Diterbitkan pada 7 Jun 2026, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Budaya ilmu dalam kalangan remaja kini berdepan cabaran baharu seiring dengan perkembangan pesat teknologi digital yang mempengaruhi corak pembacaan dan cara generasi muda berinteraksi dengan maklumat.

Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PSKR) telah menganjurkan program Respons Remaja: Gajet di Tangan, Buku di Hati yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pagi tadi.

Program bual bicara ini menampilkan dua orang panel berpengalaman, iaitu pendidik dan pempengaruh media sosial yang terkenal, Puan Saliza Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zack Kirana dan Ikon Bahasa DBP, Encik Lim San Shien, manakala sesi perbincangan tersebut dikendalikan oleh Perancang Bahasa, Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, Puan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh.

Dalam sesi perbincangan tersebut, Puan Rabi’ahtuladawyah menyatakan bahawa perkembangan pesat teknologi digital yang melanda dunia hari ini tidak seharusnya dilihat secara negatif semata-mata, sebaliknya perlu difahami sebagai satu fenomena yang membuka ruang baharu kepada remaja untuk memperoleh dan berinteraksi dengan ilmu pengetahuan.

Beliau berkata, meskipun kebimbangan terhadap kemerosotan budaya membaca sering dibangkitkan, hakikatnya remaja kini masih aktif membaca, namun bentuk dan medium pembacaan telah berubah seiring dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup digital.

Cikgu Zack Kirana menjelaskan bahawa konsep membaca pada era digital perlu ditafsirkan secara lebih luas kerana remaja kini tidak lagi terikat kepada buku fizikal semata-mata, sebaliknya mereka turut membaca pelbagai kandungan secara dalam talian.

“Pembacaan melalui media sosial seperti kapsyen, artikel pendek dan pelbagai bentuk kandungan digital merupakan satu bentuk literasi baharu yang wajar diiktiraf dan difahami dalam konteks pendidikan masa ini,” ujar beliau.

Beliau berpendapat bahawa cabaran utama bukanlah sama ada remaja membaca atau tidak, tetapi lebih kepada kualiti bahan yang dibaca serta keberkesanan bahan tersebut dalam menyumbang kepada perkembangan intelek dan pemikiran kritis.

Puan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh (kiri) bersama dengan dua orang panel jemputan, Cikgu Zack Kirana (tengah) Encik Lim San Shien (kanan).

Tambah beliau, peranan guru dan ibu bapa amat penting dalam membimbing remaja agar tidak sekadar terdedah kepada bahan hiburan, sebaliknya mendorong mereka untuk meneroka bahan bacaan yang lebih berilmiah dan bermakna agar dapat meningkatkan pembudayaan ilmu yang berkualiti.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa platform digital seperti TikTok dan Instagram boleh dimanfaatkan sebagai alat pendidikan yang berkesan sekiranya digunakan secara kreatif untuk menyampaikan kandungan berunsur ilmu dan galakan membaca.

Cikgu Zack Kirana juga menyentuh tentang kepentingan pengurusan masa dalam kalangan remaja agar penggunaan gajet dapat diseimbangkan dengan aktiviti pembelajaran, sekali gus mengelakkan ketagihan yang boleh menjejaskan prestasi akademik.

Beliau menegaskan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan besar dalam membentuk tabiat penggunaan teknologi yang sihat, khususnya melalui pemantauan dan komunikasi yang berkesan antara ibu bapa dengan anak-anak.

“Ibu bapa perlu menjadi contoh teladan dalam mengawal penggunaan gajet supaya anak-anak dapat mencontohi amalan yang baik dan membentuk disiplin diri,” ujarnya.

Sementara itu, Encik Lim San Shien pula berpandangan bahawa perkembangan teknologi digital sebenarnya membuka peluang yang luas kepada generasi muda untuk mengakses pelbagai sumber ilmu tanpa batasan geografi dan masa.

“Kelebihan ini perlu dimanfaatkan dengan baik oleh remaja melalui pemilihan bahan yang berkualiti serta sikap ingin tahu yang tinggi terhadap pelbagai bidang ilmu,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa pada era lambakan maklumat, remaja perlu memiliki kemahiran menilai kesahihan sesuatu maklumat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau maklumat yang mengelirukan.

Encik Lim San Shien semasa menyampaikan pendapatnya dalam program Respons Remaja: Gajet di Tangan, Buku di Hati.

Pada masa yang sama, beliau menerangkan konsep amalan tabayyun yang perlu dijadikan budaya dalam penggunaan media sosial, iaitu menyemak kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu sebelum mempercayai dan menyebarkannya kepada umum.

Beliau juga menyarankan agar generasi muda lebih bersifat holistik dengan tidak hanya memberikan tumpuan kepada bidang akademik semata-mata, tetapi turut peka terhadap isu semasa yang melibatkan aspek sosial, ekonomi dan bahasa.

Beliau menegaskan bahawa penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu terus diperkukuh agar generasi muda tidak kehilangan jati diri dalam menghadapi cabaran globalisasi yang semakin mencabar.

“Bahasa kebangsaan bukan sahaja alat komunikasi, tetapi juga mencerminkan identiti dan jati diri masyarakat yang perlu dipelihara dan dimartabatkan,” tegasnya.

Yang turut hadir termasuklah Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Ketua Editor Bahagian PSKR DBP, Encik Mohd Azam Juhari.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi