Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuching – Malam Bahasa Jiwa Bangsa yang merupakan kemuncak Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-70 di Hotel Pullman Kuching malam semalam berlangsung dengan pengisian sastera dan penyampaian sumbangan kepada sekolah angkat DBP.
Majlis yang menghidangkan santapan bahasa dan sastera itu menjadi wadah memperkukuh semangat cinta akan bahasa kebangsaan melalui pelbagai persembahan puisi dan syair yang menyentuh jiwa.
Acara dimulakan dengan persembahan deklamasi puisi oleh para tetamu kehormat. Timbalan Pengarah di Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Puan Hajah Siti Zulaiha Haji Ibrahim mendeklamasikan puisi bertajuk “Bahasa Kita” karya Abizai yang mengangkat martabat bahasa sebagai wahana penyatuan masyarakat dan pembinaan jati diri bangsa.

Seterusnya, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei, YM Awang Suip Haji Abdul Wahab tampil mendeklamasikan puisi “Guris Pahlawan” yang mengungkapkan semangat perjuangan dan pengorbanan para pejuang mempertahankan maruah bangsa dan negara.

Turut mencuri perhatian hadirin ialah persembahan puisi oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari menerusi karya nukilannya bertajuk “Setelah Melangkah ke Takah Tujuh Puluh”.
Puisi tersebut menggambarkan perjalanan panjang DBP selama tujuh dekad untuk memperkasakan bahasa Melayu, memartabatkan kesusasteraan kebangsaan dan mengembangkan ilmu pengetahuan, serta turut mengungkapkan persoalan “apakah lagi yang boleh institusi keramat ini lakukan setelah tujuh dekad?”.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim pula mendeklamasikan puisi “Sekuntum Bahasa di Taman Cinta” karya Madrasah Sham al-Johori atau Dr. Shamsudin Othman.
Selain persembahan puisi, majlis turut menyaksikan penyampaian cek cura dan sumbangan buku kepada tiga buah sekolah angkat DBP di Kuching, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dan Sekolah Kebangsaan (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan.



Program sekolah angkat DBP merupakan antara inisiatif penting institusi itu untuk memperluas pengembangan bahasa dan sastera pada peringkat sekolah.
Melalui program tersebut, DBP menyediakan peruntukan khas sebanyak RM20,000 kepada setiap sekolah angkat bagi melaksanakan pelbagai kegiatan berkaitan dengan bahasa, sastera dan penerbitan.
Sumbangan buku yang disampaikan pula diharap dapat memperkaya bahan bacaan serta memupuk budaya membaca dalam kalangan warga sekolah, sejajar dengan usaha membina masyarakat berilmu dan berbudaya tinggi.
Majlis diteruskan dengan persembahan multigenre syair dan puisi bertajuk “Gema Enam Sasterawan Sarawak” oleh Khalid Husseine Tuah.
Persembahan kreatif itu memperkenalkan enam tokoh sasterawan Sarawak berserta karya mereka yang telah memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu di negeri tersebut.
Gabungan elemen syair, puisi dan penceritaan dalam persembahan itu berjaya membawa hadirin menyelusuri khazanah sastera Sarawak serta menghargai pemikiran dan kreativiti para pengarang yang telah memperkaya landskap persuratan negara.
Majlis diikuti dengan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negeri Sarawak, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi yang menyampaikan karya nukilannya yang bertajuk “Dirgahayu Dewan Bahasa dan Pustaka”.
Puisi itu menjadi penghormatan istimewa kepada DBP yang telah memainkan peranan penting sebagai institusi utama dalam pembangunan bahasa Melayu dan kesusasteraan kebangsaan sejak penubuhannya.
Sepanjang berlangsungnya majlis, suasana penuh penghargaan terhadap bahasa dan sastera dapat dirasakan menerusi setiap persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyampaikan mesej tentang pentingnya memelihara warisan bahasa kebangsaan sebagai asas pembentukan identiti negara.
Malam Bahasa Jiwa Bangsa turut menjadi simbol kerjasama erat antara institusi bahasa, pendidikan dan sastera untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan serantau, termasuklah melalui jalinan hubungan dengan DBP Brunei.
Penganjuran Malam Bahasa Jiwa Bangsa ini menjadi antara acara penting dalam Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP, sekali gus membuktikan bahawa bahasa dan sastera terus menjadi nadi pembinaan tamadun bangsa serta jambatan yang menghubungkan masyarakat melalui nilai ilmu, budaya dan warisan yang dikongsi bersama.