Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 18:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Orange Economy Consortium (OEC) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Yayasan Teras Utama membuka pencalonan bagi Anugerah Buku Negara (ABN) Ke-21 yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 November depan.

Pengarah Urusan OEC, Dr. Hasan Hamzah berkata, pencalonan dibuka mulai sekarang hingga 15 September 2026, dan terbuka kepada semua penerbit universiti di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi TVET, ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), persatuan penerbit seperti Malaysian Book Publishers Association (MABOPA), Malaysian Publishers Association (MAPA), penerbit buku Bumiputera serta agensi kerajaan termasuklah FAMA, MARDI, FRIM dan lain-lain.

“ABN yang mula dianjurkan sejak 2005 terus menjadi platform berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan penerbitan negara merangkumi karya ilmiah, akademik, profesional dan umum.

“Bagi melayakkan penyertaan, setiap penerbit perlu mengemukakan antara lima hingga 10 naskhah bagi setiap judul yang dipertandingkan.  Semua penyertaan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat ABN, Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Anuwar Ali,” katanya.

Beliau berkata, proses penjurian dijadualkan berlangsung dari 15 September hingga 15 Oktober 2026, sebelum pemenang diumumkan pada majlis penyampaian anugerah yang dijadualkan berlangsung pada awal November depan.

Dalam perkembangan berkaitan, OEC turut menganjurkan Anugerah Telenovela Ke-11 yang memberikan pengiktirafan kepada novel dan karya fiksyen tempatan yang berjaya diadaptasi menjadi drama bersiri, telefilem atau filem untuk siaran di platform penyiaran dan penstriman.

“Anugerah itu merangkumi karya yang diterbitkan melalui stesen televisyen seperti RTM, TV3 dan Astro, selain platform penstriman digital (OTT) termasuklah Viu, Netflix dan platform seumpamanya.

“Pengenalan kategori baharu itu mengambil kira perkembangan pesat industri kreatif yang menyaksikan semakin banyak karya sastera diadaptasi ke medium visual, termasuk penerbitan berskala kecil menggunakan teknologi mudah alih seperti telefon pintar.

“Penilaian bukan tertumpu pada kos penerbitan atau teknologi yang digunakan, sebaliknya pada kreativiti, kekuatan penceritaan serta kualiti adaptasi daripada novel atau buku kepada karya audiovisual,” ujarnya.

Katanya, ABN dan Anugerah Telenovela diharapkan dapat terus memperkukuh ekosistem industri buku dan kandungan kreatif negara, di samping menggalakkan penerbit, penulis serta penggiat industri menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mampu memberikan impak kepada masyarakat dan industri kreatif Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi