Diterbitkan pada 30 Jun 2026, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – AAA Vibes Ventures dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur akan mementaskan teater berjudul Merah Kalimah Selatan pada 3 Julai 2026 bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-70 DBP dan ulang tahun ke-25 DBP Wilayah Selatan menerusi penganjuran Teater Antara Wilayah 2026.

Pementasan yang bakal berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP ini dibuka kepada orang ramai secara percuma.

Mior Hashim Manap dan pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sedang menjalani latihan.

Naskhah Merah Kalimah Selatan karya dan arahan Affix Zulkarnaen Adam diadaptasi daripada sajak Melayu karya Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang.

Affix Zulkarnaen dalam kenyataannya berkata, teater berkenaan diilhamkan daripada kisah hidup Allahyarham Dato’ Usman Awang sendiri.

“Naskhah ini memaparkan naratif yang sarat dengan nilai kemanusiaan, sejarah, budaya dan jati diri bangsa, selaras dengan usaha memperkasa dan memartabatkan sastera kebangsaan melalui seni persembahan,” katanya.

Beliau berkata, penerbitan itu menampilkan tokoh teater, Mior Hashim Manap sebagai Pak Utih, manakala watak Uda dan Dara dibawakan oleh bakat muda dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.

Orang ramai dijemput hadir menyaksikan pementasan yang menghidupkan karya sastera Melayu di pentas teater ini, serta memeriahkan Teater Antara Wilayah 2026 bertemakan Restu Jiwa Pahlawan.

Kredit Foto: AAA Vibes
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi