Diterbitkan pada 29 Mei 2026, 00:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Fenomena penggunaan laskar siber dalam landskap politik semasa memberikan kesan terhadap keharmonian masyarakat, khususnya dalam ruang siber yang semakin terbuka dan sukar dikawal.

Perkembangan teknologi komunikasi dan media sosial telah mengubah cara masyarakat berinteraksi, menyampaikan pandangan serta membentuk persepsi terhadap sesuatu isu. Situasi ini menunjukkan media sosial bukan lagi sekadar ruang perkongsian maklumat, malah menjadi medan persaingan politik yang agresif dan kadangkala melampaui batas adab serta budaya masyarakat tempatan.

Fenomena ini turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila, penggunaan laskar siber sering dikaitkan dengan political astroturfing, political bots dan political sock puppets, iaitu penggunaan akaun palsu, identiti maya atau naratif tertentu bagi mempengaruhi persepsi masyarakat secara tersusun dan terancang.

Aktiviti ini bersifat tidak telus kerana naratif yang dibina kelihatan seolah-olah datang daripada masyarakat biasa, walhal sebenarnya digerakkan secara strategik untuk kepentingan politik tertentu. Dalam banyak keadaan, pendekatan ini digunakan untuk membina persepsi, menyerang pihak lawan, mempengaruhi emosi masyarakat dan mewujudkan polarisasi politik dalam ruang maya.

Jika kita beralih di Malaysia, khususnya di Sabah, budaya komunikasi agresif dalam media sosial dilihat semakin ketara ketika musim politik dan sambutan perayaan kebudayaan seperti Pesta Kaamatan.

Perkembangan ini sebagai sesuatu yang agak membimbangkan. Kawasan pedalaman di Sabah yang selama ini dikenali sebagai ruang masyarakat yang lebih tenang, autentik dan kaya dengan nilai kekitaan juga mula dicemari laskar siber. Kehidupan masyarakat luar bandar masih kuat dipengaruhi oleh nilai hormat-menghormati, semangat gotong-royong dan budaya hidup bermasyarakat yang harmoni.

Namun begitu, suasana tersebut seakan-akan berubah apabila media sosial dijadikan medan serangan politik terbuka sehingga mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat sendiri. Jika dahulunya hanya perbezaan pandangan politik kini berkembang menjadi budaya menyerang secara terbuka melalui hantaran Facebook, TikTok, ruangan komen dan pelbagai platform digital lain.

Terdapat keadaan tertentu, masyarakat bukan sahaja berbeza pendapat, malah saling menghina, menyindir dan menjatuhkan maruah antara satu sama lain secara terbuka.

Keadaan ini menjadi lebih sensitif apabila perkara tersebut berlaku ketika masyarakat sedang meraikan Pesta Kaamatan, iaitu sambutan yang membawa makna kesyukuran, perpaduan dan penghargaan terhadap identiti budaya masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR).

Pesta Kaamatan bukan sekadar acara kebudayaan tahunan, tetapi merupakan simbol jati diri masyarakat Sabah yang menekankan nilai kebersamaan, keharmonian dan penghormatan terhadap warisan budaya nenek moyang. Oleh itu, penggunaan media sosial untuk menyebarkan provokasi politik, sindiran melampau dan penghinaan terbuka ketika musim perayaan ini dilihat bertentangan dengan semangat sebenar Kaamatan itu sendiri.

akito kungkung noh, oponong noh kual noh

Dalam budaya masyarakat tempatan, terdapat pelbagai peribahasa yang mengajar tentang adab dan nilai komunikasi yang baik. Antaranya ialah peribahasa Murut  yang menyatakan, “akito kungkung noh, oponong noh kual noh” jika diterjemahkan dalam bahasa Melayu berbunyi “jika melihat kulitnya, maka kita akan mengetahui isinya.”

Peribahasa ini membawa maksud bahawa luaran seseorang, khususnya melalui tutur kata dan tingkah lakunya, mencerminkan nilai dalaman seperti akhlak, adab dan keperibadiannya. Dalam konteks media sosial hari ini, penggunaan bahasa kasar, penghinaan dan serangan peribadi bukan sahaja mencetuskan konflik, malah turut menjejaskan imej masyarakat Sabah yang selama ini dikenali dengan sifat sopan santun, lemah lembut dan saling menghormati antara satu sama lain.

ano akoponong ayo bunsalag nu maningot”

Begitu juga dengan peribahasa Murut, ano akoponong ayo bunsalag nu maningot,” yang membawa maksud “tidak diketahui besar sarang lebah,” sebagai peringatan bahawa kita perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan dan pertuturan kerana kita tidak mengetahui latar belakang atau kesan sesuatu perkara terhadap orang lain.

Peribahasa ini menegaskan bahawa setiap kata-kata yang diucapkan perlu disampaikan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.kerana kita tidak tahu berapa besar kesannya kepada komuniti kita.

Hari ini, khususnya ketika masyarakat Sabah meraikan semangat perpaduan melalui Pesta Kaamatan, mesej ini amat relevan. Setiap penulisan, komen dan perkongsian di media sosial bukan lagi bersifat peribadi, sebaliknya mampu tersebar dengan pantas serta memberi kesan besar terhadap pemikiran masyarakat.

Perkara ini boleh membentuk persepsi awam, mempengaruhi emosi, malah berpotensi mencetuskan ketegangan sosial jika tidak dikawal dengan baik. Oleh itu, semangat Kaamatan yang menekankan keharmonian, hormat-menghormati dan perpaduan wajar dizahirkan bukan sahaja dalam sambutan budaya, tetapi juga dalam adab berkomunikasi di ruang digital.

Selain itu, pemimpin politik dan penyokong parti juga perlu menghayati nilai “ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk.” Peribahasa ini mengajar bahawa semakin seseorang mempunyai kedudukan, pengaruh dan kuasa, semakin penting untuk mereka merendah diri serta menjaga adab ketika berkomunikasi dengan masyarakat.

Malangnya, budaya politik digital hari ini kadangkala memperlihatkan keadaan yang sebaliknya apabila ruang media sosial dipenuhi dengan budaya menyerang, memperlekeh dan memalukan pihak lawan demi meraih perhatian masyarakat.

Menurut Allcott dan Gentzkow (2017), penyebaran propaganda digital dan maklumat bersifat manipulatif mampu meningkatkan polarisasi politik dalam masyarakat. Fenomena ini dapat dilihat apabila masyarakat semakin terbahagi kepada kelompok tertentu sehingga sukar menerima pandangan yang berbeza. Dalam situasi sedemikian, ruang maya akhirnya menjadi medan pertelingkahan yang dipenuhi dengan kebencian dan emosi, bukannya ruang perbincangan yang matang dan rasional.

Perlu difahami bahawa tidak semua isu perlu diselesaikan melalui serangan terbuka di media sosial. Ada perkara yang lebih sesuai dibincangkan secara tertutup melalui pendekatan perbincangan meja bulat, dialog komuniti atau pertemuan yang lebih berhemah.

Budaya berbincang secara matang sebenarnya lebih dekat dengan nilai masyarakat Sabah yang mengutamakan permuafakatan dan keharmonian dalam menyelesaikan sesuatu isu. Malah, dalam adat dan budaya masyarakat KDMR sendiri, semangat kebersamaan dan perundingan sentiasa menjadi asas penting dalam menjaga hubungan sosial.

Walaupun media sosial memberi ruang kebebasan bersuara kepada masyarakat, kebebasan tersebut tetap perlu disertai dengan tanggungjawab moral dan etika komunikasi.

Penggunaan media sosial secara tidak beretika boleh memberi kesan besar terhadap hubungan sosial masyarakat, khususnya dalam komuniti yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan kekitaan yang rapat seperti di Sabah. Dalam banyak keadaan, konflik politik yang bermula di ruang maya akhirnya terbawa-bawa ke dunia sebenar sehingga menjejaskan hubungan persahabatan, kekeluargaan dan keharmonian komuniti.

Fenomena penggunaan laskar siber juga sering disalah tafsir oleh masyarakat umum. Ramai yang menyamakan cybertrooper dengan netizen biasa atau “jaguh siber,” sedangkan laskar siber mempunyai modus operandi yang lebih tersusun dan strategik.

Mereka biasanya bergerak secara sistematik untuk membina naratif tertentu, menyerang pihak lawan dan mempengaruhi persepsi masyarakat secara berulang-ulang. Pendekatan ini dilakukan secara terancang sehingga masyarakat sukar membezakan antara pandangan tulen rakyat dengan naratif yang sengaja dibentuk untuk tujuan politik.

Oleh itu, dalam jangka panjang, budaya politik digital yang agresif boleh memberi kesan negatif terhadap generasi muda. Anak muda yang membesar dalam suasana media sosial yang dipenuhi dengan penghinaan, kebencian dan provokasi politik mungkin menganggap budaya tersebut sebagai sesuatu yang normal.

Sedangkan masyarakat Sabah sejak dahulu terkenal dengan budaya hormat kepada orang tua, kesederhanaan dalam bertutur dan semangat kekitaan yang kuat tanpa mengira perbezaan latar belakang politik atau kaum.

“andakau ra gabah”

Jika keadaan ini terus dibiarkan, masyarakat akhirnya akan terperangkap dalam situasi seperti “andakau ra gabah” yang diterjemahkan sebagai “berburu di pohon-pohon tumbang,” iaitu satu gambaran jelas tentang usaha yang sia-sia. Peribahasa ini merujuk kepada keadaan apabila seseorang memburu di kawasan yang sudah tidak lagi memberikan hasil atau peluang, seolah-olah berada di tempat yang kosong daripada rezeki.

Mengikut kearifan tempatan Murut Paluan, bunyi “gabah” atau pohon tumbang ketika berburu menjadi kapio atau angkapio (petanda) bahawa tiada lagi hasil buruan yang akan diperoleh. Maknanya, segala usaha yang dilakukan tidak akan membawa pulangan seperti yang diharapkan. \

Oleh itu, dalam konteks Pesta Kaamatan, peribahasa ini memberikan peringatan bahawa segala usaha memeriahkan sambutan dan mengukuhkan perpaduan akan menjadi sia-sia jika akhirnya diruntuhkan oleh persaingan politik yang keterlaluan sehingga merosakkan keharmonian komuniti sendiri.

Seharusnya, politik berperanan sebagai ruang untuk membina masyarakat yang matang, rasional dan terbuka dalam menerima perbezaan pandangan. Selain itu, politik juga perlu menjadi medium untuk memperjuangkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat, bukan medan yang menyemai kebencian, mencetuskan perpecahan dan menyerang peribadi.

Dalam semangat Kaamatan yang menekankan perpaduan, kesyukuran dan keharmonian, nilai ini wajar terus dipelihara agar usaha membina masyarakat yang bersatu tidak berakhir seperti “andakau ra gabah” yang hanya meninggalkan kekecewaan.

Apatah lagi, dalam konteks Sabah yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan etnik, keharmonian sosial merupakan aset yang sangat berharga. Pesta Kaamatan misalnya bukan sahaja diraikan oleh masyarakat KDMR,malah turut dihargai oleh masyarakat pelbagai kaum sebagai simbol perpaduan dan identiti bersama rakyat Sabah. Oleh itu, semua pihak termasuk pemimpin politik, penyokong parti, pengguna media sosial dan masyarakat umum perlu memainkan peranan dalam menjaga sensitiviti budaya serta memelihara semangat perpaduan tersebut.

Pasukan politik juga perlu lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial. Strategi komunikasi politik sewajarnya menekankan pendekatan yang lebih matang, beretika dan menghormati nilai budaya masyarakat tempatan. Kritikan terhadap pihak lawan boleh dilakukan secara profesional tanpa perlu menggunakan penghinaan, fitnah atau provokasi yang mencetuskan ketegangan sosial. Masyarakat yang berbilang budaya seperti Sabah, pendekatan komunikasi yang berhemah amat penting bagi memastikan perpaduan terus terpelihara.

Penggunaan laskar siber secara tidak beretika bukan sahaja mencetuskan polarisasi politik, malah turut menghakis nilai budaya yang selama ini menjadi asas kepada keharmonian masyarakat Sabah.

Dalam suasana masyarakat yang sedang meraikan Pesta Kaamatan, semua pihak sewajarnya mengutamakan nilai hormat, kesopanan dan perpaduan agar sambutan budaya tersebut terus menjadi lambang kebersamaan rakyat Sabah. Politik tidak seharusnya memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya perlu menjadi ruang memperkukuh keharmonian sosial dan membina masa depan yang lebih matang serta sejahtera untuk generasi akan datang.

_______________________________________

Dr. Jacquelina Karimon merupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Kredit Foto: Leslie Isaac Kok
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi