Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kumpulan Seri Nopeng dari DBP Cawangan Sarawak muncul juara pertandingan teater muzikal Malam Sekalung Seni 2026 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), malam semalam.
Kejayaan itu membolehkan Seri Nopeng membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, selepas berjaya memikat hati barisan juri menerusi pementasan bertajuk “Milik Siapakah Hati Ini”.

Naib juara dimenangi oleh kumpulan Muzika daripada Jabatan Penerbitan DBP yang menerima hadiah wang tunai RM1,500, manakala tempat ketiga menjadi milik Teja Kasturi dari Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP yang membawa pulang RM1,000. Enam kumpulan lain masing-masing menerima hadiah sagu hati sebanyak RM800.

Pertandingan yang menghimpunkan sembilan kumpulan daripada pelbagai bahagian, wilayah dan cawangan DBP itu mengetengahkan pementasan teater muzikal yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup, karya dan legasi seni Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.
Persembahan peserta dinilai berdasarkan lima kriteria utama, iaitu lakonan dan penghayatan watak (30 peratus), vokal dan penyampaian lagu (20 peratus), kreativiti persembahan (20 peratus), penggunaan tema dan karya Sudirman (20 peratus), serta kostum, tatarias dan rekaan pentas (10 peratus).
Pertandingan itu diadili oleh tiga tokoh berpengalaman dalam dunia teater, iaitu penulis skrip dan pengarah teater prolifik Roydy Rokidy, pensyarah Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Eliza Mustafa, serta pelakon dan pengarah Mohd. Kamarulzaman Taib (Che Kem).
Persembahan juara bertajuk “Milik Siapakah Hati Ini” mengisahkan konflik dalaman Sudirman yang berada dalam dilema antara memenuhi harapan ibu bapanya untuk menjadi seorang peguam atau mengejar impiannya sebagai penyanyi. Pementasan itu menggambarkan bagaimana minat terhadap muzik akhirnya menjadi jalan hidup beliau tanpa mengetepikan kasih sayang serta dorongan keluarga.
Kumpulan Muzika pula mempersembahkan “Sinar Sudir”, kisah seorang pemuda berbakat dari Kampung Tok Embun yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengubah kehidupan keluarga. Selepas mengecap kemasyhuran di Jalan Chow Kit, Sudir mula berdepan konflik apabila kemasyhuran menyebabkan beliau semakin jauh daripada keluarga dan kampung halaman.
Tempat ketiga, Teja Kasturi, menampilkan pementasan yang menelusuri empat fasa penting kehidupan Sudirman, bermula sejak zaman kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga mencapai kemuncak kegemilangan sebagai penghibur tersohor negara.
Selain tiga pemenang utama, enam lagi kumpulan turut mempersembahkan interpretasi kreatif terhadap kehidupan dan perjuangan seni Allahyarham Sudirman.

DBP Wilayah Selatan menerusi kumpulan Merisik Khabar membawakan pementasan “S. U. D. I. R.”, singkatan kepada “Suara Unggul Didendang Insan Rapsodi”, yang mengimbas perjalanan hidup Sudirman bermula daripada kemenangan sebagai Juara Bintang RTM 1976, kejayaan Konsert Jalan Chow Kit, pengiktirafan antarabangsa sehingga pemergiannya.

Kumpulan Selendang Putih daripada Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP mengetengahkan kisah Sudirman sebagai graduan undang-undang Universiti Malaya yang baru memenangi Bintang RTM 1976 dan pertemuannya dengan seorang peguam kanan di sebuah firma guaman.

DBP Wilayah Timur melalui kumpulan Sanubari Timur mempersembahkan “Lukisan Generasi”, yang mengisahkan usaha seorang pelukis menghasilkan pameran seni khas bagi memperkenalkan ketokohan Sudirman kepada generasi muda melalui ilham daripada lagu-lagunya.

Kumpulan Bayu Sabah dari DBP Cawangan Sabah pula mengisahkan lima sahabat yang meminati lagu, fesyen dan lakonan Sudirman serta berusaha menghadiri Konsert Jalan Chow Kit yang berlangsung pada 14 April 1986.

Pejabat Ketua Pengarah menerusi kumpulan Atma Jiwa mempersembahkan “Malam Imbauan Seni”, berkisar tentang sekumpulan pelajar fakulti muzik yang memilih Sudirman sebagai tokoh utama dalam malam penghargaan kepada seniman tempatan.

Sementara itu, kumpulan Senandika daripada Jabatan Dasar dan Penyelidikan membawakan “Kasihnya Nora, Sudirman Abadi dalam Kenangan”, yang mengangkat kisah kenangan seorang wanita bernama Nora terhadap Sudirman yang diceritakan semula kepada cucunya.