Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Penganjuran Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026 yang diumumkan semalam bukan sahaja bertujuan untuk memperkasakan industri ekonomi kreatif dan memelihara warisan budaya, malah mengangkat Batik Selangor sebagai identiti negeri yang bernilai tinggi pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Inisiatif berprestij tersebut diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dan Ekonomi Kreatif Negeri Selangor dalam majlis Sidang Media Pelancaran di Hotel Sunway Resort, di sini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Tuan Mohd. Najwan Halimi, pertandingan tersebut selaras dengan agenda Pembangunan Ekonomi Kreatif Selangor yang melihat sektor seni dan budaya melalui subsektor fesyen dan tekstil bukan sahaja sebagai khazanah yang perlu dipelihara.

“Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa melalui usaha kolektif ini, Batik Selangor bukan sahaja akan terus dipelihara sebagai warisan budaya negeri, malah berpotensi berkembang menjadi jenama kreatif bertaraf antarabangsa yang mampu mengharumkan nama Selangor dan Malaysia pada persada dunia.

“Inisiatif ini juga menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu menjana peluang pekerjaan, melahirkan usahawan kreatif dan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif negara,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Tuan Mohd. Najwan Halimi semasa menyampaikan ucapan dalam majlis Sidang Media Pelancaran di Hotel Sunway Resort, Subang Jaya, semalam.

Pertandingan yang bertemakan “Warisan. Identiti. Inovasi.” tersebut merupakan platform strategik bagi merangsang penghasilan reka bentuk baharu, inovasi produk serta meningkatkan nilai komersial Batik Selangor tanpa mengabaikan keaslian seni, kemahiran tradisional pembatik, dan warisan budaya yang menjadi asas kepada identiti negeri.

Selaras dengan aspirasi kerajaan negeri, pertandingan tersebut turut membawa hasrat untuk merakyatkan batik Selangor agar menjadi pilihan masyarakat dalam kehidupan seharian, bukan sekadar pakaian rasmi atau eksklusif.

Inisiatif ini diharap dapat memupuk rasa bangga terhadap warisan negeri, serta mengukuhkan identiti budaya dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.

Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026 menawarkan dua kategori utama, iaitu Fesyen Batik Selangor dan Lukisan Batik Selangor.

Dengan hadiah keseluruhannya berjumlah RM90,000, pertandingan ini menjadi antara pertandingan batik dan kraf paling berprestij yang pernah dianjurkan di Selangor.

Lebih membanggakan, program julung kali ini mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tengku Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor untuk menggunakan nama baginda sebagai identiti rasmi pertandingan, sekali gus dikenali sebagai Piala Tengku Permaisuri Selangor.

Sementara itu, Pegawai Ekonomi Kreatif Selangor dan Pengurus Program Kraf Selangor, Piala Tengku Permaisuri Selangor, Encik Mohamad Nor Imran Mat Shah berkata, batik dipilih kerana tahap semasa dan penggunaannya.

“Negeri Selangor juga mempunyai warisan lain seperti cempuling. Walau bagaimanapun, batik paling terkenal dan lebih mesra rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, buat masa ini juga hanya dua kategori yang difikirkan sesuai untuk Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026, yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan syarat menggunakan Batik Selangor.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Yayasan MBI, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Encik Ahmad Azri Zainal Nor; Penolong Pengarah, Seksyen Sekrotal Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Puan Zanariah Zulfandie Osman; dan Timbalan Pengarah, Seksyen Sekrotal, UPEN, Selangor, Puan Nujaimatu’l-‘Aliah Mohd. Jais.

Keputusan pemenang akan diumumkan pada 14 November 2026 dalam sebuah majlis yang bakal dilangsungkan di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Mohamad Nor Imran menerusi e-mel [email protected], atau talian +6011-60848828.

Kredit Foto: Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi