Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Budaya membaca perlu diperkasakan sebagai satu gaya hidup yang mampu melahirkan masyarakat berpengetahuan, berfikiran kritis serta berupaya menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohd. Zafir Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Buku Negeri Sembilan 2026 dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2026 Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung di Mydin Mall Seremban 2, semalam.
Menurut beliau, penganjuran pesta buku bukan sekadar menyediakan ruang untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti, malah menjadi platform penting dalam memperluas akses masyarakat terhadap ilmu pengetahuan serta menyemarakkan budaya literasi dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan dan rakan strategik yang berganding bahu menjayakan penganjuran pesta buku tersebut sebagai wadah memperkukuh budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan merangkap Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, YBrs. Puan Khalidah Omar; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, YBrs. Encik Hamdan Haji Nordin; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry; ketua-ketua jabatan negeri; wakil Majlis Buku Kebangsaan Malaysia; wakil institusi pengajian tinggi; pengetua sekolah; guru-guru; penulis; penerbit serta penggiat industri buku.
Dalam ucapan alu-aluannya, Puan Khalidah mengumumkan satu inisiatif baharu oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, iaitu penambahan jumlah pinjaman buku daripada dua kepada 10 naskhah bagi setiap peminjam yang telah berkuat kuasa pada 23 April lalu.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi menggalakkan lebih ramai anggota komuniti mengunjungi perpustakaan dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan, sekali gus menyuburkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran Pesta Buku Negeri Sembilan pada tahun ini yang bertemakan, “Budaya Membaca, Membentuk Masyarakat MADANI” merupakan hasil kerjasama erat antara Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dengan pelbagai rakan sinergi, termasuklah DBP, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, KEMAS Negeri Sembilan, dan Persatuan Kontraktor Buku Se-Malaysia.

Pesta Buku Negeri Sembilan membuka tirainya pada 24 Jun 2026 dan sepanjang lima hari penganjurannya, pengunjung disajikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti jualan buku pada harga istimewa, forum dan bicara buku, sesi bersama penulis, pelancaran buku, pertandingan, aktiviti kanak-kanak, pameran, kuiz literasi dan pelbagai program galakan membaca yang disediakan oleh penganjur dan rakan kerjasama.
Majlis perasmian tersebut menjadi simbol komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sembilan Bersama-sama agensi yang berkaitan dalam memperkukuh ekosistem pembacaan dan literasi, sekali gus merealisasikan hasrat Dekad Membaca Kebangsaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara membaca menjelang tahun 2030.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Bicara Berirama Bahasa Melayu dan Pertandingan Perbilangan Adat Perpatih, selain penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Bicara Berirama Bahasa Melayu dan Pertandingan Perbilangan Adat Perpatih.