Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal memulakan operasi sepenuhnya di Menara FINAS Damansara pada penghujung Ogos ini, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan industri filem dan kandungan kreatif negara.

Majlis Simbolik Perpindahan Operasi FINAS ke Menara FINAS Damansara hari ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, yang menyifatkan perpindahan tersebut melambangkan transformasi FINAS sebagai institusi peneraju industri kreatif negara.

Menurut beliau, perpindahan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan FINAS terus relevan, progresif dan bersedia menghadapi perubahan landskap industri, di samping menyediakan persekitaran kerja yang lebih moden dan kondusif.

“Menara FINAS menjadi simbol transformasi organisasi, pusat pemikiran strategik serta pemangkin kepada pembangunan industri kreatif negara yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di peringkat serantau mahupun antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis itu di Kompleks FINAS Petaling Jaya.

Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi akan terus memberikan sokongan kepada FINAS bagi memperkasakan bakat tempatan, memperluas akses ke pasaran global, menarik pelaburan dalam sektor kreatif, serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kandungan kreatif yang disegani di rantau ini.

Pada majlis itu, YB Teo Nie Ching turut menyempurnakan simbolik pembukaan plak bangunan FINAS di Petaling Jaya sebagai penghargaan terhadap sejarah dan legasi kompleks berkenaan yang menjadi nadi pembangunan industri perfileman negara selama lebih enam dekad.

Plak bersejarah itu akan dipasang semula di Menara FINAS Damansara sebagai simbol kesinambungan legasi FINAS.

Kompleks FINAS Petaling Jaya mempunyai nilai sejarah yang signifikan dalam perkembangan industri perfileman negara apabila dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 24 Ogos 1965 sebagai pusat operasi Filem Negara Malaysia sebelum pengurusannya diambil alih oleh FINAS pada 2013.

Sepanjang lebih 60 tahun, kompleks tersebut menjadi saksi terhadap perkembangan industri perfileman tempatan, termasuklah melahirkan pelbagai inisiatif pembangunan bakat, latihan profesional, penerbitan karya dan pengukuhan ekosistem industri kreatif negara.

YB Teo Nie Ching berkata, banyak tokoh serta penggiat seni yang mengharumkan nama Malaysia turut mempunyai hubungan rapat dengan institusi bersejarah itu.

“Saya yakin dengan komitmen seluruh warga FINAS serta sokongan padu pemain industri, perpindahan ini akan membuka ruang kepada lebih banyak pembaharuan, kerjasama strategik dan pencapaian yang lebih membanggakan,” katanya.

Majlis turut diikuti bacaan doa selamat sebagai tanda kesyukuran dan memohon keberkatan agar proses perpindahan berjalan lancar serta menjadi permulaan kepada kejayaan baharu buat FINAS dan industri kreatif negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi