Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Emiriah Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), diumumkan sebagai tuan rumah Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-36 yang akan berlangsung pada tahun 2028, sekali gus meneruskan legasi perhimpunan terbesar industri penerbitan dunia.
Pengumuman itu dibuat pada majlis penutupan Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 2026 di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada Selasa lalu, disusuli dengan upacara penyerahan bendera rasmi kongres kepada wakil Sharjah.
Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Sheikh Faisal Sheikh Mansoor, berkata, kejayaan penganjuran kongres di Kuala Lumpur merupakan hasil usaha kolektif pelbagai pihak yang telah bekerja selama 18 bulan sejak menerima bendera kongres pada edisi terdahulu.
Beliau turut menayangkan montaj perjalanan persiapan dan penganjuran kongres sebelum mengumumkan Sharjah sebagai tuan rumah seterusnya.
Bendera rasmi kongres kemudian diserahkan kepada Sheikha Bodour Al Qasimi yang mewakili Sharjah sebagai simbol peralihan tanggungjawab penganjuran kepada tuan rumah seterusnya.
Dalam ucapan penerimaannya, Sheikha Bodour merakamkan penghargaan kepada MABOPA dan warga Kuala Lumpur atas layanan mesra serta penganjuran yang disifatkannya sebagai penanda aras baharu bagi Kongres Penerbit Antarabangsa.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA) bersempena dengan ulang tahun ke-130 penubuhannya, sambil menyifatkan organisasi itu sebagai platform yang menyatukan komuniti penerbit dunia, mempertahankan kebebasan menerbitkan karya, dan memperkukuh pertukaran ilmu merentas sempadan.
Menurut beliau, penyerahan bendera bukan sekadar pertukaran tuan rumah, tetapi juga melambangkan amanah untuk terus menyatukan komuniti penerbit global, serta memastikan dialog tentang dunia penerbitan diteruskan merentas bahasa dan negara.
“Bendera ini membawa tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar menganjurkan sebuah kongres. Ia melambangkan tanggungjawab menyatukan keluarga penerbitan dunia,” katanya.
Sheikha Bodour berkata bahawa pembangunan industri buku di Sharjah bermula hampir lima dekad lalu hasil visi pemerintah Sharjah, Sultan bin Muhammad Al Qasimi, yang meletakkan budaya dan ilmu sebagai asas pembangunan masyarakat.
Beliau berkata, visi tersebut melahirkan Sharjah International Book Fair yang kini menjadi antara pesta buku terbesar di dunia, selain membawa Sharjah diiktiraf sebagai UNESCO World Book Capital 2019.
Mengimbau penubuhan Emirates Publishers Association pada 2009, Sheikha Bodour berkata, pada ketika itu hanya segelintir penerbit tempatan berkongsi cita-cita untuk meletakkan industri penerbitan Emiriah Arab Bersatu di pentas antarabangsa.
“Hari ini, apabila kami bersedia mengalu-alukan komuniti penerbit dunia ke Sharjah, saya melihat sejauh mana perjalanan yang telah kami lalui. Penerbitan sentiasa menjadi lambang keyakinan terhadap masa depan,” katanya.
Beliau berkata bahawa tema kongres 2028, “Inclusion, Innovation, Integrity” (Keterangkuman, Inovasi, Integriti), dipilih bagi mencerminkan keperluan industri penerbitan untuk terus memperkukuh keterangkuman, memanfaatkan inovasi tanpa mengabaikan nilai asas serta mempertahankan integriti dalam industri perbukuan.
Menurutnya, keterangkuman penting bagi memastikan lebih banyak pihak dapat mengambil bahagian dalam ekosistem penerbitan, manakala inovasi perlu dimanfaatkan seiring usaha memelihara kebebasan menerbitkan, hak cipta serta kebajikan penulis dan pembaca.
Beliau berharap para delegasi yang hadir ke Sharjah pada 2028 akan menyaksikan sebuah kota yang menjadikan buku sebagai sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat, dari sekolah dan rumah hingga ke ruang awam.
“Dalam dunia yang bergerak pantas dan dipenuhi lambakan maklumat, buku masih menawarkan ruang untuk kesabaran, empati dan perbualan yang bermakna,” katanya.
Majlis penyerahan bendera itu menandakan berakhirnya secara rasmi Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 di Kuala Lumpur serta bermulanya persiapan menuju edisi seterusnya di Sharjah pada 2028.