Diterbitkan pada 26 Jun 2026, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suria FM melakar satu lagi sejarah dalam industri penyiaran radio negara apabila memperkenalkan Panggung Suria, sebuah persembahan sketsa komedi pentas secara langsung yang menggabungkan elemen komedi, muzikal dan mesej bermakna menerusi penceritaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, berlangsung buat julung kalinya di Balai Budaya Tun Syed Nasir malam semalam, sekali gus membuka lembaran baharu kepada stesen radio berkenaan dalam menghasilkan kandungan hiburan yang lebih kreatif.

Bertemakan “Komedi Rakyat, Dari Rakyat Untuk Rakyat”, Panggung Suria mengetengahkan kisah dan isu semasa yang dekat dengan kehidupan rakyat menerusi aksi santai, spontan dan menghiburkan, namun tetap sarat dengan pengajaran serta nilai kemasyarakatan.

Pengurus Besar Suria FM, Puan Roslinda Abd. Majid atau lebih mesra dikenali sebagai DJ Lin berkata, Panggung Suria merupakan kandungan baharu yang diperkenalkan oleh Suria FM sebagai usaha memperluas skop hiburan radio ke pentas persembahan secara langsung.

“Ini merupakan kali pertama Suria FM memperkenalkan sebuah persembahan sketsa komedi pentas secara langsung. Kami mengangkat kisah dan isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia menerusi konsep komedi rakyat yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyampaikan mesej yang bermakna,” katanya.

Menurut beliau, persembahan tersebut menggabungkan elemen komedi, muzikal dan penceritaan yang relevan dengan isu semasa supaya penonton bukan sahaja terhibur, malah dapat mengambil pengajaran daripada setiap sketsa yang dipersembahkan.

Beliau berkata, seiring perkembangan teknologi digital, persembahan itu tidak hanya dinikmati oleh penonton yang hadir di lokasi, malah turut disiarkan menerusi platform digital Suria FM.

“Walaupun persembahan ini berlangsung secara langsung, mereka yang tidak dapat hadir masih boleh menontonnya melalui saluran YouTube Suria TV serta platform media sosial Suria Malaysia seperti TikTok, Instagram dan Facebook,” katanya.

Panggung Suria diterajui oleh tiga pelawak terkenal yang juga penyampai Suria FM, iaitu Ajak Shiro, Fad Bocey dan Chiwan Chilok bersama-sama penyampai lain seperti Cik Piah, Kai Hassan, Irsyad dan DJ Lin sendiri.

Watak utama sketsa komedi Antara Dua Darjat, Ghani yang dilakonkan oleh Ajak Shiro dan Fiona yang dilakonkan oleh Cik Piah.

Roslinda berkata, pelibatan semua penyampai radio dalam persembahan pentas merupakan satu cabaran baharu memandangkan sebahagian besar daripada mereka bukan berasal daripada bidang lakonan mahupun komedi.

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa pengalaman menghasilkan Drama Raya Suria sejak lebih lima tahun lalu telah membantu membentuk keyakinan dan bakat dalam kalangan penyampai Suria FM untuk meneroka cabang seni yang baharu.

“Walaupun kami hanyalah penyampai radio, setiap tahun kami menghasilkan Drama Raya Suria dan sambutannya semakin menggalakkan. Dari situ kami belajar menghayati pelbagai watak, sama ada sedih, gembira mahupun watak yang berat.

“Tetapi untuk membuat persembahan komedi secara langsung di atas pentas seperti Panggung Suria, ini memang sesuatu yang kami belum pernah lakukan. Sketsa tersebut merupakan cabaran baharu bagi kami pada tahun 2026,” katanya.

Beliau mengakui bahawa menghasilkan persembahan komedi bukanlah sesuatu yang mudah kerana selain memerlukan skrip yang baik, nilai komedi turut bergantung pada bakat semula jadi dan kemampuan seseorang menghidupkan watak secara spontan di hadapan penonton.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh barisan penyampai sepanjang menjayakan projek perintis itu.

“Saya melihat komitmen semua penyampai sangat padu dan mereka berjaya membawa karakter masing-masing dengan begitu semula jadi dan spontan. Persembahan itu benar-benar hidup dan menghiburkan,” katanya.

Beliau berharap penonton yang hadir mahupun pengikut Suria FM di platform digital dapat menerima Panggung Suria sebagai satu lagi kandungan kreatif yang mampu menghiburkan masyarakat.

“Niat kami adalah untuk menghiburkan, menjadi peneman kepada masyarakat, menghilangkan kesedihan dan mengisi kekosongan mereka melalui kandungan yang segar serta berbeza daripada kebiasaan,” katanya.

DJ Lin turut menyifatkan Panggung Suria sebagai satu usaha untuk memperkasa seni persembahan tempatan, selain membuktikan bahawa stesen radio juga mampu meneroka medium hiburan yang lebih luas.

“Kita bukan sahaja mahu menghiburkan, tetapi juga mendidik. Dalam Panggung Suria, kita selitkan pantun, kita angkat nilai budaya dan sastera lisan supaya penonton dapat menikmati hiburan yang mempunyai nilai tambah,” katanya.

Panggung Suria dijadualkan berlangsung dua kali setiap bulan sebagai platform hiburan secara langsung yang menawarkan pengalaman berbeza kepada peminat Suria FM. Setiap pementasan akan menampilkan gabungan sketsa komedi, persembahan muzikal serta interaksi spontan bersama penonton, sekali gus menjadikan program itu antara inisiatif baharu yang diyakini mampu memperkukuh hubungan Suria FM dengan masyarakat.

Pengacara Suria FM bergambar bersama-sama dengan para penonton.

Melalui inisiatif tersebut, Suria FM berharap dapat terus menghasilkan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, malah mencerminkan suara, pengalaman dan realiti kehidupan rakyat Malaysia, selaras dengan aspirasi untuk mengangkat seni, budaya dan nilai kemasyarakatan menerusi medium hiburan moden.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi