Diterbitkan pada 11 Julai 2026, 21:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Borak Buku edisi ke-25 anjuran Kultus Kata dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Sudut Karyawan (Stor Teater), Wisma DBP, petang tadi bertujuan untuk menyemarakkan budaya membaca dan menggalakkan perkongsian ilmu, di samping memperluas penghargaan masyarakat terhadap karya tempatan. 

Program yang dikendalikan oleh Encik Airul Affendi Ali selaku moderator ini mengetengahkan pengalaman kepengarangan, nilai kehidupan serta pemikiran yang terkandung dalam karya Kaki Gunung Travelog ke Puncak Ardi oleh Nur Muhamad Fansuri. 

Karya tersebut menghimpunkan pengalaman sebenar penulis yang telah menawan lebih 200 buah gunung dan bukit sejak tahun 2013. 

Pengalaman luas itu bukan sahaja menjadi sumber penghasilan sebuah karya berbentuk travelog, malah memperlihatkan keberkesanan aktiviti pendakian yang dapat diterjemahkan sebagai medium perkongsian ilmu, pengalaman dan nilai kehidupan kepada masyarakat.

Encik Airul Affendi Ali selaku moderator bersama-sama dengan Encik Nur Muhamad Fansuri selaku penulis dan panel jemputan semasa Program Borak Buku di Sudut Karyawan, Wisma DBP petang tadi.

Dalam perkongsiannya, Encik Nur Muhamad Fansuri menjelaskan bahawa pelibatan beliau dalam dunia pendakian bermula daripada pengaruh keluarga serta pengalaman awal ketika menyertai aktiviti beruniform pada peringkat universiti. 

Minat yang berkembang secara konsisten itu kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk penulisan yang bukan sahaja merakam pengalaman, malah mengandungi unsur refleksi dan tafsiran terhadap perjalanan hidup yang dilaluinya.

Menurut beliau, pendakian perlu dilihat sebagai suatu proses pembelajaran yang menyeluruh kerana setiap perjalanan ke puncak bukan sekadar mencapai destinasi, malah turut membentuk disiplin, daya tahan dan keupayaan seseorang untuk menghadapi cabaran.

“Pendakian menuntut kesediaan untuk berdepan dengan cabaran yang tidak dijangka. Jadi, seseorang individu perlulah belajar memahami batas diri serta membina kekuatan dalaman melalui pengalaman yang dilaluinya,” ujar beliau.

Selain merakam pengalaman, buku ini turut mengandungi panduan asas berkaitan dengan keselamatan dan persediaan yang dapat dijadikan sebagai bahan rujukan kepada pembaca.

Kandungan buku tersebut memperlihatkan keberkesanan sesebuah karya yang bukan sahaja berfungsi sebagai catatan perjalanan, malah menjadi wadah penyampaian ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat.

Encik Nur Muhamad Fansuri ketika menyampaikan perkongsiannya berkaitan buku Kaki Gunung Travelog ke Puncak Ardi.

Perkongsian penulis turut memberikan perhatian terhadap kepentingan membudayakan kesedaran terhadap aspek keselamatan dalam kalangan pendaki, khususnya berkaitan dengan persediaan sebelum memulakan sesuatu ekspedisi. 

“Minat semata-mata tidak mencukupi tanpa disertai pengetahuan dan perancangan yang rapi,” tegas beliau.

Encik Nur Muhamad Fansuri turut berkongsi beberapa pengalaman mencabar beliau sepanjang pendakian, termasuklah situasi tersesat, kecederaan dalam kumpulan dan perubahan keadaan persekitaran secara mendadak. 

Pada masa yang sama, beliau turut menyentuh tentang hubungan manusia dengan alam melalui dimensi kesedaran diri, rasa hormat terhadap persekitaran semula jadi dan nilai kerendahan hati yang lahir daripada pengalaman mendaki. 

Perkara ini memperlihatkan bahawa karya berasaskan pengalaman mampu menjadi medium untuk menyampaikan pemikiran serta nilai budaya kepada masyarakat.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; dan pengasas Kultus Kata, Puan Fazleena Hishamuddin.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi