Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Konsert Suaramu Syairku bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan 75 tahun organisasi itu dalam memperkasakan komuniti orang buta dan kurang upaya pelihatan, selain membuktikan bahawa bakat dan potensi seseorang tidak pernah dibatasi oleh kehilangan pancaindera untuk melihat.
Konsert yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri telah dianjurkan dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan menghimpunkan bakat warga Orang Kurang Upaya (OKU) pelihatan bersama-sama dengan artis terkenal tanah air menerusi persembahan bertemakan “Sebuah Simfoni Inspirasi, Sejuta Harapan”.
Majlis diserikan dengan kehadiran Presiden MAB, YAM Tan Sri Dato’ Seri Tengku Azlan Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar; Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Ashwad Ismail; barisan kepimpinan MAB, wakil kementerian dan agensi kerajaan, rakan strategik, penaja, penderma serta komuniti orang buta dan kurang upaya penglihatan dari seluruh negara.
Dalam ucapan alu-aluannya, Tengku Azlan berkata ulang tahun ke-75 MAB turut menghargai ribuan kisah kejayaan yang lahir dari hasil peluang, sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada komuniti orang buta sejak MAB ditubuhkan pada tahun 1951.
Menurut beliau, MAB diasaskan dengan tekad memastikan individu buta dan kurang upaya pelihatan memperoleh peluang yang saksama dalam pendidikan, latihan, pekerjaan, kehidupan berdikari serta menikmati kehidupan yang bermaruah.
“Pada hari ini, kita bukan sekadar meraikan ulang tahun sebuah organisasi, malah meraikan ribuan kisah kejayaan yang telah terhasil melalui peluang, sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelbagai pihak sepanjang perjalanan MAB,” katanya.
Beliau berkata konsert tersebut turut menjadi penghormatan terhadap bakat dan potensi komuniti OKU pelihatan yang sentiasa mampu menyerlah serta memberi inspirasi kepada masyarakat.
Katanya, persembahan muzik dan syair yang dipentaskan membuktikan bahawa keterbatasan pelihatan tidak pernah menjadi penghalang kepada impian, kreativiti dan keupayaan seseorang.
“Melalui alunan muzik dan syair, kita menyaksikan bagaimana seni mampu menyatukan hati, memupuk kefahaman serta menjadi jambatan yang menghubungkan kita semua tanpa mengira perbezaan,” ujarnya.
Sepanjang konsert, para hadirin dihiburkan dengan persembahan artis jemputan termasuklah Ernie Zakri, Haqiem Rusli dan Caliph Busker, selain persembahan daripada Koir MAB, Natalia Lee, Shidi Rashidi, Godfrey Ooi, Gayathri Manoghayathiri, Dinie, Khai, Zaki serta Kumpulan Ukulele SMK Pendidikan Khas Setapak.
Persembahan berkenaan menyerlahkan keupayaan luar biasa komuniti OKU pelihatan dalam bidang seni dan muzik, sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap kemampuan golongan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, YBhg. Dato’ George Thomas berkata konsert berkenaan merupakan antara acara kemuncak sambutan Jubli Intan MAB dan menjadi platform advokasi bagi mengetengahkan bakat serta potensi warga OKU pelihatan.
Menurut beliau, masyarakat perlu melihat bahawa golongan tersebut mampu menyumbang secara signifikan apabila diberikan peluang, akses dan sokongan yang sewajarnya.
Beliau berharap mesej yang dibawa melalui Konsert Suaramu Syairku dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama, peluang pekerjaan, akses pendidikan dan penyertaan sosial kepada komuniti orang buta dan kurang upaya penglihatan di negara ini.
Mengakhiri ucapannya, Tengku Azlan menyeru semua pihak agar terus berganding bahu membina masyarakat yang lebih inklusif, penyayang dan menghargai potensi setiap insan.
“Apabila peluang diberikan, potensi akan berkembang. Apabila halangan dihapuskan, kemampuan akan terserlah. Apabila kita melangkah bersama, tiada siapa akan tercicir di belakang,” katanya.