Diterbitkan pada 8 Julai 2026, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Miri – Karnival Kebudayaan Taste of Borneo (TOBC) 4.0 melakar sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya merangkul pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Penyertaan Persatuan Etnik Terbanyak dalam Perarakan.

Pengiktirafan berprestij tersebut diumumkan bersempena dengan Majlis Perasmian TOBC 4.0 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bertempat di Tapak Letak Kereta Terbuka Boulevard, semalam.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menerima Malaysia Books of Record bagi kategori Penyertaan Persatuan Etnik Terbanyak dalam Perarakan bersempena dengan penganjuran TOBC 4.0 2026 ini.

Anugerah rekod kebangsaan itu diberikan susulan kejayaan penganjur menghimpunkan sebanyak 39 persatuan etnik, melibatkan 32 persatuan etnik dari Sarawak dan tujuh persatuan etnik dari Wilayah Yunnan, China yang bergabung dalam suatu perarakan kebudayaan.

Pencapaian ini sekali gus mengangkat peranan TBOC 4.0 sebagai platform untuk memperkukuh perpaduan, memelihara warisan serta meraikan kepelbagaian etnik di rantau Borneo.

Menambah warna-warni acara, majlis perasmian tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang melangkaui sempadan antarabangsa menerusi pelibatan delegasi dari Sabah, Brunei, Indonesia dan Wilayah Yunnan, China.

Persembahan kebudayaan dari delegasi China turut mewarnai TOBC 2026.

Dalam perkembangan berasingan pada majlis yang sama, YAB Abang Johari turut mengutarakan cadangan pelaksanaan perkhidmatan bas elektrik di bandar raya Miri sebagai langkah strategik menyokong inisiatif pembangunan bandar pintar, rendah karbon dan mesra alam.

Menurut beliau, peralihan kepada pengangkutan hijau itu berupaya mengurangkan pelepasan karbon secara drastik di samping mewujudkan persekitaran yang lebih sejahtera.

“Bas elektrik ini tidak menghasilkan sebarang pelepasan gas dan bergerak secara senyap. Hal ini bermakna Miri bukan sahaja akan bersih daripada segi kualiti udara, malah lebih senyap dan bebas daripada pencemaran bunyi,” jelas beliau.

Beliau menambah, gabungan teknologi digital, penggunaan tenaga rendah karbon dan sistem pengangkutan hijau dijangka melonjakkan status Miri sebagai model bandar pintar lestari pada masa hadapan.

Bagi menyokong kelancaran agenda tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa kapasiti bekalan elektrik di wilayah itu dijangka dipertingkatkan menjelang tahun 2029 bagi menampung keperluan ekosistem kenderaan awam berasaskan elektrik sepenuhnya.

“Pada masa yang sama, usaha memperkasa agenda digitalisasi bandar akan diteruskan bagi mengoptimumkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan dan pengurusan bandar,” tambah beliau lagi.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pengangkutan Sarawak, YB Dato Sri Lee Kim Shin; Timbalan Menteri Luar Negeri, YB Dato Lukanisman Awang Sauni; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, YB Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, YB Datuk Rosey Yunus; Datuk Bandar Miri, YB Adam Yii Siew Sang; serta Residen Bahagian Miri, Galong Luang.

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Sarawak dan TVS
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi