh dilakukan jika kita harus menyampaikan pesan moraliti terhadap isu-isu sedemikian.
Jelas Lenny, pihaknya telah melaksanakan tugas menegur. Yang bagusnya, seluruh produksi tidak membantah. Dari air muka mereka, tambah beliau, ternyata maksud teguran berkenaan diterima dan difahami. Pengarahnya turut memohon maaf.
“Saya tekankan di sini bahawa semua anggota produksi ini terdiri daripada pelajar-pelajar yang bukan dari pengajian Jabatan Drama, Fakulti Seni Kreatif. Saya fikir mungkin itulah punca babak berkenaan dieksplorasi sedemikian rupa kerana mereka bukan pelajar drama/teater,” jelas beliau.
Pelajar-pelajar yang dilatih dalam jurusan drama/teater, tambah Lenny, amat memahami bahawa babak-babak berkenaan tidak perlu dilakukan secara eksplisit.
“Saya selalu memberitahu para pelajar saya bahawa “semakin kamu bermain dengan simbol dan kiasan, semakin indah dan tinggi estetika karya kamu,” ujar Lenny yang berpendapat babak dalam Asrama-Ra itu adalah ekspresi dan eksplorasi seni sekumpulan anak muda yang mahu bermain, memeriahkan pentas, berkarya, dan belajar.

Babak jelik dalam Asrama-Ra membuatkan penulis meluat, dan ingin menegaskan bahawa mereka yang terbabit jangan mengambil kesempatan atas nama teater. Jika bercinta sesama sendiri pun, usah “menunggang” persembahan teater untuk berkelakuan melanggar batas syariah. Tidak sedarkah diri beragama Islam?
Namun begitu, penjelasan Lenny telah melegakan perasaan penulis, dan berharap banyak, isu Asrama-Ra diyakini tidak akan menggugat keseluruhan bidang teater tanah air!