Diterbitkan pada 17 Julai 2026, 22:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative) membuka permohonan bagi Program Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik 2026 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.5 juta bagi memperkukuh pembangunan industri muzik tempatan dan merancakkan ekonomi kreatif negara.

Inisiatif tersebut juga selaras dengan aspirasi memperkukuh ekonomi jingga, iaitu sektor ekonomi yang berasaskan kreativiti, budaya dan harta intelek sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.

Program yang diperkenalkan sejak tahun 2023 itu terus menjadi antara inisiatif utama kerajaan untuk menyokong penggiat industri muzik tempatan.

Sepanjang tiga tahun pelaksanaannya, DKK Industri Muzik telah menyalurkan lebih RM45 juta kepada kira-kira 11 400 penggiat muzik di seluruh negara.

Inisiatif tersebut dijangka terus memainkan peranan penting sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh ekosistem industri muzik, selain meningkatkan daya saing kandungan kreatif tempatan pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Bagi tahun 2026, permohonan dibuka untuk lapan kategori utama mengikut jadual yang ditetapkan.

Bagi kategori Dana Kebolehpasaran: Muzik Mikro, permohonan dibuka hingga 14 Ogos 2026.

Tarikh tutup 14 September 2026 pula melibatkan kategori Dana Persembahan Muzik: Konsert Muzik, Dana Persembahan Muzik: Gig Muzik, dan Dana Kebolehpasaran: Inkubator Lestari Muzik (ILMU).

Sementara itu, kategori Dana Persembahan Muzik: Festival Muzik serta Dana Kebolehpasaran: Cipta Karya menerima permohonan hingga 14 Oktober 2026.

Bagi kategori Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa serta Dana Pemasaran dan Promosi Domestik, permohonan dibuka hingga 31 Disember 2026.

Menurut MyCreative dalam suatu kenyataan pada Jumaat, pelaksanaan DKK Industri Muzik 2026 merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa penggiat industri kreatif termasuklah pemuzik, artis, penulis lagu dan syarikat produksi muzik untuk membangunkan projek berskala lebih besar, sekali gus memperluas capaian karya tempatan ke pasaran antarabangsa.

Penggiat industri muzik yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mengemukakan permohonan melalui laman sesawang rasmi MyCreative di https://www.mycreative.com.my/grants.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi