Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Geran Padanan Muzium diharapkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membina kerjasama strategik yang lebih luas antara institusi permuziuman dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan komuniti korporat.
Demikian antara ucapan Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang pada Majlis Perhimpunan Bil. 3/2026 Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Beliau berkata, pendekatan perkongsian awam-swasta perlu diperkukuh agar usaha pemuliharaan dan pembangunan warisan negara tidak hanya bergantung pada dana kerajaan semata-mata seperti yang pernah dicadangkan oleh Menteri Kewangan Kedua, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Di negara maju seperti United Kingdom, model kerjasama korporat dengan muzium telah lama diamalkan, termasuklah penubuhan ruang pembelajaran digital seperti Samsung Digital Discovery Centre hasil kerjasama antara Samsung dengan The British Museum,” ujarnya.
Tambah beliau, model seperti ini wajar diterokai di Malaysia supaya lebih banyak syarikat tampil sebagai rakan strategik demi memelihara dan memartabatkan warisan negara untuk generasi akan datang.
Sementara itu, beliau turut menyeru agar Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Arkib Komuniti mempergiat pelaksanaan Kempen Derma Koleksi secara besar-besaran di seluruh negara bagi menggalakkan masyarakat menyumbang artifak, dokumen, gambar, manuskrip dan bahan bersejarah yang mempunyai nilai warisan untuk dipelihara.
“Saya dimaklumkan pada tahun ini, JMM telah berjaya memperoleh sebanyak 109 koleksi yang disumbangkan oleh masyarakat awam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan koleksi di bawahnya kini mencecah 437,242 koleksi,” katanya.
Beliau juga berharap JMM dapat menerajui usaha mewujudkan Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Kebangsaan yang menghimpunkan maklumat koleksi daripada muzium di seluruh negara.
Tambah beliau, Ketua Setiausaha KPN dan Ketua Pengarah JMM dicadangkan agar mengadakan sesi libat urus bersama-sama 232 muzium di bawah agensi Persekutuan, kerajaan negeri, universiti serta sektor swasta.
Sebagai contoh, ujarnya, Norway dan Sweden telah membangunkan Digital Museum yang menghubungkan ratusan muzium dan berjaya mendigitalkan jutaan koleksi untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan akses awam.
Pada masa yang sama, beliau juga menyeru agar JMM memperkukuh strategi promosi dan komunikasi dengan pendekatan yang lebih mesra generasi muda, serta menampilkan kandungan yang segar dan kreatif selain meneruskan transformasi digital seperti pembangunan imersif di Muzium Negara dan pembangunan Pameran Digital Muzium Arkeologi Lembah Bujang.
Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan dua pelan strategik KPN sebagai panduan bagi tempoh lima tahun akan datang, iaitu Pelan Strategik Kementerian Perpaduan Negara 2026–2030 dan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) Kementerian Perpaduan Negara 2026–2030.