Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), akan mementaskan teater Impian di Ambang Waktu pada 17 dan 18 Julai ini sebagai acara kemuncak Bengkel Kerja Teater Realisme sebagai Medium Pengukuhan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi Tahun 2026.
Penulis dan pengarah teater tersebut, Subroto Katimin berkata, pementasan yang akan berlangsung pada pukul 8.00 malam di Dewan Dato’ Razali Ismail, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Kuala Lumpur akan mengangkat tema kesihatan, kasih sayang, nilai kemanusiaan, keinsafan serta kepentingan membuat pilihan yang bijaksana dalam kehidupan.
“Teater ini turut menampilkan penyertaan pegawai pengurusan, pensyarah, aktivis teater dan siswa guru inklusif serta peserta dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Pementasan ini mencerminkan komitmen IPGM dalam memanfaatkan seni persembahan sebagai medium memperkukuh penguasaan bahasa, memupuk nilai kemanusiaan serta menyokong aspirasi pembentukan masyarakat MADANI yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, program berkenaan merupakan hasil kolaborasi strategik antara IPGM dengan IPGKIK selaku tuan rumah, Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan disokong oleh UKM Specialist Centre serta Double Event Management.
“Kerjasama pelbagai pihak ini mencerminkan sinergi antara institusi pendidikan, badan bahasa, pertubuhan sastera dan sektor swasta dalam memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan serta memartabatkan seni persembahan sebagai wahana pendidikan yang berimpak tinggi,” ujarnya.
Beliau menambah, pementasan Impian di Ambang Waktu dijangka menjadi platform yang bukan sahaja mengangkat mutu seni teater tempatan, malah memperlihatkan bagaimana seni persembahan dapat menyokong pelaksanaan dasar MBMMBI melalui pendekatan kreatif, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.
“Saya mengundang orang ramai, khususnya warga Kementerian Pendidikan Malaysia, institusi pengajian tinggi, pengamal bahasa dan sastera, penggiat seni serta pelajar hadir menyaksikan pementasan ini. Masuk adalah dengan sumbangan Ikhlas,” katanya.