Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBertam – Budaya masyarakat yang semakin terdedah kepada lambakan maklumat dan gangguan digital di media sosial dilihat mampu menjejaskan tahap fokus dan keupayaan seseorang untuk menilai dan mentafsir maklumat secara kritis.
Demikian pandangan yang dikongsi oleh Hussain Jamalullail, pemilik Qahwa Café ketika menganjurkan program Silent Book Reading bersama-sama Komuniti Buku Utara (Komkura) baru-baru ini.
Menurut beliau, program tersebut bertujuan untuk menghidupkan semula budaya membaca yang suatu ketika dahulu sinonim dengan perpustakaan, namun kini dibawa ke kafe dengan suasana yang lebih santai dan mesra masyarakat.

Dalam program itu, para peserta berpeluang menikmati masa membaca dalam suasana yang tenang sambil menghirup secangkir kopi dan ditemani oleh alunan muzik latar yang mendamaikan.
“Ramai orang mahu membaca, tetapi sukar mencari ruang yang sesuai untuk memberikan tumpuan. Melalui program ini, kami cuba menyediakan persekitaran yang kondusif agar masyarakat dapat kembali menikmati pengalaman membaca tanpa gangguan digital,” katanya.
Program tersebut dirancang untuk diadakan sebulan sekali sebagai usaha berterusan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Peserta hanya perlu membawa buku pilihan masing-masing dan meluangkan masa membaca secara senyap bersama-sama dengan komuniti pembaca lain.
Hussain Jamalullail turut berkongsi rakaman suasana program itu di platform Thread yang memaparkan sebuah keluarga membaca bersama dalam keadaan tenang dan penuh fokus.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai dengan mencatatkan lebih 27,800 tontonan.
Sambutan positif itu menunjukkan bahawa masih banyak yang merindukan interaksi sosial yang lebih bermakna serta aktiviti yang dapat mengurangkan kebergantungan pada telefon pintar.
Pada era digital hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa budaya penggunaan gajet yang berlebihan dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak semakin menjejaskan komunikasi harian apabila masing-masing lebih banyak menumpukan perhatian kepada skrin berbanding dengan perbualan sesama ahli keluarga.
Melalui inisiatif seperti Silent Book Reading, budaya membaca bukan sahaja dapat diperkasakan, malah mampu menjadi medium untuk mengeratkan hubungan sosial dan mengembalikan keseimbangan antara kehidupan digital dengan dunia nyata.