Diterbitkan pada 13 Julai 2026, 11:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Crete – Lawatan ke Zominthos Archaeological Site di Pulau Crete, Greece memberikan peluang untuk melihat dan merasai keagungan tamadun Minoan yang berkembang lebih 3500 tahun lalu, sekali gus menyedarkan masyarakat tentang pentingnya usaha memelihara warisan budaya sebagai khazanah peradaban dunia.

Terletak pada ketinggian kira-kira 1200 meter di kaki Gunung Psiloritis, Zominthos merupakan sebuah pusat pentadbiran dan kegiatan masyarakat Minoan yang unik kerana dibangunkan di kawasan tanah tinggi.

Tapak ini ditemui pada era 1980-an oleh Profesor Yiannis Sakellarakis bersama dengan Pengarah Emeritus Antikuiti, Dr. Efi Sapouna-Sakellaraki, sebelum penyelidikan arkeologi mendedahkan kepentingannya dalam sejarah tamadun Mediterranean.

Kedudukan strategik Zominthos yang menjadi persimpangan laluan menuju ke Gunung Psiloritis menjadikannya pusat hubungan sosial, ekonomi dan keagamaan masyarakat Minoan.

Tapak ini juga mempunyai kaitan rapat dengan Idaean Cave, sebuah gua suci yang memainkan peranan penting dalam kepercayaan masyarakat Minoan pada zaman tersebut.

Selain menjadi pusat keagamaan, kawasan ini berkembang sebagai pusat ekonomi berasaskan sumber alam.

Kehadiran mata air, kawasan hutan yang kaya dengan kayu balak, flora yang subur serta aktiviti penternakan dan penternakan lebah membuktikan bahawa masyarakat Minoan mempunyai kebijaksanaan dalam memanfaatkan alam sekitar secara lestari bagi menyokong kehidupan harian mereka.

Penggalian arkeologi turut menunjukkan bahawa bangunan utama di Zominthos dibina sekitar tahun 1700 Sebelum Masihi sebelum musnah akibat gempa bumi kira-kira satu abad kemudian.

Namun begitu, struktur bangunan yang masih teguh sehingga kini menjadi bukti kehebatan teknologi pembinaan masyarakat Minoan serta tahap kemajuan seni bina yang dimiliki oleh tamadun tersebut.

Penemuan pelbagai artifak termasuklah kawasan bengkel, dapur, stor penyimpanan, ruang pemujaan, tanur pembuatan tembikar dan tinggalan tempat suci yang mengandungi patung kayu bersalut kepingan emas menggambarkan kehidupan masyarakat Minoan yang tersusun serta kaya dengan nilai keagamaan, kesenian dan kebudayaan.

Keunikan Zominthos bukan sahaja terletak pada tinggalan sejarahnya, malah turut diperkaya dengan landskap semula jadi yang masih terpelihara.

Kawasan ini menempatkan pelbagai spesies tumbuhan termasuklah pokok hawthorn berusia ratusan tahun yang diiktiraf sebagai Monumen Semula Jadi Terpelihara oleh pihak berkuasa hutan di wilayah Rethymno.

Peserta lawatan turut didedahkan kepada kepentingan penyelidikan arkeologi dalam menelusuri perkembangan sesebuah tamadun, selain memahami bagaimana tinggalan sejarah mampu menjadi sumber ilmu bagi generasi masa kini dalam mengenali identiti budaya dan asal-usul sesebuah masyarakat.

Puteri Nur Atiqah Bandira, pelajar Doktor Falsafah (PhD) dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia berkata lawatan tersebut membuktikan bahawa sesebuah tamadun yang hebat bukan sekadar diukur melalui kemajuan fizikal, sebaliknya turut bergantung pada keupayaan masyarakat memelihara budaya, ilmu pengetahuan dan hubungan harmoni dengan alam sekitar.

“Lawatan ke Zominthos membuka perspektif baharu bahawa tinggalan arkeologi bukan sekadar runtuhan bangunan, sebaliknya membuktikan bagaimana sesuatu peradaban membentuk identiti, sistem nilai dan budaya masyarakatnya,”

“Pemeliharaan warisan seperti ini amat penting supaya generasi akan datang dapat memahami akar sejarah yang membentuk sesebuah tamadun,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata, usaha pemuliharaan tapak warisan dunia perlu diperkasakan kerana warisan budaya merupakan sumber pembelajaran yang mampu menyemai rasa hormat terhadap kepelbagaian tamadun, mengukuhkan identiti kemanusiaan serta memupuk penghargaan terhadap sejarah yang menjadi asas kepada pembangunan masyarakat moden.

Lawatan ke Zominthos Archaeological Site sekali gus membuktikan bahawa pemeliharaan warisan budaya bukan hanya tanggungjawab ahli arkeologi, malah memerlukan sokongan masyarakat sejagat agar nilai sejarah, ilmu dan peradaban yang diwariskan oleh tamadun terdahulu terus lestari untuk generasi masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi