Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam tradisi lisan masyarakat Melayu, peribahasa bukan sekadar ungkapan yang menghiasi pertuturan, malah merupakan wahana pemikiran yang merakam pengalaman, nilai dan falsafah kehidupan. Setiap peribahasa lahir daripada pemerhatian halus terhadap alam dan kehidupan sosial, lalu diungkapkan dalam bentuk yang padat dan penuh makna. Salah satu peribahasa yang mencerminkan kehalusan budaya Melayu dalam urusan mengatur kehidupan kekeluargaan ialah “langkah bendul”.
Peribahasa ini lazimnya difahami sebagai suatu keadaan apabila adik perempuan mendahului kakaknya untuk berkahwin. Walaupun maknanya nampak jelas pada peringkat permukaan, pada hakikatnya ungkapan ini menyimpan lapisan makna yang lebih mendalam, khususnya yang berkaitan dengan adat, tertib sosial dan falsafah kehidupan masyarakat Melayu.
Untuk memahami makna sebenar langkah bendul, perhatian perlu diberikan kepada unsur “bendul” terlebih dahulu. Dalam konteks rumah tradisional Melayu, bendul ialah sebatang kayu yang dipasang melintang di bahagian bawah pintu sebagai penghubung antara tangga dengan lantai rumah. Namun demikian, fungsi bendul tidak terhenti pada aspek fizikal semata-mata.
Bendul dalam rumah Melayu turut berfungsi sebagai sempadan simbolik yang memisahkan ruang luar dan ruang dalam. Bendul bukan sekadar batas ruang, tetapi juga batas adab. Dalam konteks ini, bendul sering dianggap sebagai “pintu muka penyambut adat” yang melambangkan garis pemisah antara dunia luar dengan ruang peribadi keluarga.
Dalam kehidupan masyarakat Melayu lama, khususnya dalam suasana rumah kayu tradisional, bendul memainkan peranan penting untuk menjaga kesopanan dan maruah ahli keluarga. Tetamu lelaki misalnya, mereka tidak dibenarkan melangkau bendul sesuka hati, terutamanya jika tiada ahli keluarga lelaki di rumah. Keadaan ini mencerminkan betapa bendul berfungsi sebagai lambang kawalan sosial yang berteraskan adab dan kesantunan. Dari sudut ini, jelas bahawa bendul bukan sekadar objek, malah merupakan simbol kepada batas adat dan tertib kehidupan.
Apabila bendul dijadikan unsur dalam peribahasa, maknanya berkembang menjadi lebih abstrak dan simbolik. Perbuatan “melangkah bendul” bukan lagi merujuk tindakan fizikal semata-mata, malah melambangkan tindakan melangkaui sesuatu aturan atau susunan yang telah ditetapkan dalam masyarakat.
Dalam konteks perkahwinan, masyarakat Melayu tradisional amat menitikberatkan susunan keutamaan dalam keluarga, khususnya antara adik-beradik perempuan. Prinsip yang dipegang ialah kakak perlu didahulukan sebelum adik perempuan dalam urusan perkahwinan. Oleh itu, apabila adik berkahwin terlebih dahulu, keadaan tersebut dianggap sebagai melangkaui tertib yang lazim, lalu diungkapkan melalui peribahasa “langkah bendul”.
Namun demikian, keadaan ini tidak dianggap sebagai suatu kesalahan atau larangan mutlak. Sebaliknya, keadaan tersebut dilihat sebagai pelanggaran terhadap adat kebiasaan yang perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan kehalusan budi.
Kebijaksanaan Melayu Menyelesaikan Konflik
Keunikan budaya Melayu terserlah apabila masyarakat tidak sekadar mengiktiraf kewujudan situasi langkah bendul, malah turut menyediakan mekanisme adat untuk menanganinya. Menurut cerapan dan pembacaan autentik penulis, masyarakat Melayu lama telah memperkenalkan suatu amalan yang dikenali sebagai “adat melangkah bendul” bagi menyelesaikan dilema apabila adik perempuan dilamar terlebih dahulu.
Dalam amalan ini, kakak yang belum berkahwin akan diberikan penghormatan tertentu dalam majlis perkahwinan adiknya. Antara bentuk penghormatan tersebut termasuklah penyediaan pakaian yang indah, kedudukan khas dalam majlis, serta pemberian hadiah atau hantaran sebagai tanda penghargaan.
Lebih menarik lagi, terdapat unsur simbolik yang melibatkan pengantin lelaki, iaitu suami kepada adik perempuan. Dalam sesetengah amalan, pengantin lelaki akan membasuh kaki kakak pengantin perempuan sebagai tanda hormat dan terima kasih kerana memberikan laluan kepada adiknya. Upacara ini diakhiri dengan tindakan kakak pengantin perempuan memimpin pengantin lelaki ke pelamin, yang melambangkan restu dan penerimaan terhadap perkahwinan tersebut. Walaupun tempohnya singkat, adat ini sarat dengan makna. Adat tersebut mencerminkan kebijaksanaan masyarakat Melayu menyelesaikan konflik keluarga tanpa menimbulkan perasaan tersinggung atau perpecahan.
Peribahasa langkah bendul tidak dapat dipisahkan daripada falsafah hidup masyarakat Melayu yang menekankan keteraturan dan susunan dalam setiap aspek kehidupan. Prinsip ini sering digambarkan melalui ungkapan “bertangga naik, berjenjang turun” yang membawa maksud bahawa setiap perkara perlu dilakukan mengikut turutan yang sewajarnya.
Dalam konteks ini, perkahwinan bukan sekadar urusan individu, malah melibatkan struktur sosial keluarga yang lebih luas. Keutamaan kepada adik-beradik yang lebih tua mencerminkan nilai hormat, hierarki dan keseimbangan dalam hubungan kekeluargaan.
Apabila tertib ini dilangkaui, masyarakat Melayu tidak bertindak secara menghukum, sebaliknya mencari jalan penyelesaian yang berteraskan nilai muafakat, toleransi dan penghormatan. Pendekatan ini menunjukkan bahawa adat Melayu bersifat dinamik dan fleksibel, tetapi tetap berpaksikan prinsip asas yang kukuh.
Perubahan dan Penyesuaian dalam Masyarakat Moden
Dalam konteks masyarakat moden hari ini, adat melangkah bendul tidak lagi diamalkan secara meluas. Perubahan gaya hidup, tahap pendidikan dan pemikiran masyarakat telah membawa kepada penyesuaian terhadap amalan tradisional tersebut.
Menurut pemerhatian, bentuk penghormatan kepada kakak dalam situasi langkah bendul kini lebih bersifat simbolik, seperti pemberian wang atau hadiah, berbanding dengan pelaksanaan adat yang lengkap seperti pada zaman dahulu. Malah, terdapat juga penyesuaian yang menyimpang daripada amalan asal, termasuklah pemberian kepada pihak yang tidak berkaitan dengan konsep bendul dalam tradisi tersebut.
Walau bagaimanapun, perubahan ini tidak bermaksud nilai budaya tersebut telah lenyap. Sebaliknya, perubahan tersebut menunjukkan keupayaan masyarakat Melayu untuk menyesuaikan adat dengan keperluan semasa tanpa mengabaikan nilai asasnya.
Akal Budi Melayu dalam Peribahasa
Peribahasa langkah bendul memperlihatkan bahawa masyarakat Melayu menggunakan unsur persekitaran fizikal sebagai asas kepada pembentukan makna yang lebih luas. Pemilihan bendul sebagai imej utama bukanlah suatu hal yang kebetulan, tetapi hasil daripada pemerhatian mendalam terhadap fungsi dan simboliknya dalam kehidupan seharian.
Melalui peribahasa ini, tergambar kehalusan akal budi Melayu dalam hubungan kekeluargaan. Konflik tidak diselesaikan melalui konfrontasi, tetapi melalui pendekatan yang penuh simbolik, sopan dan beradab. Nilai seperti menghormati adik-beradik yang lebih tua, menjaga perasaan dan mengekalkan keharmonian menjadi teras kepada penyelesaian tersebut.
Sehubungan dengan itu, pemahaman terhadap makna peribahasa Melayu tidak wajar dihadkan pada makna literal atau konteks penggunaannya semata-mata, sebaliknya perlu ditelusuri dengan lebih mendalam hingga peringkat falsafah serta akal budi masyarakat penuturnya.
Dalam arus globalisasi yang semakin pesat, peribahasa Melayu berdepan dengan cabaran untuk terus kekal relevan dalam kehidupan generasi muda. Namun begitu, peribahasa seperti langkah bendul membuktikan bahawa warisan ini masih mempunyai nilai yang signifikan untuk memahami identiti dan peradaban bangsa.
Peribahasa bukan sekadar tinggalan bahasa, malah merupakan dokumen budaya yang merakam cara masyarakat berfikir, bertindak dan berinteraksi. Melalui pemahaman yang lebih mendalam terhadap peribahasa, generasi hari ini dapat menelusuri kebijaksanaan nenek moyang untuk mengurus kehidupan secara harmoni dan beradab.
Menjunjung Adat, Memelihara Warisan
Sebagai kesimpulan, peribahasa langkah bendul bukan sekadar ungkapan tentang perkahwinan, malah cerminan terhadap sistem nilai dan falsafah kehidupan masyarakat Melayu. Di sebalik ungkapan yang ringkas, terserlah kehalusan budaya untuk mengekalkan keseimbangan antara adat dengan realiti kehidupan.
Walaupun adat melangkah bendul tidak lagi diamalkan secara menyeluruh pada hari ini, namun nilai yang terkandung di dalamnya tetap relevan. Prinsip menghormati adik-beradik yang lebih tua, menjaga keharmonian keluarga dan menyelesaikan konflik secara bijaksana merupakan asas yang perlu terus dipelihara.